Sunday, 28 April 2013

PRU13: Saingan Sengit Media.....!!!

Apakah jangka hayat media cetak akan berakhir kerana internet lebih mesra pengguna, relevan dan akrab Generasi Y dan X? Jika sebelumnya media cetak, elektronik, laman web, blog dan portal berita lebih terarah kepada komunikasi sehala, Facebook membenarkan hubungan banyak hala pada tempoh cepat tanpa sekatan Isu media dan gerakan massa sudah lama diperkatakan. Justeru, bukan luar biasa seminar media dan kebebasan di sebuah pusat pengajian meluaskan fokus kepada peranan pujangga istana, sasterawan, seniman, ulama juga cendekiawan Melayu menjulang tradisi berdialog, berhujah dan berdebat secara waras. Apabila akhbar Melayu pertama, Jawi Peranakan lahir pada penghujung abad ke-19, bermulalah tradisi persuratkhabaran yang membuka jendela baru pemikiran Melayu. Kelahiran Al-Iman adalah wahana ilmuwan Muslim progresif pada 1906. Walaupun isu Kaum Muda-Kaum Tua mendominasi ketika itu, wartawan, kolumnis dan penulis memanfaatkan penerbitan massa untuk tujuan berinteraksi. Tradisi inilah yang melahirkan Berita Harian, Berita Minggu atau sebelumnya Utusan Melayu. Penulis seperti Rahim Kajai, Tan Sri A Samad Ismail, Datuk Usman Awang, Pak Sako, Said Zahari dan Datuk Melan Abdullah antara ikon dunia kewartawanan tempatan. Mereka lahir bersama kemelut masyarakat. Mereka mendekati massa untuk menyemarakkan semangat kemerdekaan ketika era penjajahan dan mengisi kemerdekaan selepas 1957. Merekalah pendesak dan pengukir wacana bangsa. Mereka yang membentuk jiwa perpaduan dan menegur pemerintah ketika era konfrontasi, insiden 13 Mei 1969 dan pasca Dasar Ekonomi Baru. Mereka juga berperanan sebelum negara merdeka. Era penjajahan memberi ruang kepada petugas media menyemarakkan pemikiran massa dan menentang kuasa imperialis Barat. Tidak sedikit wartawan yang menerima kesan penderaan seperti dialami Samad dan Said Zahari. Mereka dipenjara dan dihina, namun akhirnya menjadi ikon kebebasan bermaklumat! Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said menerusi novel Hujan Pagi secara sinis memaparkan kemelut kewartawanan yang mengalami era prasangka sepanjang zaman. Wartawan dan media dicurigai ketika era penjajahan, namun menghadapi tekanan menerusi pelbagai akta dan hukum selepas negara merdeka. Mereka dicurigai oleh bangsa sendiri. Kehadiran media maya secara langsung mencabar sejarah dan tradisi media cetak pada 1998. Perkembangan politik dan isu moral seorang pemimpin mula bertebaran menerusi media baru. Blog, portal berita, e-mel, Facebook dan Twitter wadah yang memeranjatkan. Setiap berita tersebar hanya beberapa saat dan semua pihak bebas untuk memberi pandangan, menyokong atau menentang. Dunia hampir pasti berterima kasih kepada pengasas Facebook, Mark Zuckerberg kerana membuka dimensi baru proses komunikasi sejagat. Jika sebelumnya media cetak, elektronik, laman web, blog dan portal berita lebih terarah kepada komunikasi sehala, Facebook membenarkan hubungan banyak hala pada tempoh cepat tanpa sekatan. Sesiapa saja boleh berhubung dan menyuarakan pendapat tanpa batasan. Belum pun sempat sesuatu kes disebut di mahkamah, media baru sudah meledak dengan pelbagai maklumat, lengkap dengan pertuduhan dan pendakwaan. Sesiapa saja berusaha menjadi hakim. Sesiapa jua berhak mendakwa ‘rakyat hakim negara.’ Pengguna Facebook di Malaysia kini mencecah hampir 12 juta orang, dengan kadar penembusan 69.91 pengguna internet. Laman SocialBakers.com melaporkan, Malaysia kini berada di tangga ke-17 pengguna Facebook paling ramai di dunia. Teknologi maklumat secara langsung menguji kewujudan media tradisional. Ketika penduduk Malaysia 24.6 juta orang pada 2000, pengguna internet 3.7 juta dengan kadar penembusan 15 peratus. Bagaimanapun pada 2010, dengan 26.12 juta penduduk, pengguna internet meningkat 16.9 juta orang dan kadar penembusan 64.6 peratus. Ini menunjukkan pertumbuhan pengguna internet tempoh 10 tahun meningkat 356.8 peratus. Perkembangan ini memberikan gambaran saingan media baru dan tradisional semakin sengit. Hanya kewibawaan dan etika yang menentukan sesebuah media kekal.

No comments:

Post a Comment