Monday 4 January 2016

#PRN Sarawak- KM Akan Pertahan Kerusi DUN Tanjung Datu

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Haji Adenan Haji Satem, yang juga ADUN Tanjung Datu telah mengesahkan yang beliau akan bertanding dan mempertahankan kerusi DUN Tanjung Datu pada PRN-11 yang akan datang. "Berilah saya peluang untuk lima tahun lagi memimpin negeri ini," katanya lagi dalam ucapannya pada majlis Pelancaran Simbolik bagi Projek Menaik Taraf Jalan Pantai Pandan ke Kampung Belungei dan Kampung Pugu, di Chalet Haji Bujang, Pandan, Lundu. Pengumuman beliau disambut dengan sorakan dan tepukan dari ratusan hadirin yang menghadiri majlis tersebut. Terdahulu, Adenan dalam ucapannya menyatakan beliau telah memohon daripada pihak kerajaan persekutuan untuk menambah peruntukan bagi membangunkan kawasan luar bandar dan selain daripada peruntukan yang biasa, peruntukkan sebanyak RM500 juta bagi keperluan asas penduduk luar bandar merangkumi jambatan, jalan raya, elektrik, air, hospital dan sekolah. “Dengan kelulusan permohonan peruntukkan tersebut, projek pembinaan Jambatan Long Lama, Jambatan Bako, Jambatan Baram, Limbang serta jambatan-jambatan lain dapat dilaksanakan,” tambahnya lagi. Bagi membantu meringankan beban rakyat, Adenan menjelaskan kerajaan telah menurunkan harga tarif elektrik di seluruh negeri Sarawak khusus bagi membantu golongan yang kurang berkemampuan. “Bagi orang yang kurang berkemampuan atau orang kurang upaya atau orang sakit yang menerima bantuan daripada kebajikan, wajar menerima kenaikan elaun sara diri dan akan diisytiharkan pada hujung tahun ini,” katanya lagi. "Sepanjang pentadbiran saya sebagai Ketua Menteri Sarawak sejak setahun yang lalu, antara projek-projek besar yang telah ada di Lundu ialah Projek Lebuhraya Pan Borneo, Projek Naik Taraf Jalan Pantai Pandan ke Kampung Belungei dan Kampung Pugu, Sekolah Centex, Matrikulasi dan terbaru bakal dibina “waterfront” untuk di Sematan dan juga Lundu," katanya lagi. Sehubungan itu, bersempena dengan majlis perasmian Lebuhraya Pan Borneo di kawasan Tanjung Datu pada 15 September ini nanti, beliau berbesar hati menerima kunjungan dari Perdana Menteri Dato' Sri Najib Tun Razak.

#PRN Sarawak: Sokongan BN Bakal Meningkat.....!!??

Kepimpinan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem dilihat mampu meningkatkan lagi sokongan rakyat Sarawak kepada BN dalam PRN Sarawak Ke-11 nanti. Pelaksanaan dasar baharu seperti penurunan kuasa untuk Sarawak, program-program pembangunan, serta keputusan menghapuskan tol di semua jambatan di negeri itu telah meningkatkan sokongan rakyat kepada Adenan dan BN khasnya. Adalah dijangka undi popular BN akan meningkat kepada 60 peratus hingga 65 peratus pada pilihan raya negeri kali ini. Pada pilihan raya negeri yang lepas, BN Sarawak yang diwakili empat parti komponen utama ketika itu iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) menang 55 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala pembangkang termasuk seorang calon Bebas mendapat 16 kerusi DUN. Walau bagaimanapun, isu-isu nasional seperti kenaikan kos sara hidup, cukai barang dan perkhidmatan dan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pastinya tetap menjadi isu pada pilihan raya negeri nanti dan BN perlu bijak menangani segera. Namun, isu-isu itu hanya memberi kesan kepada pengundi muda yang banyak terdedah dengan maklumat tidak tepat dalam media sosial. BN harus bersedia untuk menangkis isu-isu itu melalui media tradisional seperti radio dan televisyen ataupun melalui media maya khasnya melalui aplikasi WhatsApp. PRN Sarawak besar kemungkinan akan diadakan pada cuti persekolahan Mac depan sebelum mandat penuh DUN Sarawak berakhir pada Jun tahun ini. Mengenai calon, tiada “tangan ghaib” yang boleh mempengaruhi Ketua Menteri Sarawak itu dalam menentukan calon BN di 82 kerusi DUN nanti. Selaku Pengerusi BN negeri, Adenan dilihat seorang yang konsisten dalam setiap keputusannya dan tidak mudah dipengaruhi mana-mana pihak. Pemilihan calon (yang akan diputuskan Adenan nanti) adalah atas dasar keyakinan kepada kebolehan calon selain mendapat sokongan parti, rakyat serta bakal calon pelapis untuk Sarawak dalam tempoh lima tahun lagi. Pertambahan 11 kerusi DUN yang baharu, BN dijangka menampilkan sekurang-kurangnya 21 muka baharu dengan menggugurkan beberapa penyandang atas beberapa faktor seperti prestasi dan kesihatan.