Tuesday, 4 March 2014

#PRK Kajang: Apa Pengundi Kajang Mahu.....!!!

Sejak awal Februari, populariti Kajang telah melonjak tinggi gara-gara perletakan jawatan secara mengejut bekas ADUN Kajang Lee Chin Cheh. Tindakan Chin Cheh ini menyebabkan PRK DUN Kajang terpaksa dilakukan. Pengunduran Chin Cheh diwar-warkan kerana ingin memberi laluan kepada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tanpa membuang masa bertindak menawarkan diri sebagai pengganti Chin Cheh. Atas sebab itu, reputasi Kajang kini bukan hanya dilihat sebagai sebuah bandar yang terkenal dengan ‘Sate Kajang’ tetapi ia dilihat sebagai satu batu loncatan buat Anwar dalam rancangannya untuk menjadi Menteri Besar Selangor. Pada PRK yang bakal dilangsungkan 23 Mac ini, Anwar akan bersaing bersama Naib Presiden MCA Datin Paduka Chew Mei Fun dan bekas menteri kabinet Datuk Zaid Ibrahim dalam merebut mahkota DUN Kajang. Namun harus diingat, apa jua tujuan di sebalik taktik politik individu-individu yang terlibat, ADUN yang bakal dilantik wajib bertanggungjawab dalam menjaga kebajikan rakyat di Kajang. Tahukah anda akan kemahuan penduduk Kajang? Majoriti komuniti di Kajang merasakan masalah utama yang mereka hadapi di Kajang adalah masalah kesesakan lalu lintas yang mungkin berpunca dari sistem perancangan bandar yang terlalu padat. Rata-rata mereka berpendapat kesesakan yang terlampau ini disebabkan oleh gabungan jumlah kenderaan yang terlalu banyak dan jalan raya yang sempit. Masalah kesesakan ini telah menjadi lebih serius apabila Kajang mempunyai sistem perancangan bandar yang lemah. Perkara itu turut dipersetujui oleh S. Murugami, 47 yang juga berpendapat pembangunan tidak terancang di Kajang turut menyumbang kepada masalah kesesakan jalan raya di sana. Katanya, masalah infrastuktur jalan raya yang kurang baik menyebabkan rakyat Kajang terpaksa menggunakan lebuhraya walaupun hanya mahu ke lokasi yang berdekatan. Ini boleh membebankan kerana penduduk yang mahu ‘meloloskan’ diri mereka dari kesesakan jalan raya terpaksa membayar tol walaupun hanya ingin ke lokasi yang berdekatan."Memang Kajang dikelilingi oleh Plaza Tol dan kami terpaksa menerimanya kerana tidak sanggup untuk bersesak dalam trafik… bayangkan jika anda terpaksa berhabis satu setengah jam di dalam trafik dari Sungai Chua ke UPM Serdang yang terletak tidak berapa jauh!" jelas Murugami yang sudah menetap di Kajang hampir dua dekad. Banjir besar di Pekan Kanjang pada 2011. Menurutnya, sistem perparitan juga harus dikaji semula oleh jabatan yang bertanggungjawab kerana Kajang kerap mengalami masalah banjir.Jelasnya yang juga seorang peniaga, golongan sepertinya paling terkesan setiap kali banjir berlaku."Apabila berlaku banjir, kami akan mengalami banyak kerugian jadi saya berharap pemimpin kami yang dipilih selepas ini akan mengambil berat tentang perihal sebegini", katanya. Berlainan pula dengan Yap Cei San, 30. Beliau menganggap isu tol harus diberi perhatian memandangkan rakyat Kajang terpaksa menggunakan tol dengan kerap bagi mengelak melalui jalan pekan yang sesak. Katanya, wakil rakyat yang bakal dilantik harus memperjuangkan nasib rakyat Kajang yang dikelilingi hampir lima tol yang berbeza."Saya usulkan soal ini kerana kami hanyalah golongan berpendapatan sederhana yang terpaksa menggunakan lebuhraya. Jika mahu ke Kuala Lumpur, kami terpaksa menggunakan Tol Kajang dan jika mahu ke Cheras kami terpaksa lalui Tol Batu 11. Bagi mereka yang mahu ke Semenyih mereka terpaksa membayar Tol Sungai Ramal dan Bukit Kajang begitu juga jika mahu ke Balakong, penduduk di sini terpaksa melalui Tol Sungai Balak", keluh Cei San.Selain itu, beliau juga mahu jadual pungutan sampah sarap yang konsisten di daerah Kajang. Cei San amat berharap Pekan Kajang akan berubah menjadi cantik dan bersih, segah namanya yang popular di serantau Malaysia."Saya mahu Kajang kelihatan sama seperti Singapura, bersih, cantik dan kurang tol,jika ini berlaku tentu semua masyarakat di sini akan rasa selesa", katanya.Kartina Khamsin, 45, ketika ditemui bersetuju