Monday, 17 March 2014
Untuk Renungan: Kawan Makan Kawan.....!!!???
Kawan Makan Kawan? Lama Matmerapu tidak dengar istilah ini digunakan...kalau dalam bahasa Inggeris - backstabber ! Adakah istilah Kawan Makan Kawan ini macam ikan makan ikan ? Iya lah..macam ikan paus makan ikan lebih kecil atau macam ikan haruan makan anak ikan, tentunya tidak kerana istilah ini selalunya dikaitkan dengan perbuatan khianat seorang kawan terhadap kawan lain terutamanya kawan rapat yang boleh dikatakan tidur sebantal, makan sepinggan. Kenapa berlaku khianat terhadap kawan sendiri ? Banyak perkara boleh membuat seseorang kawan yang rapat macam adik beradik boleh khianat kawan sendiri. Salah satu faktor utama ialah perasaan cemburu atau irihati. Kalau berkaitan cinta dan perasaan, biasanya berebut kekasih, buah hati kawan. Kalau di kalangan wanita biasa berebut teman lelaki kawan yang handsome, kacak bergaya dan kaya malah sanggup memfitnah kawan sendiri semata-mata hendak dapatkan cinta teman lelaki kawan sendiri. Begitu juga di kalangan kaum lelaki yang berebut wanita yang cantik, bergaya dan berduit. Lelaki lagi dahsyat perangainya bila berebut wanita, sanggup menipu kawan sendiri malah lebih teruk,ada yang sanggup merogol atau membunuh teman wanita kawan sendiri. Andainya berkaitan dengan kerja, seorang kawan rapat boleh khianat kawan sendiri kerana berebut jawatan yang lebih baik, sanggup sebar fitnah agar kawan tidak mendapat jawatan yang lebih baik atau burukkan nama kawan di hadapan pihak pengurusan tertinggi. Sindrom kawan makan kawan ini banyak berlaku di pejabat kerajaan terutamanya yang kuat mengipas, kuat membodek bos untuk memperoleh jawatan yang lebih baik dalam organisasi walaupun lebih banyak goyang kaki daripada melakukan kerja atau pun tidak tahu hendak buat kerja sendiri, asyik-asyik arahkan orang lain. Kadangkala kawan seperti ini boleh buat muka selamba walhal setiap hari mengutuk dan memburukkan kawan di hadapan Ketua Jabatan atau pihak pengurusan kerana takut kawan dinaikkan pangkat atau diberi kepercayaan oleh pihak pengurusan disebabkan ketekunan, kepandaian melaksanakan kerja, bak kata orang takut pekungnya terdedah maka lebih baik dia buka aib orang sebelum kelemahan sendiri terdedah,takut dengan bayangan sendiri. Sindrom atau penyakit ini tidak mengira jantina,lelaki dan wanita sama sahaja, sebab itu....Awas!!! Orang yang amalkan sindrom Kawan Makan Kawan ini biasanya mempunyai banyak kelemahan, pandai bercakap kurang bekerja,suka merendahkan keupayaan orang lain, merasakan dirinya seorang sahaja yang terbaik, pandai dan sebagainya. Tapi bila diberi tugasan - mengecewakan, sering sangsi terhadap tindak tanduk orang lain malah berperasangka negatif terhadap orang lain, sentiasa ambil kesempatan ke atas orang lain dan mudah percaya khabar-khabar angina, membuat keputusan tanpa usul periksa dan paling teruk mempunyai penyakit hati yang sukar diubati - Dengki! Matmerapu berharap agar tidak ada di kalangan kita dalam kelompok 'Kawan Makan Kawan'.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment