Wednesday 27 November 2013

Rumah Mampu Milik DAP Di Pulau Pinang Berharga RM400,000......!!!

Projek perumahan kos rendah dan sederhana rendah oleh kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP mengelirukan rakyat kerana harga yang ditawarkan adalah di luar kemampuan. Pengerusi BN negeri Teng Chang Yeow berkata unit rumah seluas 1,000 kaki persegi ditawarkan pada harga siling RM400,000 itu adalah di luar kemampuan bagi golongan berpendapatan kurang RM5,000 sebulan. “Projek mampu milik dan perumahan rakyat oleh mana-mana kerajaan, keuntungan bukannya matlamat kerana ia bukan syarikat pemaju swasta tetapi untuk memastikan keperluan masyarakat dapat dipenuhi,” katanya. Teng berkata demikian selepas menyampaikan insentif pelajar cemerlang PMR dan Sijil Peperiksaan Bersatu (UEC) kepada 387 penerima di kawasan Timur Laut. Katanya kos pembinaan untuk rumah bertingkat adalah antara RM130 dan RM150 sekaki persegi dan tiada alasan untuk kerajaan negeri menawarkan harga siling RM400,000 bagi rumah seluas 1,000 kaki persegi. Teng berkata terdapat margin keuntungan yang besar jika rumah mampu milik dijual pada harga siling RM400,000 dan kerajaan negeri seharusnya menawarkan harga yang lebih rendah berbanding pemaju swasta. “Ini menunjukkan kerajaan negeri pimpinan pakatan pembangkang tiada keikhlasan dan usaha sebenar untuk membantu rakyat kerana mereka tidak mempunyai dasar perumahan. Itulah sebabnya mereka tidak boleh menentukan harga,” katanya. Teng berkata projek perumahan itu turut akan menjarakkan lagi jurang kehidupan dan sosial kerana dibimbangi ramai penduduk di kawasan pulau akan pindah ke seberang berikutan harga siling yang dua kali ganda lebih murah. Difahamkan harga siling RM220,000 ditawarkan untuk rumah mampu milik di Batu Kawan untuk unit rumah yang sama luas dengan kawasan di pulau.

Tuesday 26 November 2013

Muktamar PAS: Ancaman Liberalisme Kepada Melayu-Islam

Muktamar PAS yang membawa kemenangan kepada kumpulan Erdogan,pihak pro-Anwar Ibrahim dan DAP,menjadikan akar umbi PAS kecewa dan putus asa.Ini kerana,Anwar dan DAP merupakan dua pihak yang bertindih dalam membawa agenda liberalisasi dan juga Kristianisasi di Malaysia.Penglibatan ‘orang-orang kuat’ Anwar dan DAP di dalam COMANGO membuktikan agenda sebenar kumpulan ini.Justeru,kemenangan kumpulan Erdogan di dalam PAS bermakna agenda itu kini lebih mudah untuk diperpanjangkan melalui PAS. Berdasarkan apa yang berlaku ini,kita tidak boleh menyalahkan persepsi rakyat.Kita tidak boleh menghalang manusia dari berprasangka buruk berdasarkan apa yang dilihat di hadapan mata.Jika persepsi rakyat itu benar,maka ia menunjukkan bahawa pihak yang memperjuangkan liberalisasi ini, tidak kira sama ada di dalam PAS atau UMNO,semuanya gemar bermain kotor.Mereka terpaksa bermain kotor kerana mereka tahu yang mereka tidak mendapat sokongan di kalangan orang-orang Melayu. Walaupun golongan liberal ini gemar memperlekeh orang Melayu sebagai mudah dibeli dan ditipu,tetapi mereka lupa bahawa mereka lebih lekeh lagi kerana terpaksa membeli dan menipu semata-mata untuk berkuasa.Ini bermakna,sekiranya mereka menang,maka kemenangan mereka adalah tidak tulin.Andainya persepsi ini tidak benar dan mereka sebenarnya menang secara telus dan bersih,maka kita akan melihat agenda liberalisasi dilaksanakan tanpa apa-apa bantahan besar dari orang-orang Melayu.Bagaimanapun,penolakan orang-orang Melayu terhadap PAS akhir-akhir ini membuktikan bahawa agenda itu tidak diterima di dalam parti itu.Kritikan terhadap UMNO yang semakin lantang didengari juga menguatkan lagi hujah bahawa liberalisme tidak pernah diterima oleh orang-orang Melayu.Masalah liberalisasi bukan sahaja mengancam masyarakat kerana ia membawa bersamanya kebebasan tanpa sempadan tetapi juga membawa ancaman ketegangan kaum kerana ia didokong oleh parti perkauman tegar iaitu DAP, yang berselindung di sebalik seruan Kristianisasi.Keadaan menjadi lebih terancam kerana kumpulan Melayu liberal di dalam UMNO dan PAS ini mentafsirkan sebarang usaha untuk membela adat, budaya,bahasa dan agama orang-orang Melayu sebagai kolot. Di masa yang sama,tindakan membela adat,budaya, bahasa dan agama kaum lain pula ditafsirkan sebagai ‘keterbukaan’ yang wajib diterima oleh semua.Justeru,dengan tekanan dari sikap rasis dan chauvinis Kristian DAP dan kebodohan kumpulan Melayu liberal,yang bakal menjadi mangsa akhirnya ialah orang-orang Melayu di negara ini.Amatlah malang sekali jika ini berlaku,sedangkan orang-orang Melayu yang menolak liberalisme merupakan kumpulan majoriti.Kesimpulannya,Melayu PAS dan Melayu UMNO yang menolak liberalisme tidak mampu duduk berasingan di dalam PAS,UMNO dan atas pagar.Melayu yang sedar,yang jujur sayangkan agama dan bangsa tidak ada pilihan selain bersatu di atas satu platform bagi membentuk kumpulan pendesak yang kuat ke atas pemerintah.Perdengarkan suara kita menolak liberalisme dalam satu nada yang sekata.Lupakan PAS atau UMNO,fikirkan strategi terbaik untuk mencapai matlamat ini demi bangsa Melayu dan kesucian agama Islam.

Monday 25 November 2013

Retorik Terbesar Presiden PAS di Majlis Ijtimak......!!!

Ketika berucap di majlis penutup Ijtimak PAS Selangor,Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan, haram bagi ahli PAS mengikut permainan media luar kononnya berlaku pertembungan antara golongan ulama dengan profesional dalam parti itu. Malah beliau juga menyifatkan dakwaan kononnya wujud pertembungan antara golongan ulama dan profesional dalam PAS adalah permainan media musuh dan tidak seharusnya mempengaruhi ahli PAS. “Ini mainan media, gendang yang dipalu oleh mereka tidak seharusnya diikuti. Haram bagi kita menari mengikut gendang itu." Itulah penegasan beliau. Sememangnya itu hak beliau untuk berkata atau berhujah apa sahaja dalam memastikan PAS tidak menjadi parti yang tunggang-langgang berikutan perebutan jawatan dalam parti itu sempena Muktamar Tahunan PAS Ke-59. Bagaimanapun dalam masa yang sama, Abdul Hadi juga harus memberi jawapan apakah ‘tidak haram’ terhadap perkara-perkara berikut: * Menafikan berlakunya pertembungan antara golongan ulama dan profesional, apabila dalam laman-laman sosial termasuklah blog dan Facebook berlaku perdebatan bukan sahaja antara pemimpin tetapi juga penyokong kumpulan itu. * Apakah ‘tidak haram’ apabila PAS cuba menafikan kebenaran bahawa dalam pemilihan kali ini, budaya fitnah memfitnah dan buruk memburukkan antara satu sama lain di kalangan ahli PAS begitu ketara sekali? * Bagaimana pula dengan kerjasama PAS dengan PKR dan DAP. Tidakkah ia boleh dikategorikan ‘haram’ apabila kedua-dua parti itu tidak bersetuju dengan perjuangan menegakkan negara Islam yang diperjuangkan oleh PAS tidak lama dulu? * Apakah ‘tidak haram’ apabila PAS masih terus mahu bekerjasama dengan pemimpin-pemimpin DAP yang ada antara mereka dengan lantang menegaskan ‘langkah mayat beliau dahulu’ jika mahu melaksanakan hukum hudud? * Apakah ‘tidak haram’ apabila PAS begitu teruja mengarahkan penyokong-penyokong turun ke jalanan untuk berdemonstrasi sehingga boleh mencetuskan huru hara kepada keselamatan dan ketenteraman awam? * Apakah ‘tidak haram’ apabila PAS tidak mahu bersetuju dengan pandangan supaya pemimpin tertentu membuat sumpah laknat bagi menafikan dakwaan terlibat dalam perbuatan tidak bermoral? * Apakah ‘tidak haram’ apabila PAS menolak sebarang kerjasama dengan UMNO demi perpaduan orang Melayu dan umat Islam semata-mata kerana kepentingan politik? * Apakah ‘tidak haram’ apabila pemimpin-pemimpin PAS yang sebahagian besar mereka bertaraf ulama dan ustaz serta tok guru, diam seribu bahasa apabila ada pemimpin pembangkang bukan Islam sewenang-wenangnya membaca ayat-ayat suci al-Quran dalam kempen politik mereka? * Apakah ‘tidak haram’ apabila PAS tidak menegur perbuatan sesetengah pemimpin mereka yang begitu mudah menuduh UMNO mengamalkan Islam plastik? * Apakah ‘tidak haram’ apabila PAS dengan mudah membiarkan sahaja pemimpin-pemimpin UMNO dituduh kafir? * Apakah ‘tidak haram’ apabila PAS dilihat tidak berusaha untuk menyatukan umat Islam yang berpecah belah kerana terhasut dengan permainan politik kepartian? * Apakah ‘tidak haram’ apabila PAS lebih selesa untuk menuding jari menyalahkan pihak lain kerana tidak dapat melaksanakan hukum hudud sedangkan mereka sendiri sudah mengubah haluan perjuangan daripada negara Islam kepada negara berkebajikan? * Apakah ‘tidak haram’ apabila sebahagian besar kepimpinan PAS seolah-olah kecut perut dengan sekutu mereka yang dilihat acap kali memperlekehkan parti itu? * Matmerapu juga mahu bertanya, apakah ‘tidak haram’ apabila pemimpin PAS yang cuba mempertahankan prinsip perjuangan parti itu dipecat? Sebenarnya, jika mahu bercakap soal ‘haram’ dan ‘tidak haram’ apabila menyentuh politik PAS banyak perkara boleh diperbincangkan. Tetapi kita tidak perlu terikut-ikut dengan ‘rentak gendang yang dipalu’ oleh PAS. Ini memandangkan apa yang dinyatakan ‘media luar’ yang dimaksudkan oleh Abdul Hadi adalah satu kebenaran. Cuma yang menjadi persoalan, adakah kenyataan Abdul Hadi itu sekadar satu penafian politik atau beliau sendiri semakin resah dengan kemelut perebutan jawatan yang berlaku dalam PAS sekarang? Hakikatnya, bukan satu rahsia lagi bahawa pemilihan PAS kali ini memaparkan satu pertembungan ketara antara golongan profesional dan ulama. Malah ada di kalangan pemimpin kanan PAS sendiri yang mahukan ulama diberikan semula kedudukan utama dalam parti bagi memastikan perjuangan Islam parti itu dapat diteruskan. Ini belum lagi mengambilkira bagaimana ada pemimpin PAS daripada golongan profesional secara terbuka mahu golongan itu diberi peluang mengemudi PAS atas dasar parti itu perlu dilihat lebih terbuka dan tidak dipimpin oleh ulama sahaja. Selain itu, Abdul Hadi juga perlu memahami bahawa pertembungan antara golongan ulama dan profesional dalam PAS bukanlah satu ilusi apatah lagi ciptaan mana-mana media. Entah sampai bilakah PAS mahu menafikan hakikat ini sedangkan semua orang tahu bagaimana hebatnya pertarungan antara kedua-dua golongan itu untuk berkuasa dalam PAS. Sebenarnya, ini bukanlah kali pertama Abdul Hadi bertindak menafikan pertembungan itu tetapi sudah sekian lama. Jika kurang pasti, kajilah ucapan dasar beliau di muktamar-muktamar sebelum ini, kita pasti akan menemui kenyataan di mana beliau menafikan berlaku pertembungan antara golongan ulama dan profesional dalam PAS. Tetapi tidak mengapalah, kalau Abdul Hadi atau mana-mana pemimpin PAS mahu terus bersandiwara dalam soal pertembungan antara dua golongan itu. Namun apa yang pasti, di peringkat akar umbi, kempen bagi pemilihan kali ini cukup rancak dengan matlamat untuk memastikan golongan ulama tidak dipinggirkan. Dalam kerancakan itu juga dan ketika Abdul Hadi sedang melakukan pelbagai penafian, wujud pula pelbagai dakwaan termasuklah pemimpin-pemimpin tertentu dalam PAS dikaitkan dengan fahaman Syiah atau liberal. Sudah tentulah kita tidak mahu terheret dalam polemik ini kerana ahli-ahli PAS lebih mengenali pemimpin mereka. Bagaimanapun, tidak salah jika sempena muktamar kali ini dengan perasmian Dewan Pemuda dan Muslimat membuka tirai malam tadi, ahli-ahli PAS bermuhasabah untuk menilai apakah benar PAS kini begitu sempurna sehingga tidak berlaku sebarang pertembungan antara kelompok dalam parti itu. Menafikan fakta, menangkis kebenaran dan menolak hakikat bukanlah cara berpolitik yang bijak, sebaliknya ia boleh mengakibatkan seseorang pemimpin atau parti menjadi lemah. Ini kerana ia seolah-olah membiarkan ‘api marak di dalam serkam’ dan akhirnya akan memusnahkan individu atau organisasi tersebut. Itulah juga yang akan berlaku kepada PAS, jika dalam muktamar kali ini, pemimpin dan ahli-ahlinya cuba menyembunyikan kebenaran serta tidak berani melakukan teguran demi kebaikan perjuangan parti tersebut.

Sunday 24 November 2013

Muzakarah UMNO-PAS Perlu Diteruskan.......!!!

Matmerapu suka dengan idea muzakarah UMNO-PAS. Sejak dahulu lagi Matmerapu menyokong hasrat itu. Berdialog, berbincang, berunding, cuba memahami antara satu sama lain adalah perlambangan manusia bertamadun. Kedua parti besar itu mewakili rakyat kita yang sudah dan ingin bertamadun, maka adalah perlu untuk mereka menzahirkan manifestasi ketamadunan itu dalam bentuk mampu berbincang apabila ada keperluan. Maka di sini Matmerapu ingin sebutkan beberapa perkara yang dilihat perlu diberikan perhatian dalam hasrat tersebut; Pertama: Asasnya, perbincangan ke arah meredakan permusuhan sesama muslim adalah ajaran Islam. Firman Allah: (maksudnya) “Dan jika dua puak daripada orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah antara keduanya; jika salah satunya berlaku melampau terhadap yang lain, maka perangilah puak yang melampau itu sehingga mereka kembali mematuhi perintah Allah; jika mereka kembali patuh, maka damaikanlah antara keduanya dengan adil, serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara); Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sebenarnya orang-orang yang beriman itu bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat” (Surah al-Hujurat: ayat 9-10). Kedua: Banyak perkara negatif dapat dilangsaikan melalui perdamaian perasaan sesama umat. Bisik-bisik tanpa asas yang benar di belakang, banyak menyebabkan keadaan yang lebih buruk. Firman Allah (maksudnya) “Tiada kebaikan pada kebanyakan bisik-bisikan mereka, kecuali (bisik-bisikan) orang yang menyuruh bersedekah, atau menyuruh berbuat kebaikan, atau menyuruh perdamaian antara manusia. Dan sesiapa yang berbuat demikian dengan maksud mencari keredaan Allah, tentulah Kami akan memberi kepadanya pahala yang amat besar” (Surah al-Nisa’: ayat 114). Ketiga: Pemikiran bahawa salah satu parti akan mengalami kerugian sebelum perundingan ataupun muzakarah agak tidak kukuh. Sepatutnya, sebagai parti yang sudah lama dalam sejarah, keduanya mempunyai kemampuan untuk duduk berbincang secara matang dan mantap. Bahkan kesediaan mereka untuk duduk berbincang akan memberikan nilai yang positif di mata rakyat. Keempat: Perkara yang penting pada peringkat ini ialah membawa kedua pimpinan parti itu duduk dalam satu perbincangan dengan perasaan ukhuwah yang berasaskan kepentingan umum melebihi kepentingan diri. Kejayaan untuk mereka duduk dalam suasana yang demikian adalah sesuatu yang besar. Kelima: Hendaklah dipastikan bahawa pertemuan kedua parti itu adalah atas hasrat kebaikan rakyat secara menyeluruh, bukan untuk kepentingan survival parti yang bersifat terhad. Pertemuan itu tidak sepatutnya memandulkan usaha-usaha baik kedua belah pihak. Ini seperti usaha-usaha transformasi di pihak UMNO, dan usaha-usaha positif yang boleh membuka cara fikir rakyat di pihak PAS. Keenam: Perbincangan ataupun muzakarah itu bukan semestinya melakukan asimilasi politik (political assimilation) yang akan menjadikan salah satu parti itu lebur ke dalam yang satu lagi. Jika itu berlaku, ia akan boleh menghilang ‘checks and balances’ dalam sebuah negara demokrasi. Itu tidak baik untuk rakyat. Sebaliknya peranan muzakarah mampu mengingatkan hakikat diri mereka semua tentang ukhuwah Islamiyyah, sekaligus mengembalikan nilai-nilai akhlak dan adab Islam apabila berbeza ataupun bersengketa. Ketujuh: Muzakarah itu tidak patut menjadi medan membahaskan kesalahan antara kedua parti kerana ruang itu sudah ada di Parlimen, sebaliknya keduanya hendak mencari ‘common ground’ antara kedua parti yang dapat memberikan kebaikan kepada rakyat dan negara. Hakikatnya, sesiapa yang mendekati kedua parti ini, banyak ruang dari sudut naluri insani muslim yang sama ataupun hampir sama. Banyak hasrat dan cita yang sama. Banyak rasa yang sama. Banyak duka dan suka yang sama. Kebanyakan khilaf yang zahir disebabkan ‘perbuatan’ dalam politik dan pengurusan. Namun ruang untuk melihat persamaan masih ada. Kelapan: Berjumpa, tersenyum, bersalaman dan nasihat menasihati dengan niat yang baik sentiasa mempunyai keberkatan dan rahmat. Ia melapangkan dada, mendatangkan hikmah dan menjadikan perasaan kita lebih dekat dengan Allah. Kemudian, setelah usaha ikhlas berlaku, keadaan masih tidak dapat dibaiki, semua pihak teruskan usaha yang baik yang sedia ada dan serahkan segala urusan itu kepada Allah. Pertemuan sekurang-kurang menjadi tanda di akhirat bahawa arahan Allah tentang perdamaian telah diusahakan dengan ikhlas. Matmerapu rasa bahawa perasaan Matmerapu agak sama dengan rakyat biasa yang lain, mendoakan hasrat itu dapat dilihat dan direalisasikan dalam iklim politik yang matang.

Thursday 21 November 2013

Isu Tuntutan Comango.......!!!

Ketika semua masyarakat Islam dunia khususnya Malaysia sedang memberikan tumpuan serius terhadap tuntutan Gabungan NGO Hak Asasi Manusia (Comango), Ketua Pembangkang dilihat cuba mengalih perhatian masyarakat dengan mengadakan sidang akhbar bagi membangkitkan isu lain. Bertempat di Parlimen, beliau mengatakan kerajaan BN,takut untuk mengkritik Amerika Syarikat ekoran dakwaan berhubung kegiatan intipan yang dilakukan. Konon atas dasar prihatin, beliau mengatakan kerajaan Malaysia seharusnya bangkit mempertikaikan tindakan tidak bertanggungjawab itu. Namun, persoalannya ialah, sekiranya benar Anwar prihatin terhadap isu dan masalah negara, mengapakah dia langsung tidak menyentuh berhubung tuntutan yang dikemukakan oleh Comango? Bukankah isu tersebut juga tidak kurang pentingnya, tambahan pula ia menyentuh sensitiviti agama Islam? Atau mungkinkah Anwar juga turut bersetuju dengan tuntutan yang dikemukakan oleh Comango itu? Antara tuntutan yang dikemukakan Comango adalah hak kebebasan orientasi seks LGBT, hak kebebasan murtad bagi orang Islam dan hak kesamarataan agama di negara ini selain mempersoalkan kes tuntutan penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian, larangan terhadap penganut ajaran Syiah dan hak seorang bapa beragama Islam untuk mengislamkan anak-anak di bawah umur. Selain daripada itu, Comango juga secara spesifik mendesak Seksyen 377 Akta Kanun Keseksaan berkaitan jenayah liwat dan enakmen-enakmen jenayah syariah yang bertujuan menyekat gejala LGBT, murtad serta penyebaran ajaran Syiah dimansuhkan. Kerajaan sebelum ini memberikan jaminan tidak teragak-agak mengambil tindakan ke atas mana-mana anasir yang cuba menjejaskan keharmonian dan mencabar Perlembagaan Persekutuan termasuklah Comango. Ia disifatkan sebagai pencabulan kepada Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang Islam dan tindakan boleh diambil mengikut peruntukan undang-undang sedia ada. Selain itu, beberapa NGO yang diketuai oleh gabungan pertubuhan-pertubuhan Islam dalam proses semakan berkala sejagat (MuslimUPRo) dilihat turut memainkan peranan yang proaktif bagi mendesak tindakan terhadap Comango. Malah media arus perdana melaporkan, MuslimUPRo akan menghantar memorandum kedua bagi mencadangkan penubuhan satu pasukan khas ke Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC) bagi menangani isu Islamophobia dan isu hak asasi manusia yang terkeluar dari landasan Islam. Delegasi MuslimUPRo sebelum ini telah memantau tuntutan yang dibuat oleh Comango termasuk dalam isu proses semakan berkala sejagat (UPR) ke atas Malaysia yang memasuki pusingan kedua melalui Majlis Hak Asasi Manusia PBB di Geneva, Switzerland pada 24 Oktober lalu. MuslimUPRo dianggotai pertubuhan Islam utama negara antaranya Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). Anak perempuan Anwar, Nurul Izzah sebelum ini mengatakan tuntutan Comango tidak membahayakan negara. Kesimpulannya sebagai Ketua Pembangkang, Anwar seharusnya berani untuk tampil bagi menyatakan pendiriannya berhubung tuntutan yang dikemukakan itu pendirian Pakatan Pembangkang dalam isu Comango. Apa pun, Al-Quran dan Hadis serta Perlembagaan Negara hendaklah dijadikan rujukan dalam isu Comango ini.

Tuesday 19 November 2013

Muktamar PAS: Kerusi Timbalan Presiden Paling Panaaaasss!!!