dengan pendapat ramai itu. “Sistem perparitan dan pungutan sampah sarap juga semakin membimbangkan penduduk Kajang, khususnya apabila tiba musim hujan,” kata Kartina.Pada Disember 2011, Pekan Kajang dilanda banjir kilat yang teruk dan ini telah menyebabkan kemusnahan yang berjumlah hampir RM2.4 juta.Sebelum itu, pekan Kajang juga pernah ditenggelami air akibat banjir besar pada tahun 1971 dan situasi yang sama berulang pada 1980an. Kini, masalah banjir masih tetap berlaku di ibu daerah Hulu Langat ini."Ini semua berpunca daripada sistem perparitan dan sampah sarap yang terlalu banyak. Pihak bertanggungjawab sepatutnya lebih peka akan keadaan ini. Kekotoran di Kajang bukan sahaja mendatangkan ketidakselesaaan, malah turut memberikan kerugian yang besar kepada kami ", jelasnya. Untuk mengatasi masalah ini, Kartina yang menetap di Kajang hampir 12 tahun mencadangkan supaya sistem parkir bertingkat dibina yang membolehkan orang ramai memakir kenderaan mereka di kawasan yang khas. Pada masa sekarang, ramai penduduk Kajang terpaksa memakir pacuan mereka di serata tempat sekitar Pekan Kajang dan ini mengakibatkan kesesakan."Saya fikir cara ini mungkin berkesan kerana orang ramai akan memakir kenderaan mereka di satu tempat dan berjalan kaki bagi menyelesaikan urusan mereka", katanya. Berlainan pula dengan Irma Ismail, 27, yang berharap agar Hospital Kajang yang berusia 125 tahun dinaiktaraf. Irma yang baru sahaja mendapatkan khidmat rawatan di hospital itu berkata beliau terpaksa menunggu hampir dua jam bagi mendapatkan rawatan. Malah beliau berpendapat fasiliti di Hospital Kajang boleh dianggap lemah dan kurang selesa serta lokasi hospital itu yang terletak di tengah-tangah pekan adalah tidak strategik. Lokasi ini menyukarkan pesakit mendapatkan parkir berdekatan. Situasi ini bertambah buruk dengan masalah kesesakan jalan raya di Kajang."Kadang-kadang saya terpaksa ke Hospital Serdang kerana tidak selesa di Hospital Kajang. Bangunan pun sudah kelihatan uzur, sepatutnya mereka yang menjaga Kajang menaiktaraf kemudahan dan kelengkapan sedia ada untuk kesejahteraan kami", katanya. Pemain bola sepak negara, Safee Sali juga ialah anak jati Kajang. Atlet 28 tahun ini sememangnya ingin melihat perubahan dilakukan ke atas Stadium Kajang.Safee berpendapat apabila kerja menaiktaraf dilakukan ke atas Stadium Kajang, ia akan mampu membantu melahirkan pelapis dalam bidang sukan negara. Katanya, perubahan dari segi infrastuktur dan fasiliti pastinya akan menarik ramai rakyat Kajang untuk berkunjung ke stadium dan beriadah sekaligus mempromosikan cara hidup sihat. Secara tidak langsung ini juga dapat membendung golongan muda daripada terjebak dengan aktiviti tidak sihat. "Sebagai seorang yang aktif dalam sukan, saya amat mengharapkan pembangunan dalam bidang sukan bagi rakyat Kajang, mudah-mudahan dengan pengubahsuaian stadium ianya mampu memberi manfaat kepada penduduk sekitar", katanya. Stadium Kajang suatu ketika dalu pernah menjadi saksi kehebatan lagenda bola sepak negara seperti Allahyarham Supermokh’ Datuk Mokhtar Dahari, ‘Spiderman’ Datuk R. Arumugam, Soh Chin Aun dan Santokh Singh. Namun begitu pada tahun 2010, stadium itu pernah dirobohkan dan ditukarkan kepada pusat rekreasi serba guna yang kini dikenali sebagai Dataran Kajang. Sementara itu, Haryati Nasution turut berharap supaya tapak sejarah serta bangunan bersejarah di Kajang dipelihara sewajarnya bagi mengekalkan asal-usul tempat itu untuk generasi akan datang.Katanya, bangunan bersejarah seperti Sekolah Convent dan Sekolah Tinggi Kajang yang dibina pada 1919 harus dikekalkan. "Terowong bawah tanah ditemui di SMK Tinggi Kajang yang dipercayai dibina oleh askar Jepun semasa Perang Dunia Kedua pada 1971 dan itu merupakan ;lubang Jepun'", tegasnya. Amat jelas bahawa penduduk Kajang tidak memerlukan wakil rakyat yang berpersonaliti menarik sebaliknya mereka hanya mahukan wakil rakyat yang berkebolehan dan mengambil berat semua masalah-masalah mereka sama ada yang kecil mahu pun yang besar.

No comments:

Post a Comment