Thursday, 6 March 2014

#PRK Balingian: Siapakah Calon Di Hati Mereka.....!!!???

Persoalan siapa pengganti Pehin Sri Taib di N51 Balingian menjadi topik kedai kopi dan dihangatkan dengan pelbagai spekulasi bahawa calon N51 Balingian merupakan petunjuk kepada bakal Ketua Menteri Sarawak untuk masa depan. Beberapa nama telah senaraikan oleh penganalisa politik termasuk Dato Effendi Norwawi dan juga Dato Aidan Wing dikatakan calon yang paling sesuai untuk menjadi calon BN di N51 Balingian. Dato Effendi Norwawi merupakan bekas ADUN Dalat dan juga Ahli Parlimen Kuala Rajang manakala Dato Aidan Wing adalah bekas ADUN Lambir. Pun begitu Dato Effendi telah menyatakan beliau telah bersara dan tidak lagi berminat untuk kembali aktif dalam politik. Bagaimana dengan Dato Aidan Wing? Adakah beliau masih berminat selepas tidak dicalonkan semula di DUN Lambir dalam pilihan raya negeri lalu ? Selain BN, PAS, PKR dan DAP juga berhasrat untuk merebut kawasan N51 Balingian, namun mereka masih berwaspada selepas pilihan raya negeri lalu . N51 Balingian yang 90 peratus lebih dihuni oleh kaum Melanau merupakan kubu kuat BN sejak dahulu lagi dan jika PAS, PKR atau DAP sememangnya berhasrat untuk merebut kawasan tersebut daripada BN, mereka dijangka mendapatkan calon anak tempatan yang benar-benar mampu memikat hati pengundi Mukah dan Balingian. Mukah telah membangun dengan begitu cepat selepas dinaik taraf daripada sebuah daerah ke sebuah bahagian dalam tempoh 13 tahun lalu. Mukah juga terkenal dengan Pesta Kaul dan makanan tradisinya, Umai, Sago dan juga Si’et. Selain nama yang telah disebut, siapa lagi yang sebenarnya layak menjadi wakil rakyat N51 Balingian. Apakah PBB akan memilih orang Melanau anak tempatan atau anak Melanau yang membesar dan membina kehidupan di tempat lain sebagai calon mereka. Ramai anak Melanau tempatan yang mempunyai pendidikan tinggi, berpengalaman luas sebagai pentadbir dan berjawatan tinggi di luar Mukah yang layak dipilih sebagai calon BN-PBB. Diyakini PBB sudah pun mengenalpasti siapa calon pilihan mereka. Adakah calon mereka itu calon yang diterima oleh 90 peratus pengundi Mukah Balingian ? Adalah tidak dijangka sebarang kejutan bakal berlaku di kawasan tersebut kerana pastinya PRK itu nanti sebagai endorsement sahaja untuk calon BN menjadi wakil rakyat berdasarkan sejarah lampau. Seandainya BN-PBB mampu ditewaskan di N51 Balingian , maka tidak mustahil kerusi-kerusi luar bandar BN yang lain bakal ditakluki oleh pembangkang dalam PRN 2015/2016 nanti. Sama-sama kita tunggu apakah tindakan yang akan dilakukan oleh Tan Sri Adenan Satem, Ketua Menteri Sarawak yang baru. Adakah PBB akan memilih Mahmud Taib sebagai pengganti ayahnya atau memilih calon baru yang lain.

No comments:

Post a Comment