Sunday, 9 February 2014

#PRK Kajang: Tinjauan Pandangan Pengundi Setempat......!!!

Pengundi di Kajang memberikan pelbagai pandangan mengenai PRK yang akan diadakan ekoran peletakan jawatan secara tiba-tiba oleh ADUN PKR Lee Chin Cheh pada 27 Januari lalu. Walaupun kebanyakan mereka seolah-olah tidak berpuas hati kerana perlu mengundi sekali lagi, terdapat juga yang mengalu-alukan PRK itu yang bakal menyaksikan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding kerusi tersebut. PRK Kajang akan diadakan pada 23 Mac ini manakala hari penamaan calon apada 11 Mac. Seorang peniaga di bandar Kajang, yang mahu dikenali sebagai Jien percaya PRK itu adalah satu pembaziran. Jien, yang mengundi Lee pada PRU13 berkata dia tidak kisah Anwar bertanding dan percaya ini semua sekadar satu permainan. "Saya tidak kisah siapa yang bertanding. Saya tidak pasti sejauh mana kehidupan saya akan berubah jika Anwar menang. Berapa banyak yang boleh dilakukannya? Saya pasti tetap akan mengundi kerana ia sudah menjadi hak saya," kata Jien. Seorang lagi pengundi Kajang yang hanya mahu dikenali sebagai Wong tidak pasti jika dia akan mengundi kerana belum tahu mengenai jadualnya pada hari itu."Orang ramai telah mengundi untuk beliau (Lee), jadi saya tidak faham mengapa dia harus meletak jawatan," kata Wong. Sementara itu terdapat pengundi Kajang yang lain mengalu-alukan hakikat bahawa Anwar akan bertanding. Anwar berkata, beliau bertanding untuk kerusi itu bagi mengukuhkan politik negeri. Khair Samingan, 47, tidak mempunyai isu dengan PRK itu. Dia tidak tahu mengapa Lee meletak jawatan tetapi menegaskan bahawa beliau mahu pemimpin yang boleh menyelesaikan masalah-masalah harian orang Kajang. "Tidak kira mereka datang dari parti mana asalkan mereka boleh melihat masalah kita dan memastikan tindakan diambil," kata Khair. Seorang pemandu teksi, yang hanya mahu dikenali sebagai Roy hairan mengapa Lee meletak jawatan tetapi selesa dengan kenyataan bahawa Anwar akan bertanding."Saya telah mengundi Lee dalam pilihan raya tetapi sekurang-kurangnya kita akan mempunyai nama besar di sini," katanya sambil menambah kenaikan harga masih menjadi masalah orang ramai. K. Nathan, 50, percaya Anwar boleh menyumbang sesuatu untuk Selangor kerana beliau seorang bekas Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan. "Sebab saya akan mengundi PKR ialah kerana Anwar. Saya fikir dia akan dapat membuat beberapa perubahan di Kajang," katanya. Terdapat 39,278 pengundi berdaftar di kawasan ini, dengan 1,197 adalah pengundi awal dan 26 pengundi di luar negara. Kawasan ini terdiri daripada 48.5 peratus Melayu (19,050 pengundi), 40.28 peratus Cina (15,823 pengundi), 10.29 peratus India (4,040 pengundi), 0.52 peratus lain-lain (203 pengundi), 0.2 peratus Sabah bumiputra (78 pengundi) , 0.19 peratus bumiputera Sarawak (74 pengundi) dan 0.03 peratus Orang Asli (10 pengundi).Peletakan jawatan Lee dipercayai berkaitan dengan spekulasi bahawa Anwar sedang berkira-kira menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor . Pada PRU13, Lee memperoleh sejumlah 19,571 undi, menang dengan majoriti 6,824 undi dalam pertandingan enam penjuru menentang calon BN, Berjasa dan tiga calon Bebas.

No comments:

Post a Comment