Monday, 17 March 2014
#PRK Balingian: Komitmen Lebih Penting Daripada Manifesto......!!!
BN tidak perlu mengeluarkan manifesto khas untuk PRK Balingian kerana komitmen untuk menunaikan janji yang dibuat pada pilihan raya umum yang lalu lebih diutamakan, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. Beliau berkata siapa pun yang dipilih BN untuk menjadi calonnya pada mana-mana pilihan raya, sedar akan tanggungjawab mereka bagi memudahkan parti gabungan ini dalam memenuhi janjinya kepada rakyat. "Saya tidak fikir manifesto itu penting tapi komitmen calon itu penting. Kerana ini bukan pilihan raya umum dan Sarawak adalah dipimpin oleh Barisan Nasional. Apa yang kita janjikan dahulu kita akan laksanakan," katanya selepas tamat proses penamaan calon bagi PRK DUN Balingian di Dewan Suarah Mesra, Mukah. Calon BN Yussibnosh Balo, 47, akan berdepan dengan calon PKR Abdul Jalil Bujang dalam pertandingan satu lawan satu bagi kerusi Balingian yang dikosongkan penyandangnya Tan Sri Abdul Taib Mahmud kerana bersara sebagai Ketua Menteri Sarawak pada 28 Feb. "Bagi kami bukan manifesto yang penting tapi komitmen...masih ada beberapa perkara yang hendak kita sempurnakan," kata Muhyiddin. Mengenai penyertaan PKR dalam PRK itu, Muhyiddin dapat mengagak bahawa pembangkang akan sengaja menggembar-gembur isu untuk meraih perhatian pengundi semasa berkempen. "Ini terbukti pada beberapa pilihan raya sebelum ini, parti itu akan menggunakan apa sahaja untuk dijadikan modal pilihan raya", katanya. "Biasalah dalam mana-mana PRK (jika) pembangkang telah kehilangan modal, dia cari apa-apa yang ada (untuk dijadikan isu kempen). Itu cara yang mereka lakukan," katanya. Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem turut mengiyakan pandangan Muhyiddin bahawa parti pembangkang pastinya akan membangkitkan isu yang tidak berasas dalam PRK seperti ini. "Jika tiada isu pun, saya pasti mereka akan menciptanya," katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment