Sunday, 12 May 2013
PRU13: Tsunami Politik Kaum Cina Siri IV
Keputusan PRU13 adalah yang terhangat dalam pasaran maklumat di Malaysia. Hangatnya kerana beberapa perkara, terutama keupayaan BN untuk membentuk kerajaan meskipun dengan majoriti mudah yang lebih rendah daripada keputusan PRU12.
PRU12, BN memperoleh 140 kerusi Dewan Rakyat (kurang 8 kerusi) untuk menjadikannya sebagai kemenangan majoriti dua pertiga ke arah sebuah kerajaan yang kuat. Oleh kerana kekurangan itulah juga menyebabkan Pakatan Pembangkang (PP) berusaha begitu gigih untuk “menukarkan kerajaan”, dari siri pilihan raya kecil hinggalah kepada beberapa desakan perubahan undang-undang, kaedah mengendalikan pilihan raya dan seterusnya mendapatkan sokongan rakyat secara “demonstrasi jalanan”, kerana menganggap kerajaan yang dipilih oleh rakyat secara sah itu tidak lagi berwibawa untuk “selamatkan negara.”
Emosi itu diheret sepanjang lima tahun sehinggalah ketika Dewan Rakyat dibubarkan pada 3 April 2013, kedudukan BN di Dewan Rakyat ialah 133 kerusi. Kekurangan kerusi juga berlaku dalam kalangan PP, dari 82 kepada 77 disebabkan oleh Wakil Rakyat PKR mengisytiharkan diri keluar parti dan kekal sebagai wakil rakyat Bebas (Kulim Bandar Baharu, Padang Serai, Wangsa Maju dan Bayan Baru), dan kalah dalam PRK (Hulu Selangor). Kedudukan itu menyebabkan jumlah calon PKR merosot dari 28 kepada 23.
Kedudukan PAS juga merosot bukan disebabkan kalah dalam PRK. PAS sebenarnya telah menambahkan kedudukan awalnya apabila menang PRK Kuala Terengganu (2009), satu kerusi dilihat kosong kerana penyandangnya telah meninggal dunia. Kekosongan wakil rakyat Titiwangsa tidak dapat diisi kerana undang-undang tidak membenarkan PRK diadakah dalam tempoh kurang tiga tahun berbaki.
Semasa dibubarkan, PAS mempunyai 23 wakil rakyat. Seorang calon awalnya bertanding atas tiket PAS akhirnya tidak boleh dikira sebagai calon PP kerana sudah jelas hanya menjadikan PAS sebagai batu loncatannya, iaitu wakil rakyat Pasir Mas, Kelantan. DAP menambah kedudukan asal, dari 28 kepada 29 kerusi bila menang salah satu kerusi di Sarawak semasa PRK.
PRU13 menunjukkan PP berjaya menambahkan kerusi di Dewan Rakyat walaupun gagal untuk “menukarkan kerajaan”. PP mempunyai 89 kerusi dan menyebabkan prestasi BN dilihat makin kritikal, jarak dengan kuasa majoriti dua pertiga kian jauh, dari 8 kepada 15 kerusi, hampir separuh atau 46.6 peratus. Ini bermakna, BN bukan sahaja tidak dapat mengekalkan prestasi PRU12 bahkan kehilangan keupayaan menambahkan bilangan kerusi bagi menjadikannya ia sebuah parti yang kuat dan berhemah.
BN menang 133 kerusi Dewan Rakyat. Apa yang lebih mendukacitakan,bila ramai tokoh besarnya kecundang, seolah hampir menyamai apa yang berlaku dalam PRU12. Kalau pada PRU12, Presiden MIC tewas di kawasan tradisinya, Sungai Siput; Shahrizat Jalil kalah di Lembah Pantai; Koh Tsu Koon kalah di Batu Kawan; Awang Adek Husin kecundang di halaman sendiri; dan paling memilukan, terjadinya “political bashing” antara parti komponen BN dan memberikan kekuatan moral kepada PP untuk menggerakkan “tekanan pilihan raya sepanjang tahun.”
PRU13 turut terkena tsunami politik. Kalau PRU12, tsunami politik menyebabkan kedudukan BN tidak kuat di Dewan Rakyat sehingga ada pihak menggunakan keputusan PRU 1969 sebagai perbandingan. Pada PRU 1969, Perikatan ketika itu agak goyah walaupun boleh memerintah dengan majoriti mudah, tetapi ia mencetuskan konflik perkauman yang mengubah banyak perspektif politik dan pentadbiran negara.
Pasca PRU12 turut mengubah perspektif politik dan pentadbiran. Namun perubahan perspektif politik dan pentadbiran negara pasca PRU12 masih belum cukup untuk memperkasakan BN. PRU 1969, perubahan perspektif politik dan pentadbiran – Rukun Negara, Dasar Ekonomi Baru berjaya mengangkatkan balik kedudukan Perikatan apabila pada tahun 1974, dua parti pembangkang terbesar, PAS dan Gerakan bergabung dalam BN sehingga menyebabkan kedudukan DAP begitu tertekan.
Kejayaan BN telah memberikan tekanan besar kepada parti-parti pembangkang sehinggalah ketika Anwar Ibrahim dipecat, ia masih belum menampakkan penyatuan yang jelas, meskipun ada percubaan bergabung dalam Barisan Alternatif. Sebelumnya, telah muncul gabungan parti-parti pembangkang di bawah Angkatan Perpaduan Ummah selepas kekalahan Tengku Razaleigh dalam perebutan jawatan dalam UMNO, tetapi kesannya tidaklah sehebat dan sepanjang pemecatan Anwar Ibrahim pada tahun 1998.
Disebabkan kecekapan kepimpinan dan strategi politik Dr Mahathir, kedudukan BN tidak banyak terancam apabila PRU 1999, BN masih mencapai kemenangan besar, malah mampu menguasai dua pertiga kerusi Dewan Rakyat meskipun gagal merampas Kelantan daripada PAS dan Terengganu dikuasai oleh PAS. Kepimpinan politik yang berubah pada tahun 2001, menyebabkan Tun Abdullah Ahmad Badawi terpaksa mencari kedudukan yang lebih baik dan PRU 2004, BN menang lebih besar sehingga hampir menumbangkan PAS di Kelantan namun berjaya merampas semula Terengganu.
Walaubagaimanapun, kejayaan besar itu memang sukar untuk diuruskan sebagaimana Abdullah Badawi sendiri pernah risau “menguruskan kejayaan itu adalah lebih sukar daripada mencipta kejayaan itu sendiri”. Ini terbukti setelah menang besar pada PRU 2004, Abdullah Badawi dilihat semakin lemah kepimpinannya sehinggalah PRU 2008 telah merudumkan BN dan berlakunya tsunami politik — Pulau Pinang dirampas DAP; Selangor oleh PKR; Kelantan kekal diperintah PAS dan kedudukan UMNO semakin kerdil; Kedah milik PAS; Perak pula diperintahkan oleh gabungan PAS-DAP-PKR; dan Wilayah Persekutuan, BN hanya menang tiga kerusi PArlimen, iaitu Setiawangsa, Putrajaya dan Labuan menyebabkan Tun Abdullah terpaksa berundur awal April 2009.
Dato' Sri Najib yang mengambil alih pentadbiran berusaha membungkus semula semangat politik menerusi Gagasan 1Malaysia, memperbaiki kaedah penyampaian, meliberalisasikan beberapa sektor ekonomi, meneruskan Mahathirisme dan memperkenalkan pembaharuan dalam semua aspek melalui Pelan Transformasi Kerajaan, National Key Result Area, National Key Economic Area, Transformasi sosial, Transformasi politik namun belum cukup kuat untuk melonjakkan semula kedudukan BN kerana PRU13 membuktikan pola pengundian lebih menjuruskan kepada polarisasi dan kekukuhan kedudukan PP.
Pencapaian Dato' Sri Najib bagi memperbaiki pencapaian UMNO dilihat begitu berjaya. Pada PRU12, UMNO yang terjejas kekuatan politik, hanya berjaya menang di 79 kerusi daripada 117 kerusi yang dipertanding. Meskipun begitu, UMNO masih dianggap sebuah parti yang dominan. Pada PRU13, UMNO bertanding di 120 kawasan dan menang 88 kerusi Parlimen. Ini bermakna UMNO mula merasakan peningkatan hasil kerja keras Najib dan Muhyiddin untuk menjadikan parti terus relevan, popular dan diterima oleh orang Melayu. Najib dan Muhyiddin sedar, kekuatan UMNO akan menyebabkan parti-parti lain lebih menghormati “ketuanan Melayu” kerana begitu perit pengalaman selepas PRU12, UMNO terlalu banyak dipersalahkan oleh parti komponen BN sendiri akibat kemerosotan pengaruh pengundi Cina dalam Gerakan, MCA dan hilangnya sokongan pengundi India terhadap MIC.
BN dalam PRU12 dikatakan bernasib baik kerana mendapat pertolongan besar daripada kemampuan UMNO menang di Sabah dan lain-lain komponen BN di Sarawak. Oleh kerana Sabah dan Sarawak dilihat sebagai “buffer state”, PP berusaha untuk mencorakkan politik desperado, gorokan “membeli wakil rakyat” dan seterusnya berkempen habis-habisan bagi menggoncangkan nurani beberapa orang pemimpin BN terutamanya di Sabah. Hasilnya, berlaku kemungkaran persahabatan menyebabkan ada parti dan pemimpin keluar BN dan menubuhkan parti baru, bertanding atas tiket bebas dan membawa keluar parti menyertai PP.
PRU13 di Sabah tidak banyak memberikan kesan pendulum atau domino politik kerana tsunami tidak berlaku di mana BN masih menyumbang 22 kerusi dan Sarawak 25 kerusi. Ini bermakna, jika semua kerusi di Sabah dan Sarawak kalah, BN akan melihat nasibnya kian merudum, tidak boleh meneruskan kesinambungan politik yang dimenanginya sejak tahun 1955. Gabungan kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak ialah 53 (Sabah 25 dan Sarawak 28), BN hanya akan kekal menguasai 80 kerusi (133-53).
Keadaan itulah menyebabkan PP begitu bersungguh-sungguh untuk menjadikan Sabah dan Sarawak sebagai tapaknya yang kukuh dan sanggup berjanji akan berikan royalti minyak dari 5 peratus kepada 20 peratus, kuasa autonomi dan sebagainya. Semuanya tidak menjadi kenyataan. PP hanya mampu menang 9 kerusi (Sabah 3 kerusi dan Sarawak 6 kerusi) di mana DAP 7 (2 di Sabah dan 5 di Sarawak) dan PKR 2 (masing-masing satu kerusi di Sabah dan Sarawak). PP masih tidak cukup gagah untuk menang besar di Sabah dan Sarawak. Justeru, Sabah dan Sarawak kekal sebagai “penyelamat” bagi BN.
Prestasi BN dalam PRU13 sebenarnya banyak terhalang oleh penerimaan pengundi Cina dan keadaannya menjadi lebih parah berbanding PRU12. Pada PRU13, MCA hanya mampu menyumbangkan 7 kerusi Parlimen dan 11 kerusi DUN berbanding PRU12, 15 kerusi Parlimen dan 32 kerusi DUN. Sebuah lagi parti yang menjadi dominasi Cina, Gerakan juga menunjukkan prestasi lebih buruk, hanya menang satu kerusi Parlimen dan 3 kerusi DUN sedangkan pada PRU12, menyumbangkan 2 kerusi Parlimen dan 4 kerusi DUN. Disebabkan prestasi buruk inilah ada yang membuat tafsiran bahawa PRU13 telah berubah dari tsunami politik kepada tsunami pengundi Cina.
Walaubagaimanapun, prestasi MIC tidak mengecewakan. MIC berjaya memperbaiki kedudukannya berbanding PRU12 walaupun kepimpinan baru masih dianggap dibayangi oleh Samy Vellu. Pengundi India adalah realistik, kembali memberikan sokongan kepada BN kerana melihat selagi bersama BN kedudukan orang India akan terbela. Pada PRU13, MIC menyumbangkan kemenangan 4 kerusi Parlimen dan 5 kerusi DUN berbanding prestasi PRU12, hanya berjaya menang tiga kerusi Parlimen dan tujuh kerusi DUN.
