Monday 3 March 2014

Apa Motif Khalid Umum Tanding Timbalan Presiden......???

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengumumkan akan bertanding sebagai Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan parti akan datang. Beliau berkata demikian di Majlis Makan Malam Kasih Bertaut di kediamannya, di Seksyen 7, Shah Alam. Yang menjadi persoalan, kenapa beliau umum mahu merebut jawatan nombor dua itu menjelang PRK Kajang yang akan diadakan pada 23 Mac ini? Kenapa beliau tidak boleh menunggu calon PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipilih menjadi ADUN Kajang terlebih dahulu? Kenapa perlu tergopoh-gapah buat pengumuman? Beliau yakin beliau mampu mengatasi Azmin Ali dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan parti itu yang dijadualkan berlangsung Mei ini. Selain menerima sokongan menggalakan daripada rakan-rakannya dalam PKR, beliau turut menjangkakan kedudukannya lebih selesa berbanding Azmin kerana mempunyai kelebihan dari segi pengalaman serta prestasi dalam pelbagai bidang. “Semua pendekar masuk gelanggang, kalau rasa tidak menang, tak masuk. Saya ada kelebihan dari segi track record dalam semua bidang, saya juga jujur dan sangat berdedikasi".“Yang lebih penting ialah saya bekerja untuk agenda reformasi dan saya tidak ada agenda peribadi,” katanya. Keputusan Abdul Khalid itu dilihat menguatkan lagi desas-desus mengenai pergeseran di antara Menteri Besar itu dengan Azmin sebelum ini kerana Timbalan Presiden PKR itu dilaporkan sering mengkritik pentadbiran kerajaan negeri melibatkan beberapa isu. Ini kerana, Azmin yang merupakan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Negeri Selangor dilaporkan pernah bertindak melalui badan itu mengemukakan memorandum kepada Abdul Khalid ekoran tidak berpuas hati dengan pengurangan peruntukan pembangunan oleh kerajaan negeri pada 7 Oktober 2013. Selain itu, pada 28 Nov 2013, Azmin turut menyelar keputusan kerajaan negeri menaikkan gaji dan elaun anggota pentadbiran Selangor di antara 80 hingga 373 peratus berkuatkuasa Januari lalu, selain menganggapnya terlalu tinggi dan perlu ditangguhkan.Terbaru, krisis di antara Azmin dengan Abdul Khalid memuncak apabila Timbalan Presiden PKR itu digugurkan daripada jawatan Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) berkuatkuasa 10 Januari lalu. Dalam pada itu, Khalid menafikan keputusannya bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR merupakan tindakbalas beliau terhadap Azmin yang dikatakan memberi banyak tekanan kepada pentadbirannya sebelum ini.Sebaliknya, memberikan alasan keputusan untuk mencabar Azmin itu dibuat setelah beliau mengambilkira pandangan serta sokongan daripada pelbagai pihak dari dalam parti itu sendiri.“Mereka menyatakan bahawa perlu seorang Menteri Besar yang bukan hanya mentadbir negeri tetapi juga berkhidmat kepada parti. Maka atas sebab itu, saya membuat pengumuman awal,” ujarnya yang turut menyatakan hasratnya itu turut mendapat galakan daripada Penasihat PKR, Anwar Ibrahim. Khalid Ibrahim secara terbuka mengakui berlaku konflik dalaman antara beliau dan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali. Beliau berkata, pertelingkahan dengan Azmin bagaimanapun tidak akan memberi kesan kepada PKR, pembangkang dan juga peluang kemenangan Anwar Ibrahim pada PRK Kajang. Katanya, pertelingkahan tersebut tidak mempunyai kaitan langsung dengan jumlah undi.“Kadang-kadang lebih ramai orang suka buat pilihan (mengundi kita) pula. Jadi, awak kena faham sesuatu pertelingkahan dalaman tidak ada kaitan dengan jumlah undi".“Kita telah lihat perkara ini tetapi asalkan rakyat jangan anggap perkelahian itu akan merosakkan parti dan (seterusnya) memberi undi tidak percaya, sudahlah,” ujarnya. Apakah motif Khalid buat pengumuman ini sedangkan pemilihan parti masih jauh lagi? Adakah beliau sengaja mahu memerangkap Anwar yang sedang bertanding di DUN Kajang? Kalau benar Anwar akan jadi Menteri Besar, apa perlunya Khalid yang tiada jawatan dalam kerajaan menjadi Timbalan Presiden PKR? Dari segi rekod, Khalid tiada penyokong akar umbi. Bagaimana beliau mahu mengalahkan Azmin Ali sedangkan beliau sendiri tidak pernah menang jawatan Ketua Bahagian atau Ketua Cabang? Sepatutnya beliau bertanding jawatan ini tiga tahun lalu ketika beliau berada di puncak kuasa. Andainya Mei ini Khalid menentang Azmin, beliau bukan lagi Menteri Besar (jika Anwar diperkenan Sultan Selangor sebagai Menteri Besar baru), maka tanpa jawatan bukan mudah bagi Khalid mahu menumbangkan Azmin. Nampaknya Timbalan Presiden PKR Azmin Ali lebih matang daripada Khalid dalam isu pertandingan ini. Beliau berkata beliau belum membuat keputusan bertanding dalam pemilihan parti untuk memberi fokus kepada PRK Kajang 23 Mac ini. Beliau berkata sebagai Pengarah pilihan raya peringkat nasional PKR, penting bagi beliau bertanggungjawab untuk memastikan jentera PRK itu berjalan dengan lancar.“Saya belum buat keputusan (bertanding dalam pemilihan parti), saya mahu fokus di Kajang,” kata beliau selepas ceramah di Taman Saga Emas, Kajang. "Entah siapa penasihat Khalid yang menasihati Khalid umum bertanding sekarang sedangkan sepatutnya PRK Kajang yang patut menjadi keutamaan Khalid". Sebagai pengarah PRK Kajang, Khalid akan disalahkan jika Anwar menang dengan majoriti yang kurang daripada majoriti bekas ADUN Kajang, Lee Chin Cheh. Keputusan Khalid hanya mendedahkan kelemahan parti, atau adakah Khalid sengaja mahu mensabotaj Anwar?

No comments:

Post a Comment