Tuesday 25 February 2014

Orang Kristian Belanda tolak guna 'Allah'

Masyarakat Kristian di Belanda menolak penggunaan Kalimah Allah sebagai merujuk kepada maksud 'God' bagi agama tersebut, demikian menurut pensyarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Siti Shamsiah Md Supi. Ia terbukti melalui satu kajian yang dijalankan kepada 4,000 responden beragama Kristian di sana. Kata Siti Shamsiah, hasil dari kajian itu juga mendapati masyarakat Kristian di sana tidak mahu menyamakan Tuhan mereka dengan Allah."Di Belanda ada satu kaji selidik sekitar 2007, dan dijalankan kepada seramai 4,000 responden yang beragama Kristian. Hasilnya sebanyak 92 peratus tidak setuju 'God' diterjemahkan sebagai Allah". "Seorang daripada 4,000 responden ini mengatakan, jika 'God' orang Kritian panggil Allah, maka gereja boleh dipanggil masjid. Sedangkan setiap satu entiti ini mempunyai pengertian dan identiti tersendiri," katanya di sebuah forum tentang kesucian Islam di Kuala Lumpur, baru-baru ini.Malah menurut Siti Shamsiah lagi, cadangan penggunaan kalimah Allah untuk menyamakan Tuhan Kristian ini turut mendapat tentangan daripada seorang pimpinan paderi di sana, iaitu Jonathan Morris. Morris dilaporkan berkata hanya orang-orang Kristian yang bingung sahaja yang mahu mengampu agama lain."Perkara ini perlu ditolak kerana ia isu teologi, akidah dan bukannya isu tolak ansur. Pertubuhan terbesar Katholik Belanda membantah cadangan ini (di Malaysia) yang di sini cuba dibawa di kalangan orang-orang Islam di Malaysia". Perdebatan mengenai penggunaan kalimah Allah di negara ini menjadi isu sejak beberapa tahun lalu sementelah penerbitan Katolik, The Herald bertegas mahu menggunakannya. Namun Mahkamah Rayuan 14 Oktober lalu memutuskan bahawa The Herald tidak boleh menggunakan kalimah 'Allah' untuk merujuk kepada 'Tuhan' kerana mendapati kalimah tersebut bukan merupakan sebahagian daripada kepercayaan dan amalan agama Kristian. Bukan Islam di Selangor turut di larang menggunakan kalimah itu sementelah Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan dan Sekatan Pengembangan di Kalangan Orang Bukan Islam) 1988 melarang mereka daripada menuturkan sekurang-kurangnya 25 perkataan. Perkataan itu adalah Allah, Illahi, Rasul, Fatwa, Firman Allah, Wahyu, Iman, Ulama, Mubaligh, Dakwah, Nabi, Hadith, Syariah, Injil, Sheikh, Ibadah, Qiblat, Solat, Kaabah, Haji, Khalifah, Kadi, Mufti, Wali dan ibadah. Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah turut menitahkan penggunaan kalimah Allah di dalam Bible dan juga penerbitan 'The Herald' versi Bahasa Melayu perlu dihentikan serta merta.

No comments:

Post a Comment