Antara penyandang Timbalan Presiden, Mohamad Sabu atau Pesuruhjaya II Pas Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah, siapakah yang bakal dipilih oleh para perwakilan PAS dalam pemilihan Muktamar Ke-59 pada 22 November ini? Banyak pemerhati dari dalam dan luar PAS melihat sejak awal lagi ‘gerakan’ sebelum gelanggang persaingan Timbalan Presiden PAS dibuka, telah menampakkan bibit-bibit yang diragui. Ini boleh dilihat apabila Tuan Ibrahim Tuan Man tiba-tiba menarik diri ke persaingan jawatan nombor dua itu. Persoalannya, mengapa perkara ini terjadi? Adakah bibit kekalahannya sudah dilihat oleh Tuan Ibrahim sendiri sebelum masuk ke gelanggang lagi? Adakah juga mungkin Tuan Ibrahim gusar untuk ‘bertemu buku dengan ruas’ dengan Mat Sabu. Dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden ini, ramai melihat Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu memiliki banyak kekurangan. Kalau diperhatikan, dalam usaha PAS untuk mengukuhkan kedudukan parti dalam kalangan parti pembangkang, Mat Sabu dilihat kurang mempunyai komitmen kepada Pakatan Pembangkang. Ini sehinggakan beliau kurang terbukti menunjukkan prestasi membanggakan sejak dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Syarikat Air Pulau Pinang beberapa tahun lepas dengan elaun lima digit sebulan. Perkara ini menjadi jawapan mengapa Mat Sabu amat menyanjungi Lim Guan Eng (LGE) atas sifat keterbukaan DAP menerima pemimpin PAS. Oleh hal yang demikian, amat penting Mat Sabu TIDAK dikekalkan sebagai Timbalan Presiden yang turut direstui Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Di sebalik konteks penyatuan UMNO-PAS, mereka yang menyanjung tinggi usaha penyatuan Melayu ini juga TIDAK memerlukan Mat Sabu. Ini memandangkan Mat Sabu dilihat kurang liberal, terbuka dan tidak mudah untuk dibawa berunding. Khabarnya, walaupun Mat Sabu dan UMNO selalu berjumpa, berbincang dan bertukar-tukar fikiran. Cuma Mat Sabu ‘kelihatan baik’ dengan PKR/DAP untuk sekadar ‘dilihat’ mematuhi/mengikut rentak pengikut/pemimpin PAS demi populariti politik beliau. Sedangkan, hakikatnya Mat Sabu diakui halangan kuat kerajaan perpaduan. Justeru, Mat Sabu sememangnya penyokong kuat Anwar. Lihat saja apabila Presiden PAS, Almarhum Ustaz Fadzil Noor menghulur tangan untuk membantu Anwar pada 1998 sehingga tertubuhnya GERAK, Mat Sabulah orangnya yang paling lantang menyokong pendekatan tersebut. Inilah sebenarnya wajah Mat Sabu. Ini menyukarkan untuk PAS bersatu dengan UMNO. Mohd. Amar berlatarbelakangkan ulama yang agak ‘terbuka’ (dari segi pemikiran). Beliau juga dilihat tidak ‘kenegerian’. Di bawah Mohd. Amar, Kelantan yang diperintah PAS dilihat lebih dinamik dan maju. Dari sudut pegangan agama Mat Sabu juga tidak kuat. Justeru, ini telah menyebabkan beliau menyokong Anwar yang didakwa terpalit dengan pelbagai ‘skandal’. Suatu ketika kita pasti teringat bagaimana Mat Sabu telah dikatakan ada hubungan dengan isteri orang sehingga ditangkap ‘khalwat’. Ini bukanlah fitnah cuma alas an diberi bahawa pada waktu itu beliau dikatakan berbincang program/aktiviti parti. Malah, kelemahan Mat Sabu turut didedahkan menerusi audio perbualan telefon dengan seorang wanita dengan menggunakan bahasa lucah. Di samping itu, dalam kalangan sekutu pembangkang, PKR lebih selesa menjadikan Mohd. Amar sebagai ‘ayam jantan’ untuk berkokok’ berbanding Mat Sabu. Bagi perebutan Naib Presiden pula, Tuan Ibrahim dijangka bakal berdepan cabaran sengit dengan kesemua penyandanganya, Datuk Husam Musa, Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub. Mereka turut disertai oleh seorang calon veteran, Datuk Abu Bakar Chik, 63 bagi merebut tiga posisi Naib Presiden parti itu. Dalam kalangan pesaing ini, Tuan Ibrahim dilihat mempunyai potensi besar untuk menang selain Husam dan Mahfuz. Salahuddin pula bakal menempuh laluan sukar berikutan kekalahannya dalam PRU13 di Johor walaupun PAS menambah kekuatannya di negeri kubu kuat UMNO berkenaan. Abu Bakar Chik atau ABC pula meskipun suatu ketika merupakan pemimpin yang disegani, namun orang PAS hampir sudah melupakannya berikutan pergerakannya cuma terbatas di peringkat negeri sahaja. Bagi seramai 61 orang calon yang bakal berentap merebut 18 tempat Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat, sekali imbas calon bukan ulama mendominasi pencalonan jawatan ini. Ini termasuklah nama-nama besar seperti bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin, Datuk Mujahid Yusof Rawa dan Dr. Dzulkefly Ahmad. Pada peringkat Dewan PAS pula, hanya jawatan di Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat yang akan dipertandingkan apabila kesemua calon bagi Dewan Ulama menang tanpa bertanding. Menyedari keperluan untuk memastikan Kerajaan Perpaduan diwujudkan, Mat Sabu mesti ditewaskan jawatan Timbalan Presiden. Laluan sukar mestilah disediakan kepada beliau. Ini penting untuk membuktikan bahawa Mat Sabu sudah tidak relevan di samping membuktikan bahawa tuduhan Mat Sabu kalah di Parlimen Pendang, Kedah dalam PRU13 baru-baru ini adalah disebabkan sabotaj oleh ahli-ahli PAS adalah benar! PAS mesti tidak mengabaikan ‘arahan’ Mursyidul Amnya yang tetap mahukan golongan agama menjadi Timbalan Presiden Pas. Buktikan demokrasi masih subur dalam PAS dan sempena Muktamar kali ini, golongan Ulama kembali berkuasa dan kumpulan Erdogan melalui laluan sukar demi kepentingan agama agar PAS tidak tersimpang daripada perjuangan sebenarnya!!!

Sunday 17 November 2013

PAS Lebih Kukuh Jika Keluar Dari PR.....!!!???

Pemuda PAS Pusat merasakan tiada keperluan lagi untuk terus bersama Pakatan Rakyat (Pakatan) sekiranya rakan komponen parti itu berani menggugat prinsip dan kesucian agama Islam yang dipertahankan selama ini. Naib Ketua Pemuda PAS Dr Raja Ahmad Iskandar berkata demikian selepas melihat rakan komponennya DAP sudah tidak lagi menghormati perjuangan PAS. "Tetapi kalau Karpal sendiri tidak boleh menghormati dasar induk, atau kata lain dasar utama teman-teman dalam Pakatan Rakyat, saya rasa tiada maknanya kita bersama". "Kerana kita bersama atas dasar satu prinsip, atas satu hala tuju tetapi menghormati antara satu sama lain, itu yang dipersetujui dan kita tegaskan dalam Konvensyen Pakatan Rakyat, yang kita sudah adakan banyak lagi, menghormati prinsip utama dasar masing-masing, hanya itu,". Raja Ahmad berkata demikian selepas Pengerusi DAP Karpal Singh memberi amaran kepadanya supaya berhati-hati apabila membuat kenyataan dan sebaliknya menuduh beliau pula yang berbohong. Bagaimanapun Raja Ahmad menempelak semula Karpal ekoran masih terus dilihat mempertahankan pembohongannya sebelum ini. Karpal sebelum ini didakwa berbohong dalam membuat kenyataan bersabit kenyataannya yang mahu pendaftaran parti politik dan badan profesional berdasarkan agama dan kaum termasuk PAS dibatalkan kerana membahayakan negara. Malah Raja Ahmad berkata Karpal sepatutnya menterjermahkan kematangan dan rasional dalam melontarkan sebarang pandangan sebelum berani menyentuh sensitiviti parti dari rakan komponen Pakatan. Tambahan katanya, Karpal adalah seorang pengamal undang-undang yang sudah cukup masak dengan apa yang telah dibincangkan sebelum tiga parti itu (PKR-PAS dan DAP) bergabung di bawah satu payung. "Dia juga mengatakan tidak salah untuk dia menegur rakan-rakan dalam Pakatan jadi tidak salah untuk saya menegur dia kembali, jadi masalahnya sekarang dia sudah menyentuh sesuatu yang berkaitan dengan prinsip kita (Islam)". "Yang mana apabila bercakap mengenai Islam, ianya sudah pasti ada berkait rapat dengan perlembagaan, kerajaan persekutuan, norma hidup dan banyak lagi". "Jadi dia sebagai seorang pengamal undang-undang, dia sepatutnya lebih tahu daripada apa yang kami tahu, tentang perlembagaan, secara ringkas tentang Islam, agama dan hak individu dan lain-lain lagi, itu saja yang kami tekankan," katanya. Malah kata Ahmad sebelum ini, Pemuda PAS sudah mendesak agar pemimpin veteran itu segera memohon maaf kepada PAS atas keterlanjurannya menyuarakan pandangan yang disifatkan boleh merobohkan benteng kekuatan parti itu yang mempertahankan Islam. "Keduanya saya menganggap itu merupakan satu cabaran kepada saya dan seperti saya katakan dalam sidang media kita sebelum ini, kita beri tempoh juga kepada YB Karpal untuk memohon maaf kepada kita, sekiranya tidak kita akan ambil tindakan susulan," katanya. Kenyataan saling berbalas antara Raja Ahmad dan Karpal atas isu berkenaan dilihat terus mendapat sokongan daripada Dewan Muslimat PAS. Ini susulan, Dewan Muslimat PAS turut melahirkan rasa kesal dengan pendirian dan pembohongan yang dilakukan oleh Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu dan menganggap ia melunturkan kredibiliti beliau di mata rakyat Malaysia khususnya umat Islam yang menyokong PAS. Malah Dewan Muslimat PAS menegaskan Karpal perlu meminta maaf. Kenyataan Dewan Muslimat PAS di laman sosial Facebook tersebut sebagai reaksi kepada pendedahan Dewan Pemuda PAS Pusat, yang mendakwa mereka mempunyai bukti Karpal berbohong dalam isu itu. Raja Ahmad terdahulu mendedahkan, bukti tersebut terkandung dalam cakera padat rakaman penuh sidang akhbar selama 24 minit 47 saat yang dibuat Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu di Pulau Pinang 5 November lalu. Matmerapu lihat bahawa PAS akan lebih kukuh jika keluar dari PR malah calon PAS lebih diterima pengundi Melayu jika dibandingkan dengan calon PKR.

Wednesday 13 November 2013

Kenapa DAP Perlu Pastikan Generasi Akan Datang Bodoh Tentang Sejarah???

Pengumuman Menteri Pelajaran Kedua Datuk Seri Idris Jusoh untuk menjadikan Sejarah sebagai subjek wajib lulus bagi peperiksaan SPM menerima cemuhan dan bangkangan hebat dari DAP. Menurut Idris, kerajaan bukan berniat untuk menggagalkan para pelajar SPM tetapi hanya ingin memastikan mereka mempunyai pengetahuan mengenai sejarah asas negara ini. Jika subjek itu tidak dijadikan wajib lulus, maka ramai yang akan hanya mempelajarinya secara sambil lewa atau mengenepikannya langsung. Blog Lim Kit Siang memaparkan tulisan Koon Yew Yin yang membincangkan perkara ini dari sudut pandangan DAP. Yew Yin menyifatkan keputusan ini merupakan satu tindakan paling teruk bagi pendidikan di Malaysia. Hujahnya, sistem pembelajaran di negara ini sudah cukup teruk di mana tahap kecekapan pelajar bagi matapelajaran penting seperti Matematik, Sains, Bahasa Malaysia dan Inggeris begitu lemah, maka menjadikan Sejarah yang ‘tidak penting’ sebagai subjek penting hanya akan menjadikan keadaan bertambah buruk. Menurutnya, Malaysia perlu terlebih dahulu memberikan perhatian kepada kebolehan menganalisa, menyelesaikan masalah, berhujah dan berkomunikasi di kalangan para pelajar jika benar ingin menjadi negara maju. Dan matapelajaran sejarah tidak akan membantu. Sebagai seorang yang rasional, Matmerapu bersetuju dengan Yew Yin dari satu segi. Namun begitu, Matmerapu juga bersetuju dengan Datuk Seri Idris Jusoh. Yew Yin berhujah atas fakta yang benar mengenai kelemahan pelajar kita dalam Sains, Matematik, Bahasa Malaysia dan Inggeris, serta ketiadaan skil penting untuk menjadi negara maju, tetapi di masa yang sama beliau telah menidakkan punca masalah itu berlaku. Jika kebolehan menganalisa, menyelesaikan masalah, berhujah dan berkomunikasi di kalangan pelajar yang menjadi kekhuatiran Yew Yin, maka ketahuilah bahawa matapelajaran Sejarah mampu mengatasinya. Apa yang penting ialah kita harus mempunyai guru yang bijak yang dapat mengajak murid-muridnya menganalisa serta belajar dari sejarah itu. Dari subjek Sejarah, anak-anak murid dapat berhujah memberi pendapat serta berbincang mengenai sesuatu peristiwa, di samping meningkatkan pengetahuan am. Ini akan menjadikan mereka lebih matang kerana dapat membuka minda terhadap kejadian sebenar yang telah berlaku dan mampu berulang di masa hadapan. Dengan menuduh bahawa sejarah negara telah dimanipulasi, menunjukkan bahawa Yew Yin telah tidak berhujah secara rasional, tetapi emosional. Yew Yin menuntut agar sejarah tidak dipengaruhi sentimen politik, tetapi Yew Yin sebenarnya berhujah atas sentimen politik yang tegar. Yew Yin, seperti juga Lim Kit Siang dan keseluruhan anggota DAP berada dalam keadaan ‘denial’ atau penafian iaitu tidak dapat menerima sejarah. Lim Kit Siang tidak sanggup melihat gambarnya diheret oleh pihak berkuasa kerana menjadi dalang 13 Mei. Lim Kit Siang tidak sanggup melihat gambar ahli-ahli partinya di atas lori membawa penyapu sebagai simbol untuk menghalau Melayu dari Kuala Lumpur. Lim Kit Siang tidak sanggup melihat gambar-gambar 13 Mei di mana lambang DAP dapat dilihat di mana-mana kerana menjadi pencetus kepada rusuhan. Selain 13 Mei, masalah DAP mengenai sejarah juga, ialah komunis. DAP dibentuk dari semangat komunis yang kuat dan semangat itu masih lagi membara sehingga ke hari ini. Buktinya ialah usaha berterusan DAP untuk menjulang komunis sebagai wira menentang penjajahan. Walhal, komunis menentang penjajah atas alasan untuk menjajah juga. Komunis tidak mahukan kerajaan yang diperintah oleh orang Islam dengan undang-undang yang ditiru dari British. Komunis ingin membentuk negara komunis dengan seorang ‘tokong Cina’ sebagai pemimpin. Atas hakikat inilah, DAP terlalu takut dengan sejarah dan tidak mahu anak-anak mereka mempelajari sejarah. Mereka menanamkan dalam minda anak-anak mereka bahawa sejarah tersebut adalah palsu walaupun terdapat gambar-gambar dan juga laporan-laporan dari berbagai pihak termasuk mereka yang terlibat secara langsung yang masih hidup. Keengganan mempelajari sejarah menjadikan satu-satu bangsa itu jahil, tidak prihatin dan tidak matang. Ini terbukti melalui sikap anak-anak Cina hari ini yang cukup ‘terasing’ dari sistem sosial negara. Mereka tidak punya jati diri, tidak punya rasa cintakan negara dan tidak memahami atau menghayati kewujudan negara ini. Selain itu, mereka juga tidak mampu memahami budaya dan sensitiviti kaum lain. Pendek kata, mereka tidak punya emosional kualiti yang mana menjadikan mereka warga yang biadap dan manusia yang tidak prihatin. Dalam kata lain, mereka menjadi manusia yang dingin, kaku tanpa perasaan sayang dan hormat. Sebaliknya, hati mereka penuh dengan kebencian, dendam dan ketamakan. Lebih teruk lagi apabila sekolah-sekolah Cina pula menanamkan kepercayaan bahawa sejarah negara telah ditukar oleh kerajaan. DAP pula menggunakan kempen Sejarah Sebenar sebagai ‘senjata’ untuk terus menghasut anak-anak Cina agar tidak mempercayai dan mempelajari sejarah. Ini menjadikan masyarakat Cina sangsi, prejudis serta benci pada kerajaan. Perasaan ini kemudiannya membawa kepada kecelaruan identiti kerana tidak dapat mengaitkan diri mereka kepada negara mereka sendiri. Sebenarnya, tiada siapa yang untung dengan tindakan ‘memusuhi’ sejarah. Negara akan sentiasa berada dalam keadaan bergolak jika masyarakat Cina terus mengambil sikap memusuhi sejarah. Dan seperti juga peristiwa 13 Mei, tiada siapa yang lebih bertanggungjawab terhadap pergolakan ini melainkan DAP sendiri. Kerajaan tidak akan menjadikan Sejarah sebagai subjek wajib lulus jika tiada ancaman untuk menukar dan menghasut rakyat. Oleh kerana ancaman itu berterusan, maka pendekatan paksaan ini telah terpaksa dilakukan. Sejarah yang dilupakan pasti berulang, mungkinkah itu yang Yew Yin inginkan?

Tuesday 12 November 2013

PRK Sungai Limau: Layakkah PAS Mendabik Dada???

Tahniah kepada calon PAS yang berjaya memenangi PRK Sungai Limau. Walaupun agak sengit, kem BN agak "berputih mata kerana kalah" bak kata orang-orang PKR. Dalam pada itu, kekalahan BN bolehlah dikatakan agak bergaya dari segi falsafah tetapi dari segi politik, yang kalah tetap kalah. Sudah resam adat bertanding. PAS gagal menambah majoriti. PRU 13 menyaksikan arwah Tan Sri Azizan Razak menang dengan majoriti 2,747 tetapi pada kali ini majoriti yang dimenangi PAS hanya 1,084. Mengikut perkiraan, PAS hanya menang dengan kelebihan kurang dari 5% dari jumlah keseluruhan yang keluar mengundi. Ini satu jumlah yang terlalu kecil dari angka perkiraan politik. Dalam pada itu cerita dari kem PAS amat berbeza. Sudah ada yang mendakwa bahawa merekalah yang memperjuangkan kemenangan PAS di Sungai Limau tersebut. Lebih kelakar orang yang mendakwa itu amat sukar untuk dilihat berkempen di Sungai Limau sebaliknya lebih senang dilihat di sempadan Thailand semasa waktu kempen tersebut berlangsung. Apa yang pasti, tujuan sebilangan pemimpin-pemimpin PAS mempromosi diri ini tidak lebih dari sekadar mendapat populariti untuk muktamar PAS yang akan datang nanti. Dari sini sudah dapat diukur keikhlasan pemimpin-pemimpin PAS untuk berkempen. Jika tidak, masa kan timbul isu dari kem PAS yang tidak menjemput beberapa pemimpin PAS untuk sama berkempen di Sungai Limau. Bukankah cerita ini menunjukkan terdapat unsur peperangan dalaman PAS? Dalam pada itu jika dikaji, kubu kuat PAS tidaklah gah seperti yang disangka. Momentum PAS sudah semakin hilang sengat dengan penurunan majoriti yang amat besar. Menang benar PAS boleh bergembira untuk meraikan kemenangan tersebut, tetapi untuk mendabik dada tidak layak sama sekali. Terdapat satu pepatah Inggeris yang berbunyi "victory will not last a lifetime, but excellence will last forever". Jadi di masa akan datang, tidak mustahil Sungai Limau akan jatuh ke tangan BN kerana dari satu sudut penilaian kualiti yang diterjemahkan BN dalam menghadapi pembangkang lebih baik. InsyaAllah di masa akan datang BN boleh menang dengan bergaya di Sungai Limau. Perlu diingat perjalanan politik bukan hanya dalam tempoh satu atau dua penggal. Perjalanan politik terlalu panjang cuma kita sahaja yang perlu sentiasa peka di manakah kedudukan kita semasa itu. Jadi kepada BN, jangan lagi jadikan kubu kuat PAS sebagai satu alasan kegagalan kita. Tiada yang mustahil dalam politik. Ingat, tiada kemenangan datang bergolek. Setiap kemenangan memerlukan usaha yang gigih. Dan kemenangan yang menggunakan usaha yang gigih akan digelar sebagai kegemilangan, bukan sekadar kemenangan.

PRK Sungai Limau: Sokongan Pengundi Cina Kepada BN Meningkat

KeputusanPRK Dewan Undangan Negeri Sungai Limau secara sepintas lalu menunjukkan terdapat peningkatan sokongan kaum Cina terhadap BN, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Beliau berkata, keputusan dua peti undi yang bilangan pengundi dari kaum Cina didapati lebih ramai menunjukkan bahawa sokongan mereka kini memihak kepada calon BN. "Kalau kita lihat sepintas lalu, memang ada peningkatan, tapi kita perlu membuat kajian lebih mendalam mengenainya," katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan di PICC. Keputusan PRK menyaksikan PAS mengekalkan kerusi DUN Sungai Limau dengan majoriti 1,084 undi, apabila calonnya, Mohd Azam Abd Samat, memperoleh 12,069 undi berbanding calon BN, Dr. Ahmad Sohaimi Lazim, yang mendapat 10,985 undi. Najib berkata, walaupun tewas, prestasi BN boleh dikatakan menggalakkan kerana ia berjaya mengurangkan majoriti PAS, dan kawasan itu pula merupakan kubu kuat parti itu. "Kalau dahulu majoriti kita kalah di tempat ini ialah 2,774 dan kini berkurangan kepada 1,084 undi, ini menunjukkan ada trend sokongan ke arah BN," kata Najib. "Kita tahu ini kubu kuat PAS sebab kawasan ini sudah lima kali Pilihan Raya Umum kita tidak menang, namun PRK kali ini kita berjaya menembusi 10 pusat daerah mengundi berbanding PAS sembilan," katanya. Najib berkata, beliau percaya dengan kemenangan PAS, parti pembangkang pasti tidak akan menyalahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) seperti lazimnya yang sering dilakukan mereka apabila tewas pilihan raya. "Ini menunjukkan demokarasi di Malaysia segar dan telus dan perjalanan serta keputusan PRK ini tidak boleh dipertikaikan," katanya. Beliau mengucapkan terima kasih kepada pucuk pimpinan peringkat nasional yang diketuai Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; peringkat negeri yang diterajui Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir serta peringkat Bahagian diketuai Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom. "Terima kasih juga kepada wakil BN negeri, sayap wanita, pemuda dan puteri. Ini adalah kerjasama berpasukan yang baik antara peringkat negeri dan bahagian, mereka bekerja keras dan menunjukkan prestasi yang baik di dalam BN," katanya