Tuesday, 11 March 2014

#PRK Kajang: Kempen BN Mesti Bijak & Tepat Kumpulan Sasar.....!!!

Perang propaganda di Kajang sudah bermula. Dua wanita bersaing. Datin Paduka Chew Mei Fun mewakili BN, ditentang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dari PKR. Persaingan satu lawan satu ini amat menarik dan pasti menjadi tumpuan. Menariknya kerana dua wanita yang bersaing ini mempunyai kapasiti dan personaliti tersendiri. Chew, 50, merupakan Naib Presiden MCA, manakala Wan Azizah, 61, pula Presiden PKR. Selain menarik kerana menyaksikan pertembungan dua wanita, sudah pasti, ia dianggap penting bagi kedua-dua BN dan PKR. Penentunya terletak di hujung jari 39,278 pemilih berdaftar di Kajang. Chew yang diketengahkan BN dilihat sebagai `underdog' berbanding calon PKR. Kawasan tersebut dikatakan kubu pembangkang di negeri yang juga dikuasai pembangkang. Maknanya, PKR memiliki kelebihan berbanding BN. Begitu pun, ia tidak harus melemahkan jentera kempen BN. Sebaliknya, ia mesti dijadikan motivasi untuk mencapai kejayaan, atau setidak-tidaknya prestasi lebih baik daripada PRU13 lepas. Pemilihan Chew amat bertepatan, calon terbaik untuk mewakili rakyat Kajang. Bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu bukan saja berpengalaman luas dalam membantu dan menyelesaikan masalah rakyat, tetapi juga tegas berpegang pada prinsip perjuangannya. Chew mempunyai banyak kelebihan dari segi integriti dan pengalaman yang dimilikinya. Tidak syak lagi, pemilihan beliau adalah satu keputusan tepat kerana beliau seorang yang ada kredibiliti, integriti dan pengalaman yang cukup luas. Justeru yang penting dalam kempen ini, gerakan mesti bijak dan sasaran tepat kerana BN juga mempunyai penyokong tegar di situ selain semakin ramai dikatakan berstatus atas pagar. Dalam berhadapan PRK Kajang kali ini, BN harus menumpukan kepada pengundi atas pagar ini tanpa melupakan penyokong tegar. Pengundi atas pagar ini boleh menjadi faktor penentu kemenangan, apatah lagi dikatakan ramai yang dulu tegar bersama pembangkang sudah mulai jauh hati akibat pelbagai isu dalaman melanda PKR dan kemelut kepemimpinan kerajaan Selangor. Bagi jentera BN, usaha yang perlu dilakukan termasuk meyakinkan pengundi Kajang mengenai kebaikan BN serta komitmen membela nasib rakyat. BN perlu jelaskan serta terangkan perkara benar, termasuk perbalahan dan kepincangan kerajaan pembangkang, khususnya di Selangor. BN perlu berhati-hati dalam menghadapi pembangkang di Kajang supaya tidak terperangkap dalam jerat yang mereka pasang. Kajang sinonim dengan sate. Dan peniaga sate ini menarik kerjanya, ada tukang cucuk dan ada tukang kipas. Jika BN tidak hati-hati, takut nanti cucukan dan kipasan mereka terkena BN! Dalam kempen ini, gerakan BN seharusnya lebih fokus dan mesti bersifat ofensif tapi mengamalkan pendekatan persuasif. Kempen BN perlu menonjolkan kemelut yang dihadapi pembangkang. Ini kerana pakatan pembangkang fikir mereka gabungan yang mantap sedangkan jelas berlaku perbalahan besar, sama ada dari segi dasar mahupun antara kepimpinan. Justeru, kempen ini perlu dijadikan sebagai peluang untuk melaksanakan gerakan lebih ofensif bagi menjelaskan perkara yang dibangkitkan pembangkang mengenai BN, selain isu yang membelenggu pakatan itu sendiri.

No comments:

Post a Comment