Wednesday, 10 April 2013

Artis Aishah: Calon PAS Parlimen Jempol

Setakat ini hanya seorang artis wanita dinamakan sebagai calon untuk PRU 13. Wan Aishah Wan Ariffin @ Aishah, penyanyi yang popular menerusi lagu Janji Manismu, diletakkan sebagai calon PAS untuk Parlimen Jempol. Belum pasti siapa akan dipilih oleh BN untuk melawan artis wanita ini yang berusia 48 tahun dan beranak dua, kelahiran Negeri Sembilan. Atau, adakah mana-mana artis yang berani mencuba nasib sebagai calon bebas melawan Aishah di Jempol? Amaran: Hanya yang bersuara lunak seperti buluh perindu digalakkan mencuba sebagai calon bebas menentang bekas anggota kumpulan Fan Club itu. Tidak layak langsung mencuba bagi sesiapa yang suara seperti buluh betong atau kambing tua.....hehehe!!! Ada ramai artis wanita yang boleh dicalonkan untuk menentang Aishah. Kalau hendak yang suara manja dicadangkan Ella. Walaupun sudah bergelar isteri, gaya dan suaranya masih tetap membuat pengundi – terutama lelaki – longlai. Shiela Amzah, Yuna, Misha Omar pun layak. Ada artis wanita suara tidak berapa menawan tetapi lakonan dan gayanya amat memukau seperti Rozita Che Wan dilihat sesuai. Jelingannya pasti mendapat undi. Atau, apa kata Datuk Siti Nurhaliza yang suaranya terus memukau, gayanya terus memikat. Kalau Lisa Surihani bertanding di Jempol, beliau dijangka mendapat undi walaupun lawannya ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Abd Hadi Awang atau Tuan Guru Nik Aziz. Kecuali jika yang melawan Lisa ialah Maimun Yusuf @ ‘Tok Mun’, maka aktres manis itu tidak banyak mendapat undi, sebab undi akan diberi kepada wanita gigih berusia 93 tahun dari Terengganu itu, sebagai undi kesian. Kalau hendak memenangi undi wanita, artis lelaki juga boleh dipertimbangkan sebagai calon. Aaron Aziz yang macho n dan menghiris perasaan wanita menerusi filem box-office Ombak Rindu, pasti meraih banyak undi kaum Hawa, tidak kira di kawasan mana dia bertanding. Bagaimanapun untuk PRU13 ini Aaron belum layak bertanding, sebab dia masih warganegara Singapura. Fahrin Ahmad pun tidak kurang hebatnya. Kalau tanya sepuluh wanita, pasti sembilan menyukainya; seorang lagi yang tidak menyukainya itu mungkin sebab buta, boleh jadi juga minda tidak stabil. Semak dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kawasan mana paling ramai pengundi wanita, dan letakkan Fahrin untuk bertanding. Kalau hendak artis lelaki tampan lagi kelihatan berhemah, dicadangkan Datuk Jalaluddin Hassan. Tampan bergaya, suaranya romantik, sekali dia tersenyum lemah longlai jiwa wanita. Kalau dia berlakon memegang watak jahat pun, wanita tetap suka. Begitulah hebatnya beliau. Sekadar gurauan tapi boleh dipertimbangkan apabila dicadangkan nama-nama artis untuk PRU 13. Sebenarnya masa sudah tiba golongan karyawan diberi peluang dalam pilihan raya. Ini bukan sesuatu yang luar biasa – juga bukan luar tabii! – sebab di tempat lain artis bukan sahaja bertanding, malah apabila menang diberi jawatan penting dalam kerajaan. Di Amerika Syarikat ada pelakon koboi yang masuk politik, bertanding dalam pilihan raya, dan akhirnya terpilih sebagai pemimpin No.1 negara besar itu. Beliau ialah Ronald Reagan yang pada 1981 menjadi Presiden Amerika Ke-40. Arnold Schwarzenegger, aktor maco bertubuh sasa itu menjadi Gabenor California dari 2003 hingga 2011. Marudhur Gopalan Ramachandran @ MGR lama berkecimpung dalam dunia perfileman India sebagai pelakon, pengarah, penerbit, sebelum akhirnya memenangi pilihan raya dan menjadi Perdana Menteri Tamil Nadu. Di Filipina Joseph Estrada berkerjaya dalam seni selama 33 tahun dan berlakon dalam lebih 100 filem, bertanding dalam pilihan raya, terpilih sebagai Senator dan akhirnya menjadi Presiden Ke-13 negara itu dari 1998-2001. Landskap politik negara ,hanya Tan Sri Jins Shamsuddin yang masuk politik dan akhirnya dilantik sebagai Senator. Adalah diharap lepas PRU 13 nanti jika ada mana-mana artis – tidak kira lelaki, lebih sesuai lagi jika wanita(kiranya bertanding dan dipilih rakyat), dilantik sebagai anggota jemaah Menteri......hahaha!!!

No comments:

Post a Comment