Sunday, 23 February 2014

#PRK Kajang: Calon BN Pengukur Penerimaan Pimpinan Baru MCA - TPM

Pemilihan Naib Presiden MCA Datin Paduka Chew Mei Fun sebagai calon BN bagi kerusi DUN Kajang bakal menjadi pengukur kepada penerimaan rakyat terhadap kepimpinan baharu parti MCA. Berikutan itu, Timbalan Pengerusi BN Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, peluang bertanding itu tidak harus dipersia-siakan meskipun ada pihak mencadangkan agar BN tidak bertanding pada PRK DUN Kajang 23 Mac ini. PRK Kajang platform ukur sokongan masyarakat Tionghua terhadap kepimpinan baharu MCA.“Kalau tidak ada kesempatan ini diambil, maka lebih sukar untuk mengukur sejauh mana penerimaan masyarakat Cina ataupun rakyat terhadap kepimpinan baharu (MCA)".“Apapun keputusan itu nanti, akan dijadikan satu gambaran di mana mereka (MCA) berada, dan langkah-langkah pemulihan yang boleh diambil dan asas-asas perjuangan yang hendak diperjuangkan untuk masyarakat Cina mungkin dapat disampaikan pada pilihan raya seperti ini,” katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) di kawasan Parlimen Pagoh. Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, kepimpinan baharu MCA juga diberi kesempatan untuk membuktikan kepada pengundi di Kajang dan masyarakat Tionghua bahawa mereka bersedia membantu kaum itu.“Saya fikir ada baiknya kita beri peluang (kepada MCA) walaupun ada cadangan untuk kawasan itu diberikan pada wakil parti komponen (BN) yang lain,” katanya. Menurutnya lagi, Chew adalah calon yang sesuai bagi kerusi DUN Kajang kerana beliau berpengalaman menyandang jawatan kerajaan dan seorang yang berprinsip dari segi perjuangannya dan mempunyai perwatakan baik. Dalam pada itu, Muhyiddin berkata BN tidak mahu memberi laluan mudah kepada pembangkang dengan tidak bertanding, meskipun dilihat sebagai “bukan pilihan” pada PRK itu. Pencalonan Chew juga bersesuaian menjadi landasan kepada MCA yang telah memutuskan untuk menerima semula jawatan dalam Kabinet pada Mesyuarat Agung Luarbiasa (EGM) parti itu.

No comments:

Post a Comment