Monday 3 March 2014

Khalid Ibrahim Bangkit, Anwar Ibrahim Tersepit......!!!???

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim adalah ibarat harimau yang terluka. Beliau perlu bertindak ganas dan tegas untuk memastikan kepentingan politiknya terpelihara. Reputasi dan maruah dirinya kini tercabar dan beliau perlu segera mengatur strategi balas. Beberapa pihak dalam PKR sering mentohmahnya tidak mesra parti sendiri.Beliau dikatakan sering membuat keputusan yang mempunyai implikasi politik tanpa merujuk kepada parti. Pihak berkenaan menganggap beliau tidak menghormati kedaulatan pimpinan parti. Khalid selama ini tidak mempedulikan pandangan-pandangan sinis begini. Bagi beliau sebagai Menteri Besar beliau hanya bertanggungjawab kepada sultan dan rakyat. Beliau mahu memberi khidmat terbaik dan yakin ini sudah dilaksanakan dengan berkesan. Di segi pengurusan negeri, Khalid percaya beliau telah berjaya mengurangkan beban rakyat dengan memberi subsidi bayaran air dan pelbagai insentif sosial. Malah di segi politik pun Khalid percaya beliau dapat menangani cabaran dengan cemerlang. Sifir Khalid ialah apabila secara bersama DAP, PAS dan PKR menawan Selangor pada 2008, beliau diberi amanah untuk memelihara dan melebarkan pengaruh Pakatan Rakyat di Selangor. Khalid rasa beliau sudah langsaikan amanah yang diberikan.Amanah ini telah beliau langsaikan. Dalilnya, ketika menjadi Menteri Besar kali pertama pada 2008, BN mempunyai 20 kerusi dalam DUN Selangor. Bagaimanapun selepas lima tahun memimpin negeri paling kaya di Malaysia, kerusi BN hanya tinggal dua belas sahaja. Bagi Khalid jika itu tidak membuktikan keberkesanan cara beliau memimpin, apakah ada lagi ukuran lain yang boleh digunakan? Bagaimanapun yang membuat Khalid terluka ialah walaupun sudah membuktikan kecemerlangan politik yang begitu ketara, ada pihak dalam PKR yang masih mempertikaikan kemampuannya berpolitik. Pengarah strategi PKR, Rafizi Ramli tanpa berselindung mengatakan bahawa walaupun rekod pengurusannya cemerlang, Khalid masih memerlukan bantuan untuk menghadapi terjahan politik BN yang banyak menggunakan isu emosi seperti agama dan perkauman. Atas dasar itu, PKR dan Pakatan Rakyat dikatakan perlu meletakkan Ketua Pembangkang merangkap Ketua Umum PKR dan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mempunyai pengalaman politik luas untuk menggantikan Khalid menghadapi serangan BN itu. Maka dicetuskan idea untuk diadakan PRK Kajang supaya Anwar boleh bertanding untuk menjadi ADUN dan kemudian diangkat menjadi Menteri Besar menggantikan Khalid.

No comments:

Post a Comment