Diaspora politik MCA sudah berubah kerana Johor bukan lagi “kubu kuat”. Situasi yang sama turut dialami oleh Gerakan, di mana Pulau Pinang telah mencatatkan sejarah cemerlang dan malang. Gerakan yang bertapak di Pulau Pinang pada pertengahan tahun 1960an dan menerajui kepimpinan politik sejak tahun 1969, akhirnya dilihat semakin terkubur di negeri kelahirannya. Pada PRU12, Gerakan kalah teruk sehingga DAP berkuasa dan ia diparahkan lagi dengan keputusan PRU13, tidak ada seorang calonnya menang. UMNO tidak mempunyai masalah untuk mempertahankan kerusi, di mana kerusi Kepala Batas dan Tasek Gelugor berjaya dipertahankan. UMNO menambah satu lagi kemenangan apabila berjaya menawan semula kerusi Balik Pulau yang dimenangi oleh PKR dalam PRU12.
UMNO tewas di kubu kuat Anwar Ibrahim, Permatang Pauh dan Nibong Tebal. UMNO menyumbangkan 10 kerusi DUN dan tewas di 5 kawasan (Seberang Jaya, Permatang Pasir, Penanti, Sungai Bakap dan Batu Maung). UMNO menang 3 daripada 4 kerusi Parlimen yang ditandingi dan 10 kerusi daripada 15 DUN yang ditandingi. Ia dilihat mempunyai kekuatan yang seimbang dengan PKR, di mana parti itu menang 3 kerusi Parlimen (Permatang Pauh, Nibong Tebal dan Bayan Baru) dan 10 kerusi DUN (Seberang Jaya, Penanti, Machang Bubuk, Bukit Tengah, Bukit Tambun, Sungai Bakap, Kebun Bunga, Batu Uban, Pantai Jerejak dan Batu Maung).
DAP menang besar di Pulau Pinang dengan menguasai 7 kerusi Parlimen dan 19 kerusi DUN. Kemenangan ini dijangka membolehkan DAP secara halusnya tidak menghargai sumbangan parti-parti gabungan kerana ia hanya perlukan penguasaan dua lagi kerusi DUN untuk membolehkan memerintah secara tunggal. Ini dilihat mampu dilakukan berdasarkan komposisi pengundi Cina dijangka bertambah besar untuk tempoh lima tahun akan datang, disebabkan dasar dan kepimpinan DAP yang meminggirkan orang Melayu, terutama di bahagian pulau.
Dalam tempoh lima tahun akan datang, sekiranya DAP meneruskan projek pembinaan Universiti berbahasa Mandarin pertama di Malaysia dan membangunkan kawasan pelancongan baru bertaraf antarabangsa di sekitar Pulau Betong, ia tentunya akan menyebabkan komposisi penduduk di Balik Pulau akan berubah. Komposisi penduduk di Parlimen Bayan Baru sudah mula berubah dengan pembinaan lebih banyak rumah berharga mahal di Batu Uban, Batu Maung (pintu masuk baru ke Pulau Pinang menerusi jambatan kedua) dan Balik Pulau, terutamanya sekitar Bayan Lepas, Teluk Bahang dan Pulau Betong.
Harapan BN untuk kembali berkuasa di Pulau Pinang menjadi semakin jauh bila perubahan komposisi pengundi dijangka tidak menyebelahi pengundi Melayu pada masa depan. Ini disebabkan kepercayaan masyarakat Cina terhadap MCA dan Gerakan semakin pudar. Berdasarkan situasi di Pulau Pinang, Gerakan dan MCA perlu menyegarkan semula aroma lukanya menjadi satu platform politik yang lebih bertenaga kerana kedua parti itu tidak pernah menunjukkan kesepaduan yang jelas sejak penubuhan Gerakan. Inilah dilemma politik yang terpaksa ditelan oleh BN kalau mahukan sokongan besar pengundi Cina kembali percayakan sebuah parti yang boleh menentukan survival mereka.
Sebuah julukan nakal sudah pun terkeluar dalam segelintir kumpulan pengundi Cina beberapa hari sebelum hari penentuan. Mereka menterjemahkan MCA itu sebagai "Malaysian Chinese Anjing" dan pengundi Cina dalam Parlimen Kepong dan Segambut menyambutnya dengan memberikan undi yang besar kepada calon DAP. Meskipun DAP tidak melakukan apapun di Kepong dan Segambut, kerana dua orang wakil rakyat DAP yang mempertahankan kerusi itu, Dr Tan Siang Giaw dan Lim Lip Eng masing-masing memperoleh majoriti besar. Tan Siang Giaw menang dengan majoriti 40,307 dan Lim Lip Eng berjumlah 19,199 undi.
Sentimen pengundi Cina untuk mengundi calon seetnik boleh dilihat berlaku hampir di semua kawasan yang ditandingi oleh DAP. Keputusan mengejut kekalahan bekas Menteri Besar Johor, Ketua Menteri Melaka dan beberapa kawasan bandar membuktikan bahawa pengundi Cina sudah tidak yakin dengan calon BN walaupun calon tersebut mempunyai pengalaman yang luas, banyak berjasa dan reputasi yang baik. Sebaliknya, ada petunjuk lain yang menjadi ukuran pengundi Cina kenapa mereka menolak BN, kerana mempercayai bahawa isu-isu berhubung dengan persoalan diskriminasi dan rasuah. Ini memberikan tafsiran bahawa diskriminasi dan rasuah adalah eksklusiviti BN sedangkan realitinya ia adalah universal dan hanya berdasarkan persepsi.
Oleh kerana politik berdasarkan perimbangan persepsi dan realiti, corak kempen yang perlu diperkemaskan oleh BN bagi menentukan kemenangannya dalam PRU14 akan datang ddengan menggalakkan lebih banyak interaksi antara kaum. Biarpun keputusan PRU13 dilihat sebagai tsunami politik kaum Cina, BN tidak wajar melakukan tindakan membalas dendam kepada kumpulan etnik yang menolak dan hanya menunjukkan “senyuman tanpa keikhlasan”, kerana setiap warganegara perlu diberikan layanan dan hak yang adil.
Bermula dari sekarang, corak kempen BN ialah menterjemahkan konsep keadilan itu bersandarkan perspektif yang betul, termasuk menerusi pendidikan di sekolah menerusi mata pelajaran sejarah ataupun pendidikan kewarganegaraan. Selagi konsep keadilan disamakan dengan konsep “sama rata sama rasa” diterima, maka selagi itulah polarisasi akan terus mewarnai politik Malaysia, dan gagasan 1Malaysia akan dijadikan serampang mendesak kerajaan untuk mengubah status quo.
Pengalaman pahit daripada tiga keputusan PRU (1969, 2008 dan 2013) perlukan keberanian yang lebih besar daripada kepimpinan BN untuk merubah cara rakyat Malaysia memandang kehidupan mereka agar tidak berbuai-buai dengan sentimen perkauman. Keberanian itu perlulah diterjemahkan secara holistik, ia termasuk keberanian untuk menolak prejudis dan 'scorned' yang sudah pun menunjukkan bias yang berbahaya.
Scorned berteraskan perkataan asal, scorn. Kamus Oxford Compact Advanced Learner’s English-Malay(2007) mengertikan: strong contempt- penghinaan yang amat sangat, merasakan atau menunjukkan penghinaan terhadap; menolak dengan angkuh ; dan bila disambungkan menjadi scornful, – kata-kata, senyuman, pandangan, gerak-geri, dan sebagainya menghina.
Kalaupun masih memberikan ruang, sesekali mereka ini perlu diberikan sedikit pengajaran agar tidak mudah lupa bahawa apa yang mereka miliki dan kecapi pada masa kini sebahagian besarnya adalah pengorbanan orang Melayu. Mereka perlu disejarahkan semula, tanpa kompromi orang Melayu kedudukan mereka tentunya tidak semegah yang mereka tunjukkan sehingga menyebabkan segelintir orang Melayu rasa terhina dengan lagak itu.
Barangkali undang-undang tidak cukup, kerana tidak dikuatkuasakan dengan kuat dan berkesan. Barangkali kerana orang Melayu sentiasa berlembut, maka jari yang ditunjuk mahu dipotong hingga ke pangkal lengan, kerana itulah bila orang Melayu bercakap mengenai orang Melayu dan nasibnya, bukan Melayu rasakan dirinya terancam walhal tidak pernah terbukti ada usaha untuk merampas, mendiskriminasi dan berkhianat. Yang hanya berlaku dan terus berkembang ialah persepsi, setiap apa yang orang Melayu lakukan boleh menyebabkan bukan Melayu tersinggung dan “makan hati” tetapi, bukan Melayu tidak pernah khuatir apakah sebenarnya orang Melayu “sakit hati.”
Daripada perspektif inilah orang Melayu mesti sedar dan kembali bertaut, kerana selagi negara ini bernama Malaysia, selagi itulah ia bermakna kekalnya “ketuanan Melayu.” Akar umbi Malaysia ialah dari perkataan Malay, dan Malay itu adalah Melayu. Kalaupun mahu ubah sekalipun, dan PRU13 sebagai “Ini Kalilah”, tentukan terlebih dahulu kerelaan orang Melayu.
Jawabnya, hasil bedah siasat pola pengundian PRU13, mereka yang mahu “Ini Kalilah” ialah pengundi Cina sedangkan pengundi Melayu mula melihat ia adalah suatu ancaman yang besar, kecualilah orang Melayu yang menyokong PKR dan PAS termasuk DAP. Atas nama PP, orang Melayu yang menaburkan fitnah dan serangan psikologi untuk membuka pintalan bangsa Melayu itu bukan sahaja pengkhianat, mereka merupakan desperado yang tidak boleh dimaafkan jika masa depan Melayu musnah, longlai dan terabai, penyatuan dalam PP melonjakkan kemenangan DAP.
Jumlah besar pemilih berdaftar bagi PRU13 ialah 13,268,002 dan 84.84 peratus telah keluar mengundi. Ia mencatatkan sejarah besar, kerana inilah PRU pertama yang mencatatkan luar biasa rakyat mengundi, 11,257,147. Tapi, sayangnya, kesedaran tanggungjawab itu hanyalah tertumpu di kawasan yang majoriti pengundi Cina, kubu kuat parti pembangkang dan melibatkan pertandingan tokoh-tokoh besar. Hanya tiga kawasan yang mencatatkan peratusan mengundi kurang 70 peratus, Kapit (66.7 peratus), Hulu Rajang (68.1 peratus) dan Baram (64 peratus).
Menariknya biarpun peratusan mengundi di Baram adalah yang terendah, pertanding yang melibatkan tiga saudara –abang ipar, anak saudara—dengan calon BN, MatMerapu tetap berikan kredit kepada keluarga itu kerana mereka masih bersaudara walaupun berlainan pendirian politik. Buat Anyi Ngau, bekas pegawai daerah boleh dijadikan contoh, bahawa perbezaan politik tidak memisahkan silaturrahim dan bukannya seperti doa pemimpin PAS, kerana UMNO itu adalah musuh politik, maka tidak menjadi sesuatu yang berdosa untuk “mendoakan kemusnahan” dan halal sekalipun terpaksa membunuh, ia adalah jihad.
MatMerapu melihat politik, walau apa pun perjuangan yang hendak dilakukan, tidak seharusnya meletakkan ketentuan, “itu adalah hak kita seorang”, maka “hak itu wajib diperjuangkan” meskipun terpaksa “membakar hati dan perasaan” atas nama survival dan sikap tamak. Biarpun ia adalah suatu tindakan yang mungkin betul untuk tujuan tertentu, tetapi kerana kita adalah masyarakat pelbagai bangsa, keturunan dan agama, maka wajarlah kita memikirkan semula bagaimana melakukan national reconciliation, dan bukannya national destructive.
PRU13, pedih 2008 masih terasa. Bahkan ada jalur yang lebih lebar memisahkan erti kesepaduan dan perpaduan. Politik sektarian dan mabuk kuasa terus bermuara hingga ada cubaan untuk menolak keputusan kerana tidak percaya kekalahan. Itu sebenarnya sikap orang tamak haloba dan tidak yakin kepada keupayaan diri. Maka adalah baik kita syorkan orang seperti itu pergilah ke mana-mana dia suka, hiduplah bersendirian, apakah hidupnya akan bahagia tanpa kerjasama dan bantuan orang lain? Apa pun, perpaduan dan penyatuan Melayu bakal menjadi senjata utama kemenangan UMNO dan BN pada PRU14 akan datang.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment