Sunday, 23 March 2014

#PRK Balingian: Calon Bertanding Kejar Masa Pikat Pengundi......!!!

PRK Balingian pada 29 Mac ini diumpamakan pertembungan antara dua individu yang kurang dikenali. Kedua-dua calon itu Yussibnosh Balo, 48, daripada BN dan calon PKR, Abdul Jalil Bujang, 55 memang tidak berapa dikenali dan pertama kali diketengahkan dalam arena politik Balingian. Tetapi sebahagian 13,366 pengundi berdaftar pernah mendengar nama Abdul Jalil kerana beliau pernah bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri Jepak pada 2011 dan tewas kepada calon BN, Datuk Talip Zulpilip. Kelebihan Yussibnosh ialah beliau merupakan bekas pegawai daerah Dalat dan anak jati Kampung Tellian di Mukah menyebabkan beliau lebih popular. Kempen pilihan raya kecil ini semakin rancak. PKR memulakan 'perang' dengan mendirikan papan iklan gergasi yang menarik perhatian di sekitar bandar. Kempen BN pula kini menyasarkan pengundi Iban berjumlah 3,875 orang membabitkan 78 rumah panjang, kebanyakannya boleh diakses sekurang-kurangnya melalui jalan batu kelikir ladang kelapa sawit. Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu memulakan kempen memperkenalkan Yussibnosh kepada pengundi di Rh.Geruna di Temesu, rumah panjang 14 pintu. Temesu ialah satu daripada 21 pusat pengundian dan mempunyai 241 pengundi berdaftar yang 236 daripadanya merupakan etnik Iban. Menurut Penghulu Thomas Jawa Laso, pengundi tidak sabar menemui Yussibnosh, calon yang akhirnya menjadi pilihan BN negeri untuk meneruskan legasi cemerlang, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, yang juga bekas Ketua Menteri dan sekarang Yang Dipertua Negeri Sarawak."Sudah tentu mereka berkongsi kegembiraan dengan saudara sesama Melanau Kristian dan Yussibnosh adalah Melanau Kristian". "Mereka gembira kepimpinan tertinggi BN tidak melupakan perjanjian tidak bertulis mereka iaitu seorang daripada wakil rakyat di Mukah mesti dipilih dalam kalangan Kristian jika dua lagi (anggota Parlimen Mukah dan anggota wanita DUN Dalat) adalah daripada masyarakat Islam," katanya. Selain itu, Thomas berkata mereka juga gembira kerana isteri Yussibnosh berbangsa Iban dari Simunjan. "Sudah pasti apa yang lebih penting, rakyat selesa dengan pimpinan kerajaan BN sekarang di peringkat negeri dan pusat," katanya. Sementara itu, Jabu pada perhimpunan di rumah panjang itu juga berkata beliau dan Dr Stephen Rundi telah mengadakan perjumpaan dengan 41 daripada 78 ketua rumah panjang di kawasan itu baru-baru ini untuk mendengar dan merekodkan masalah mereka dan harapan penduduk di situ. Jabu berkata beliau dan pemimpin Dayak yang lain akan meneruskan usaha di peringkat akar umbi untuk membantu Yussibnosh. Sebaliknya, Abdul Jalil mempunyai tugas sukar untuk membuktikan beliau anak jati Balingian memandangkan datuknya berasal dari Kampung Lintang, yang jaraknya tidak jauh dari bandar. Selain pengundi Iban, Balingian mempunyai 7,705 pengundi Melayu/Melanau dan 1,683 pengundi Cina. Abdul Jalil pada penampilan pertama pilihan raya negeri 2011 berjaya meraih 2,342 undian dalam pertembungan lima penjuru di Jepak. Pemenangnya, calon BN Datuk Talip Zulpilip meraih 5,470 undian. Ahli perniagaan itu menetap di Bintulu dan kini sering melawat Balingian tetapi masih belum begitu dikenali. Timbalan Presiden PKR Azmin Ali yang mengumumkan Abdul Jalil sebagai calon di Sibu yakin Abdul Jalil akan memberi saingan hebat kepada Yussibnosh. Dengan hanya tinggal 5 hari lagi sebelum hari pengundian, Balingian dan Mukah sudah pasti menjadi sarang aktiviti dan lebih 'meriah' dengan pelbagai acara di seluruh kampung, rumah panjang dan tempat-tempat awam. Sebaik selepas berakhirnya pilihan raya kecil DUN Kajang pada 23 Mac, sudah pasti tumpuan terarah di Balingian dengan kemunculan nama-nama besar pemimpin BN dan PKR di sini untuk meraih sokongan di saat-saat akhir untuk calon mereka.

No comments:

Post a Comment