Tuesday, 25 February 2014

Menteri Kabinet: MCA Minat Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan & Kerajaan Tempatan......!!!???

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka hanya mengisi dua jawatan Menteri dan Timbalan Menteri yang kosong apabila rombakan Kabinet diadakan. Dalam pada itu, selain Kementerian Pengangkutan, MCA dilaporkan berminat untuk meneraju Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang bertanggungjawab terhadap pembangunan kampung baru. Sumber yang dekat dengan pejabat Perdana Menteri memberitahu, kekosongan yang ditinggalkan oleh P. Waytha Moorthy akan diisi wakil daripada MIC. Katanya, seorang wakil dari MCA berkemungkinan besar Datuk Seri Liow Tiong Lai akan mengisi jawatan Menteri Pengangkutan yang sedang dipangku Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. Sumber itu bagaimanapun dilaporkan tidak tahu apa-apa mengenai laporan sebuah portal berita bahawa dua menteri dari UMNO berniat untuk berundur. Salah seorang yang disebut-sebut berniat berundur ialah Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah. Ahli Parlimen Tambun tersebut bagaimanapun telah menafikan khabart angin mengenainya. Isteri Ahmad Husni dilaporkan telah menjalani dua kali pembedahan di bahagian kepala dan ayah Menteri Kewangan II itu meninggal dunia baru-baru ini. Namun Ahmad Husni kelihatan mampu menghadapi segala cabaran tersebut apabila hadir dalam majlis pelancaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bersama Perdana Menteri baru-baru ini.Dalam pada itu, MCA dilaporkan akan meminta sama ada tiga jawatan Menteri dan empat Timbalan Menteri atau tiga Menteri dan lima Timbalan Menteri daripada Perdana Menteri. Calon Menteri yang dicadangkan ialah Tiong Lai, Datuk Wee Ka Siong dan Datuk Seri Ong Ka Chuan. Namun sumber berlainan memberitahu bahawa MCA berkemungkinan hanya diberikan dua jawatan Menteri oleh Perdana Menteri, tetapi MCA akan cuba meminta tiga Menteri. Selain jawatan Menteri Pengangkutan yang disimpan untuk parti tersebut, MCA mahu berusaha mendapatkan jawatan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan kerana kementerian itu bertanggungjawab menjaga kampung baru Cina.

No comments:

Post a Comment