Sunday, 9 March 2014

Bagaimana Nasib PR Tanpa Anwar.......!!!???

Mungkinkah ini agaknya yang dibimbangi PAS selama ini? Pimpinan PAS jelas keberatan untuk memperakukan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri jika Pakatan Rakyat berjaya menawan Putrajaya dalam PRU13 tahun lalu. PAS juga enggan menyokong rancangan Anwar untuk menjadi Menteri Besar Selangor jika menang PRK Kajang pada 23 Mac nanti. Dengan amat berhati-hati PAS cuma menyatakan akan membantu kempen Anwar dalam PRK berkenaan tetapi menegaskan soal Anwar menjadi Menteri Besar satu isu lain. Adakah naluri politik PAS mengujanya untuk berhati-hati dalam memberi sokongan penuh kepada Anwar kerana ia insaf bahawa pada hakikatnya dunia politik sentiasa menjanjikan pelbagai kemungkinan. Lebih-lebih lagi jika politik tidak dipandu oleh prinsip yang tulus. Atau, adakah ini membayangkan bahawa PAS membuat telahan bahawa walaubagaimana sekalipun Anwar akhirnya tetap akan didapati bersalah dalam kes liwat pembantunya, Saiful Bukhari Azlan? Jika demikian telahan PAS ini menggambarkan bahawa juga adalah parti yang pragmatik dan dapat membaca sentimen dan trend politik Malaysia dengan baik. Jika awal-awal lagi PAS sudah memperakui Anwar akan menjadi Perdana Menteri atau Menteri Besar Selangor, penghakiman sebegini pasti “memerangkap” Pakatan Rakyat. Atau, adakah ini bermakna bahawa pandangan ramai penganalisis politik adalah benar dan tepat bahawasanya Anwar mencetuskan kempen “Langkah Kajang” ini kerana mungkin beliau mempunyai maklumat bahawa nasib politiknya bakal ditentukan Mahkamah Rayuan yang memang dijadualkan untuk membicarakan rayuan pihak pendakwa kes liwat itu awal bulan Mac. Sebab itu, mungkin Anwar mengatur untuk menjadi calon PRK Kajang dan mengalih fokus masyarakat daripada menelah kemungkinan ini. Di segi politiknya Anwar mungkin mencongak jika keputusan mahkamah muncul sebagai satu perkara yang “mengejutkan” ia pasti meningkatkan simpati rakyat pada dirinya, PKR dan Pakatan Rakyat. Hakim Datuk Balia Yusuf Wahi yang mengetuai panel tiga hakim mengumumkan keputusan membatalkan pembebasan Anwar oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Januari 2012. Panel berkenaan memutuskan untuk menolak rumusan Mahkamah Tinggi bahawa bukti DNA dalam kes itu telah tercemar dan tidak boleh digunapakai."Hakim perbicaraan telah menggunakan pendekatan yang salah untuk menolak bukti DNA itu. Beliau mendapati sampel yang diletakkan di dalam beg plastik Hospital Kuala Lumpur telah dikompromi," kata beliau. "Namun ini cuma berlaku kepada beg plastik berkenaan dan bukannya bukti DNA itu sendiri," tambah Balia. Yang pastinya, keputusan mahkamah itu sekaligus memporak-perandakan strategi PKR dan Pakatan Rakyat. Sementara menunggu proses rayuan peguam-peguam Anwar terhadap hukuman itu, sudah pasti PKR dan Pakatan Rakyat akan menghadapi keadaan yang bercelaru ibarat “anak ayam kehilangan ibu”.Ini sekaligus merencatkan strategi besar “Langkah Kajang”. Walaupun selagi hukuman belum dikuatkuasa sementara menanti proses rayuan ke Mahkamah Persekutuan selesai, Anwar masih boleh bertanding PRK Kajang, kedudukannya sebagai ADUN jika menang akan sentiasa dalam “ancaman”. Pada bila-bila masa jika kalah dalam rayuan di Mahkamah Persekutuan, PKR pasti akan “kehilangan” kerusi berkenan. Mungkinkah Naib Presiden dan anak sulung Anwar, Nurul Izzah diberi penghormatan mewakili aspirasi ayahnya di Kajang? Di segi kelayakan Nurul Izzah memang tiada masalah. Atau, mungkinkah khidmat Presiden PKR sendiri, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail ditagih sekali lagi? Apapun kedua-duanya boleh memberi kelebihan kepada PKR untuk mendapat undi simpati kerana “nasib malang” yang menimpa Anwar ini. Jika pengurus-pengurus kempen PKR dan Pakatan Rakyat bijak menggunakan isu. “Penghakiman yang memeranjatkan” itu, ia mungkin meningkatkan peluang untuk menang bagi sesiapa sahaja calon yang PKR kemukakan. Menjenguk ke dalam rumahtangga PKR, keadaan lebih suram boleh dijangka. Dengan Presidennya, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail dikatakan akan melepaskan jawatannya pasti akan berlaku saingan sengit untuk kerusi itu Mei ini. Sebelum ini persaingan yang menjadi fokus ialah kerusi Timbalan Presiden di antara penyandang, Azmin Ali dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Penghakiman Mahkamah Rayuan ini pasti mengubah kedudukan ini.Mungkinkah Khalid meningkatkan selera politiknya untuk cuba bertanding jawatan Presiden pula? Jika demikian, adakah Azmin pun akan mengambil tindakan yang sama? Satu lagi isu yang perlu diberi perhatian ialah, apakah yang akan berlaku pada Pakatan Rakyat? Siapakah yang akan mengisi peranan Anwar sebagai Pengerusi Majlis Presiden? PKR masih bergelut dengan persoalan siapa akan menjadi pemimpin de factonya. Apakah pimpinan Pakatan Rakyat akan diambilalih oleh DAP yang mempunyai kerusi terbanyak di parlimen? Maka adakah Pengerusi pakatan nanti adalah Lim Kit Siang atau anaknya, Lim Guan Eng? Atau, demi mengekalkan citra “pimpinan Melayu” perkongsian politik itu memilih pemimpin PAS, Datuk Seri Haji Hadi Awang atau Mursyidul Amnya, Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat memimpin pemuafakatan Pakatan Rakyat? Mungkin Konvensyen Pakatan Rakyat hujung minggu ini akan menemui satu formula yang boleh meyakinkan rakyat, bahawa Pakatan itu tidak akan goyah meskipun pemimpin utamanya direhatkan.

No comments:

Post a Comment