Tuesday, 11 February 2014
Kenapa Pengundi Cina Tolak BN......!!!
Sudah dua kali PRU, pengundi Cina menolak BN. Kali pertama pada tahun 2008, apabila pengundi Cina memilih DAP dan bukan MCA rakan BN. Apabila pengundi Cina menolak BN, secara automatik BN gagal dapat majoriti dua pertiga. Begitu juga dalam PRU13. Pengundi Cina tetap memilih DAP. Sekali lagi BN gagal mendapat majoriti dua pertiga. Pada tahun 2009, Tun Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri apabila BN gagal mendapat majoriti dua pertiga.
Sebaliknya Datuk Seri Najib Tun Razak tidak meletakkan jawatan walaupun BN gagal meraih majoriti dua pertiga. Alasannya prestasi Umno semakin baik. Yang teruk MCA, Gerakan, MIC dan PPP. Bukan sahaja MCA kalah teruk sebaliknya MCA enggan menerima jawatan dalam kabinet. Ini menyebabkan kerajaan BN didominasi oleh Melayu termasuk Bumiputera Sabah dan Sarawak.
Bekas Perdana Menteri,Tun Dr Mahathir Mohamad tidak gembira suasana ini kerana orang Cina tidak ada dalam kabinet. Selama ini orang Cina sering menjadi rakan kongsi politik. Katanya, MCA berada di luar kabinet merugikan orang Cina. Inilah bezanya orang Cina di zaman Dr Mahathir dengan zaman Pak Lah. Ketika Dr Mahathir memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim dari UMNO pada tahun 1998, BN tetap menang majoriti dua pertiga kerana orang Cina tetap menyokong BN pimpinan Dr Mahathir.
Sebaliknya peluang perniagaan di zaman Pak Lah dilihat susah cari makan. Maka orang Cina meninggalkan BN pimpinan Pak Lah dan menyokong Pakatan Pembangkang. Walaupun MCA berkempen jika mengundi Pakatan bermakna menyokong hudud PAS, pengundi Cina tetap menyokong Pakatan Pembangkang. Zaman Dr Mahathir orang Cina dapat peluang berniaga walaupun yang dapat permit orang Melayu, tetapi yang dapat sewa permit itu orang Cina. Yang dapat tender orang Melayu, yang dapat subkontrak itu orang Cina. Maka orang Cina tetap mewah di zaman Dr Mahathir. Pak Lah berbangga dapat jimatkan wang rakyat tetapi orang Cina terseksa kerana tak dapat peluang subkontrak lagi bila orang Melayu tak dapat tender direct nego lagi di zaman Pak Lah. Betul kata Dr Mahathir, buat apa ada duit banyak, kalau duit itu tidak dibelanjakan. Bila sesuatu projek dibuat, semua bisnes berkembang, bisnes restoran, bisnes dobi, bisnes kedai tayar, bisnes hardware, maka semua peniaga dapat limpahan dari projek ini. Kalau sekadar berbangga menyimpan duit yang banyak, rakyat yang rugi kerana duit tidak dapat bertukar tangan sesama mereka. Sudah dua kali pengundi Cina menolak BN. Bagaimana PRU14 (2018) nanti? Adakah mereka masih bersama Pakatan Pembangkang? Oeh itu BN perlu memikirkan sesuatu untuk menarik semula undi Cina. Mereka tertarik dengan janji Pakatan Pembangkang yang mahu menjadikan orang Cina sebagai Timbalan Perdana Menteri. Anwar Ibrahim berjanji melantik Lim Kit Siang sebagai TPM. Apa salahnya orang Cina jadi TPM? Bukankah jawatan itu tidak ada dalam perlembagaan Malaysia? Tidak semestinya TPM itu menjadi PM. Maka BN perlu menilai janji Pakatan Pembangkang ini. Kalau di Sabah ada tiga Timbalan Ketua Menteri, orang Bumiputera Islam, orang Cina dan orang Bumiputera Bukan Islam, apa salahnya BN melantik lima TPM untuk membantu PM iaitu TPM Melayu (Tan Sri Muhyiddin Yassin), TPM Cina (Datuk Seri Liow Tiong Lai), TPM India (Datuk Palanivel), TPM Sabah (Tan Sri Joseph Pairin Kitingan) dan TPM Sarawak (Dr James Jemut Masing). Jika Najib boleh buat perubahan ini, orang Cina mungkin kembali menyokong BN pada PRU14 akan datang. Kalau di zaman Tunku Abdul Rahman, MCA menguasai beberapa Kementerian penting seperti Kementerian Kewangan dan Kementerian Perdagangan dan Perindustrian, maka jawatan Menteri Kewangan II wajar diberi semula kepada MCA manakala MITI juga diberi semula kepada MCA. Pandangan ini mungkin mendapat kritikan dari orang UMNO, tetapi ini adalah formula terbaik untuk menarik semula sokongan orang Cina kepada MCA. UMNO masih memegang jawatan Menteri Kewangan walaupun Menteri Kewangan II diberi kepada MCA. UMNO masih memegang Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Pengguna walaupun MITI diberi kepada MCA. Ada juga orang takut bila MCA pegang dua jawatan ini, orang UMNO tidak mendapat layanan dari Menteri MCA seperti mana berlaku apabila Datuk Seri Dr Ng Yen Yen menjadi Menteri Wanita dan Pembangunan Keluarga, wanita UMNO tidak dapat peruntukan daripada Menteri MCA itu. Tidak perlu dibimbangkan kerana Menteri Kewangan pertama tetap dipegang oleh UMNO. Justeru itu, BN perlu terbuka menerima cadangan ini untuk menarik semula sokongan pengundi Cina terhadap MCA sekali gus kepada BN menuju PRU14 yang dilihat oleh Matmerapu sebagai amat getir kepada survival BN terutama UMNO.....!!!???
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment