Monday, 4 January 2016

#PRN Sarawak: Sokongan BN Bakal Meningkat.....!!??

Kepimpinan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem dilihat mampu meningkatkan lagi sokongan rakyat Sarawak kepada BN dalam PRN Sarawak Ke-11 nanti. Pelaksanaan dasar baharu seperti penurunan kuasa untuk Sarawak, program-program pembangunan, serta keputusan menghapuskan tol di semua jambatan di negeri itu telah meningkatkan sokongan rakyat kepada Adenan dan BN khasnya. Adalah dijangka undi popular BN akan meningkat kepada 60 peratus hingga 65 peratus pada pilihan raya negeri kali ini. Pada pilihan raya negeri yang lepas, BN Sarawak yang diwakili empat parti komponen utama ketika itu iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) menang 55 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala pembangkang termasuk seorang calon Bebas mendapat 16 kerusi DUN. Walau bagaimanapun, isu-isu nasional seperti kenaikan kos sara hidup, cukai barang dan perkhidmatan dan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pastinya tetap menjadi isu pada pilihan raya negeri nanti dan BN perlu bijak menangani segera. Namun, isu-isu itu hanya memberi kesan kepada pengundi muda yang banyak terdedah dengan maklumat tidak tepat dalam media sosial. BN harus bersedia untuk menangkis isu-isu itu melalui media tradisional seperti radio dan televisyen ataupun melalui media maya khasnya melalui aplikasi WhatsApp. PRN Sarawak besar kemungkinan akan diadakan pada cuti persekolahan Mac depan sebelum mandat penuh DUN Sarawak berakhir pada Jun tahun ini. Mengenai calon, tiada “tangan ghaib” yang boleh mempengaruhi Ketua Menteri Sarawak itu dalam menentukan calon BN di 82 kerusi DUN nanti. Selaku Pengerusi BN negeri, Adenan dilihat seorang yang konsisten dalam setiap keputusannya dan tidak mudah dipengaruhi mana-mana pihak. Pemilihan calon (yang akan diputuskan Adenan nanti) adalah atas dasar keyakinan kepada kebolehan calon selain mendapat sokongan parti, rakyat serta bakal calon pelapis untuk Sarawak dalam tempoh lima tahun lagi. Pertambahan 11 kerusi DUN yang baharu, BN dijangka menampilkan sekurang-kurangnya 21 muka baharu dengan menggugurkan beberapa penyandang atas beberapa faktor seperti prestasi dan kesihatan.

No comments:

Post a Comment