Tuesday 26 March 2013

PRU 13: Menilai dan Menganalisis Pertimbangan Sokongan Melayu

PRU 13 semakin hampir dan pasti akan diadakan jua melainkan Hari Khiamat! MatMerapu cuba menyelami "hati kecil" pengundi Melayu secara rawak bagi menilai pertimbangan sokongan mereka terhadap parti/calon yang bakal bertanding dalam PRU 13. Pertama: Melayu Bandar - Majoriti kelompok Melayu ini terdiri daripada golongan "Atas Pagar" yang mengamalkan sikap 'tunggu dan lihat' segala perkembangan senario politik terutama mengenai pelbagai isu yang wujud. Mereka sudah semestinya mempunyai akses kepada maklumat secara meluas khususnya melalui landasan media baru (siber). Namun, kelompok ini juga yang dianggap paling terdedah kepada propaganda parti yang bakal bertanding. Walaupun terdedah, mereka juga berupaya untuk menilai akan kebenaran sebenar sesuatu propaganda tersebut. Selain daripada isu, kecenderungan sokongan mereka lebih dipengaruhi kepada faktor calon yang bertanding. Mana-mana parti yang berupaya menampilkan calon yang kredibel dan kompeten serta "bersih" dijangka dapat meraih sokongan mereka. Kelompok ini juga tidak mudah "disogok" dengan apa jua bentuk "pemberian" kerana pertimbangan sokongan mereka lebih condong kepada teras keupayaan calon yang dapat memberi khidmat terbaik kepada rakyat yang diwakili mereka. Kelompok Melayu ini tidak mudah diperdaya, ditipu, dibohongi dan jauh sekali diperalatkan. Arah kecondongan sokongan mereka tidak diperlihatkan secara jelas, faktor ini yang sering menghantui pelbagai pihak yang melaksanakan 'Kajian Sikap Pemilih Berdaftar'. Justeru, mana-mana parti yang berjaya memperjelaskan isu dan dapat menyangkal serangan pihak lawan secara berasas mampu mempengaruhi kelompok ini sekaligus membuka ruang untuk menempah kemenangan sempena PRU 13 nanti. Kedua: Melayu Pinggir Bandar - Sokongan kelompok Melayu ini terbahagi kepada dua.......satu kumpulan agak jelas memperlihatkan sokongan mereka secara ketara yang lebih menjurus kepada faktor kepartian manakala satu kumpulan lagi (sekitar 65% Melayu Pinggir Bandar) lebih cenderung kepada faktor-faktor yang diamalkan oleh kelompok Melayu Bandar. Mana-mana parti yang berjaya memenangi hati kumpulan kedua ini akan memberi kelebihan untuk menang. Ketiga: Melayu Luar Bandar/Pendalaman - Kelompok Melayu ini lebih cenderung kepada faktor "parti" asalkan calon yang dikemukakan merupakan "anak tempatan". Kecenderungan sokongan mereka akan berpihak kepada mana-mana parti yang mampu menyelesaikan masalah domestik mereka. Kelompok ini agak mudah dipengaruhi oleh parti memerintah malah amat susceptible kepada elemen "material". Kelompok ini walau bagaimanapun paling susceptible kepada faktor 'Islam' yang menjadi elemen sensitiviti dan keutamaan mereka selain daripada faktor peningkatan 'kualiti hidup'. Justeru, UMNO dan PAS mempunyai kekuatan dan kelebihan yang agak seimbang untuk mendapat undi daripada kelompok Melayu ini. Secara kesimpulannya, mana-mana parti yang berjaya mendapat sokongan pengundi Melayu (termasuk kawasan majoriti Cina dan Marginal)bakal memenangi kerusi yang ditandingi. Unsur sabotaj di kalangan pengundi Melayu terhadap mana-mana parti/calon yang bertanding sudah pasti mengundang padah kerana inilah "racun" yang paling berbisa......!!! Sekadar untuk direnungi oleh parti/calon yang bakal bertanding sempena PRU 13.

No comments:

Post a Comment