Thursday, 20 February 2014
#PRK Kajang: PKR Dijangka Tidak Menang Mudah......!!!???
Keinginan BN untuk bertanding pada PRK DUN Kajang kini sudah hampir pasti namun sehingga kini parti utama kerajaan persekutuan itu masih belum membuat keputusan siapa yang bakal dicalonkan. Seperti kebiasaan kerusi DUN Kajang ialah kerusi yang dipertandingkan oleh MCA namun tewas pada calon PKR Lee Chin Cheh pada PRU13 lalu. Lee baru-baru ini tiba-tiba meletakkan jawatan ADUN Kajang bagi memberi laluan kepada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding untuk membolehkannya berada dalam DUN Selangor dan berkemungkinan akan menjadi Menteri Besar Selangor. Beberapa pihak pula melihat agar BN tidak meletakkan calon sekaligus tidak bertanding merebut kerusi itu kerana menyifatkan ia satu permainan politik kotor oleh pembangkang dan PKR pada asasnya akan menang mudah tanpa sebarang perebutan kerusi. Ada juga pihak yang mendakwa, tindakan PKR mengosongkan kerusi DUN Kajang sebagai satu pembaziran wang rakyat sehingga terpaksa diadakan PRK di daerah itu. Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad mencadangkan supaya BN tidak bertanding jika merasakan pilihan raya itu nanti adalah satu pembaziran.“Ada orang kata PRK (ini) membazir, tapi apabila Lee Chin Cheh letak jawatan dia tak payah bayar apa-apa. Percuma".“Belanja hanya perlu apabila ada pertandingan. BN akan letak calon bertanding dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, baru ada belanja dikeluarkan".“Mudah saja kepada BN, tidak payah letak calon. Tidak payah BN buang masa dan buang duit rakyat,” katanya ketika berucap dalam ceramah PRK DUN Kajang di Padang Pusat Komuniti Kampung Sungai Kantan. Adakah Anwar yang PKR benar-benar yakin bakal menang secara percuma jika BN tidak bertanding? Umum tahu, bukan sedikit orang dan bekas ahli politikus yang mempunyai perasaan dendam dan benci kepada Anwar. Belum pun lagi hari penamaan calon, bekas pemimpin dalam PKR Datuk Zaid Ibrahim yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri menyuarakan hasrat bertanding di atas tiket Bebas menentang Anwar. Selain Zaid, bekas sahabat baik Anwar, Datuk S Nalakaruppan juga mahu bertanding dan mendedahkan segala kepincangan Anwar kepada pengundi-pengundi di Kajang. Jika dua nama ini diambil kira, kebarangkalian Anwar akan menghadapi saingan tiga penjuru daripada bekas musuh-musuh hebatnya amat besar dan ini sudah pasti sukar bagi Anwar. Jadi, apabila Khalid mengatakan bahawa PKR akan menang percuma pada PRK itu nanti rasanya agak awal kerana hari penamaan calon hanya akan diadakan pada 11 Mac depan. Jika BN tidak bertanding, Anwar hampir pasti bakal berdepan calon-calon Bebas yang bukan calang-calang bebas, mereka merupakan bekas sahabat Anwar yang kini dianggap sebagai musuh.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment