Thursday, 2 May 2013

Perbezaan PAS: Dahulu dan Sekarang.........!!!

Kalau dahulunya PAS pernah dikenali sebagai parti alim ulama berikutan ramainya para ulama pondok dan ilmuan agama lulusan dari Timur Tengah yang lebih selesa berjuang dari dalam PAS berbanding bersama dengan UMNO. Bagaimanapun beberapa tahun kebelakangan ini, trend sedemikian seperti sudah berubah arah apabila para ulama dan tok guru pondok kini kelihatan semakin menjauhi PAS, di masa yang sama dilihat semakin mesra pula dengan UMNO. Sikap PAS yang semakin angkuh dan bongkak dalam mengejar kuasa termasuk sanggup menggadai prinsip dan dasar perjuangan Islam termasuk kerap tunduk pada tekanan rakan sepakatan dari pembangkang turut menyumbang ke arah perubahan trend tersebut. Di Kelantan umpamanya, sebahagian besar tok guru pondok sudah tidak lagi sanggup bersekongkol dengan PAS yang dilihat melebih-lebihkan dunia hingga lupa matlamat sebenar untuk mendaulatkan Islam dan hukum hakamnya. Jika dahulu pandangan dan nasihat tok guru pondok sering menjadi rujukan pemimpin PAS dalam sesuatu isu, kini peranan tok guru pondok tidak lebih sekadar sebagai tukang baca doa dan adakalanya menjadi tok imam untuk program politik yang berselindung di sebalik majlis 'solat hajat perdana'. Tambahan pula semenjak sebahagian besar pimpinannya dikuasai oleh puak liberal yang dikenali sebagai Anwarinas ataupun Erdogan, rentak hala tuju PAS juga kian liberal manakala suara-suara golongan ulama parti pula semakin tenggelam. Pandangan membina dalam isu kalimah Allah s.w.t misalnya, sengaja dibakul sampahkan sahaja hanya semata-mata hati dan perasaan pemimpin DAP dan pengundi kristian pro DAP dilihat lebih utama untuk kepentingan mengejar kuasa duniawi. Malah, apabila ramai pimpinan utamanya yang berlatar belakangkan agama sengaja dipinggirkan dalam perebutan jawatan parti, ia mengesahkan lagi yang PAS kini sudah melalui zaman perubahan total yang meletakkan para ulama dalam PAS kini hanyalah umpama kain buruk sahaja. PAS lebih selesa dengan rentak baru haluannya yang lebih bebas tanpa kawalan dan teguran dari ulama dalam parti, meletakkannya kini seakan sama seperti PKR dan DAP walaupun tarafnya masih bersifat balaci. Ketika PAS berubah sikap secara drastik membuang satu demi satu pemimpin berlatarbelakang agama dan mula meminggirkan suara ulama-ulamanya, UMNO pula mengorak langkah memperkukuhkan suara alim ulama supaya lebih memainkan peranan dalam parti dan kerajaan. Bagi PAS, para ulama dan tok guru pondok seakan sudah tiada nilai untuk dimanfaatkan sebaliknya kemunculan beberapa artis perempuan yang suatu ketika dahulu meliuk-liuk tubuhnya bergaya seksi di depan kamera kini dilihat lebih berharga untuk memancing undi muda mudi. Kepada ahli, pengikut dan penyokong PAS......dengan kebijaksanaan yang ada; anda sudah boleh menilai pendirian dan perjuangan PAS masakini. Mengundilah secara bijak demi kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat.......Selamat Mengundi.

No comments:

Post a Comment