Wednesday 19 February 2014

#PRK Kajang:Tidak Menguntungkan Sesiapa......!!!???

Telah banyak yang diperkatakan tentang PRK Kajang. Ia mengejutkan ramai pihak. Tiada darurat baginya diadakan. PRK itu hanya menyebabkan rakyat tidak selesa di samping memberi gambaran yang aneh. Duit rakyat dibazirkan, masa serta tenaga kerja bakal terbuang begitu saja. PKR mungkin mempunyai agenda nasional bagi mengadakannya, namun ia sesuatu yang tidak adil dan dianggap suatu pembaziran. PKR seperti yang dikatakan, diurus dengan lemah dan menjadi duri di dalam daging kepada Pakatan Pembangkang. Pimpinan PAS dan DAP mungkin telah bersetuju dengan langkah itu, tetapi samada mereka ikhlas, itu tidak diketahui. Kedudukan mereka mungkin terjejas kerananya. Bagaimana pemimpin mereka boleh bersetuju dengan pembaziran yang memberi kesan kepada rakyat? Kedua-dua PAS dan DAP tidak terlibat dengan rancangan ini secara langsung. Persetujuan mereka dibuat selepasnya, bagi mengekalkan keharmonian pakatan mereka. Pakatan mesti mengamalkan demokrasi. Ia perlu dan hendaklah menunjukkan bahawa ia yakin dengan demokrasi, baik dari segi bentuk, struktur, perkataan serta amalan. PKR mungkin menerajui Pakatan tetapi PAS dan DAP perlu menasihatinya tentang keperluan mengadakan PRK itu. Ia mungkin dapat merungkai masalah yang dihadapi PKR tetapi memberi kesan kepada Pakatan. Bagi rakyat (atau pengundi di Kajang), cara menyelesaikan krisis dalaman ini menyebabkan kesulitan. Pengkritik telah menyalahkan UMNO kerana tidak memikirkan parti komponen lain di dalam BN, tetapi budaya yang sama seperti diamalkan PKR yang mahu menyelamatkan masa depannya. Adakah aduan telah dibuat berhubung ADUN Lee Chin Cheh yang mengatakan beliau mengabaikan tanggungjawabnya? Jika tiada, langkah beliau meletak jawatan mungkin tindakan ‘patriotik’. Namun, tindakan membuta tuli itu bukan langkah yang wajar dipuji. Sedarkah Lee Chin Cheh bahawa tindakannya menyusahkan pengundi-pengundinya? Beliau tidak lagi boleh dipercayai dan karier politiknya mungkin terkubur. Beliau berkorban untuk parti tetapi tidak untuk pengundi. Beliau menghancurkan kepercayaan pengundi Kajang. Menurut Rafizi Ramli, pengarah strategi PKR, langkah tersebut bagi mengelakkan sebarang usaha UMNO/Kerajaan BN merampas Selangor melalui deklarasi darurat yang pernah terjadi di Kelantan pada 1977. Kerajaan Kelantan ketika itu mengalami krisis dalaman dan pertelagahan yang menyebabkan pentadbiran negeri terganggu. Tetapi di Selangor, hanya PKR yang bermasalah, manakala dua lagi parti di dalam keadaan selesa. Hujah Rafizi tidak meyakinkan. UMNO pada masa itu cuba menyingkirkan PAS daripada BN dan insiden di Kelantan membuka peluang baginya. Bukan mudah bagi UMNO/Kerajaan BN melakukan tindakan yang serupa, kerana ia tidak lagi mempunyai masa. Tindakbalas terhadap langkah itu bakal menyulitkan Pakatan. Masalah dalaman parti wajar ditangani jentera parti dan bukannya melalui PRK. Jalan menuju ke Putrajaya ialah melalui penerangan kepada pengundi di kawasan pedalaman dan bukannya melalui Selangor. Pakatan cuba mengurangkan jumlah kawasan parlimen yang menyokong UMNO di dalam PRU13 – dengan menyumbang sebanyak 88 kerusi. Kawasan ini merupakan tulang belakang UMNO dan Pakatan cuba memberi tumpuan kepada tempat-tempat tertentu. Pakatan wajar ingat satu pepatah Melayu: “Apa yang dikejar tak dapat, apa yang dikendong berciciran”. Orang-orang utara pula memiliki pepatah dengan maksud yang sama: “Balik Pulau, Bayan Lepas, sana terperelau, sini terlepas.” Dalam kata lain, Pakatan mungkin tidak dapat menawan Putrajaya sementara Selangor jatuh ke tangan BN. Para pengundi perlu berhati-hati memilih bakal ADUN mereka.Kemungkinan wujud kesilapan diagnosis tetapi simptonnya sudah jelas.

No comments:

Post a Comment