Sunday, 9 February 2014
#PRK Kajang: PAS Bijak Jika Tolak Anwar......!!!
Ahli DAP Melayu, Aspan Alias menyifatkan 'penolakan' beberapa pemimpin PAS terhadap PRK Kajang adalah wajar kerana ia berlaku secara mengejut tanpa alasan yang munasabah. Aspan berkata, penolakan tersebut juga wajar apatah lagi secara tiba-tiba parti Islam tersebut turut sama terheret dalam kemelut dalaman parti lain yang bakal menyaksikan berlakunya perubahan kepimpinan negeri Selangor seperti yang menjadi spekulasi ramai pihak. Tambahnya, PRK 'janaan' PKR ini juga seolah-olah memperlihatkan bahawa parti tersebut menafikan kepentingan PAS sebagai rakan sekutu dan berkemungkinan menganggap parti Islam itu akan mengikut telunjuk Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tanpa banyak soal. "PAS mungkin tidak dirundingkan dahulu kerana PKR mungkin beranggapan yang PAS adalah parti yang sabar dan parti itu hanya sebagai parti yang 'disuruh pergi, dipanggil datang' sahaja oleh PKR". "Sebagai sebuah parti, PAS tentulah ada maruahnya sendiri. Ahli-ahli PAS turut berkata yang mereka bukannya kaldai politik sesiapa. PKR yang bermasalah kenapa bawa rakyat dan PAS sama-sama terlibat dalam penyelesaian permasalahan PKR itu," kata Aspan. Sebelum ini beberapa pimpinan PAS tampil berani mempersoalkan perletakan jawatan bekas ADUN Kajang, Lee Chin Cheh yang semata-mata mahu memberi laluan kepada Anwar, tanpa alasan yang kukuh di sebalik tindakan penuh tanda tanya itu. Antaranya bekas Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan yang menyifatkan tindakan Lee itu adalah haram kerana mengkhianati amanah serta memudaratkan rakyat. Ini berbeza dengan beberapa pemimpin parti itu, seperti Timbalan Presiden, Mohamd Sabu dan Naib Presiden, Salahudin Ayub yang menyokong penuh Anwar diletakkan sebagai calon untuk mempertahankan DUN Kajang dalam PRK kelak. Dalam pada itu juga, pimpinan Pakatan Rakyat baik dari PKR dan PAS sendiri menafikan bahawa penampilan Anwar dalam PRK tersebut sebagai 'membuka laluan' untuk Ketua Pembangkang itu menjadi Menteri Besar Selangor menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, walaupun itulah yang sebenarnya menjadi kegusaran pimpinan PAS di negeri Selangor. Mengulas lanjut, Aspan berpandangan Anwar berpeluang mendapatkan apa yang dihajatinya, walaupun kini masih menjadi spekulasi, selagi mendapat sokongan padu DAP. "Anwar ada Lim Guan Eng untuk mempertahankan beliau. Yang penting DAP dan pimpinannya bersetuju dan menampung apa-apa kekurangan yang ada pada parti PKR itu". Hanya rakyat Selangor ingin tahu di antara DAP, PAS dan PKR Selangor ini, siapa yang mengkudakan siapa?.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment