Thursday, 4 April 2013

PRU 13: Pengundi Cina Sukar Diramal

Walaupun tarikh Pilihan Raya Umum Ke 13 (PRU 13) masih belum dapat dipastikan, pelbagai spekulasi dan ramalan mengenai tarikh keramat itu juga tersasar, namun bahang pilihan raya semakin membara di segenap tempat di negara ini. Ada juga pihak yang meramalkan Hari Penamaan Calon akan diadakan sekitar 14 Apr manakala Hari Mengundi sekitar 27 Apr nanti. Entah.....lah!!! Kita tunggu keputusan SPR. Topik mengenai peluang kemenangan sesebuah parti politik di satu-satu kawasan juga hangat dibincangkan, bukan sahaja di kedai-kedai kopi malahan situasi sama turut mewarnai kopitiam Cina. Perbincangan kopitiam ini kadang kala dilihat “kosong” atau dibicara secara bersahaja, manakala sarjana sains politik mungkin melihat perbualan di kopitiam ini sebagai kurang berasas atau tidak memenuhi syarat akademik. Namun bicara politik di kedai kopi selalunya memberi mesej yang tersendiri di mana daripada perbualan biasa inilah, kita boleh mengetahui sedikit sebanyak hala tuju atau kecenderungan undi di sesuatu kawasan. Keadaan ini adalah amat penting terutamanya untuk menilai dan meramal ke mana akan perginya undi di kalangan pengundi Cina, iaitu kumpulan pengundi yang dikatakan paling sukar untuk diramalkan. Agak menarik apabila terdapat pakar-pakar tilikan dan fengshui Cina yang turut menggunakan kemahiran mereka untuk meramal keputusan PRU 13 akan datang. Seorang pakar ramalan Cina umpamanya menjangkakan Barisan Nasional (BN) akan berjaya memenangi 143 kerusi Parlimen sekiranya pilihan raya umum diadakan pada tahun 2012, pakar tersebut turut meramalkan BN akan berkuasa di sembilan negeri. Terdapat pula ahli nujum yang meramalkan bahawa nasib BN akan lebih baik di utara tanah air sekali gus memberi peluang kepada BN untuk merampas semula Kedah dan menambah kerusi di Pulau Pinang. Menariknya jika zaman dahulu biasanya ahli nujum akan membuat ramalan dengan mengkaji horoskop atau bintang. Tetapi pada era ini bintang pada logo 1Malaysia turut dijadikan petunjuk untuk meramal peluang kemenangan BN pada PRU 13. Terdapat peramal umpamanya menjangkakan BN tidak dapat berkuasa di semua negeri kerana bintang pada logo 1Malaysia adalah tidak sempurna dan bukannya bentuk bintang yang lengkap. Tidak kira tilikan peramal-peramal ini betul atau tidak, apa yang pasti pengundi Cina masih merupakan kumpulan pengundi yang paling sukar diramalkan hala tuju sokongan undi mereka. Masih ramai pengundi Cina tidak membuat keputusan untuk mengundi BN atau pembangkang. Keadaan ini disebabkan oleh nilai kehidupan tradisi masyarakat Cina sendiri di mana mereka akan membuat penilaian berterusan ke atas persekitaran semasa. Kemenangan BN juga amat bergantung kepada kemampuan parti komponennya terutama MCA untuk melawan propaganda pembangkang yang mahu meracuni minda pengundi Cina. Pada pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak umpamanya, sebahagian pengundi Cina didapati beralih sokongan kepada parti pembangkang membolehkan DAP mencatat kemenangan di beberapa kerusi. Trend pengundi Cina yang sukar diramal turut ditunjukkan dalam beberapa siri pilihan raya kecil. MCA umpamanya mendakwa pengundi Cina lebih cenderung menyokong BN dalam pilihan raya kecil di Kuala Terengganu pada Januari 2009; tetapi ketika pilihan raya kecil di Bukit Gantang pada April 2009 pula, pengundi Cina pula beralih kepada pembangkang. Dalam Pilihan Raya Umum 2008 pula, boleh dikatakan undi Cina beralih secara besar-besaran kepada pembangkang, pengaruh DAP berjaya diperluaskan ke Sabah malahan di sesetengah tempat di utara Johor, negeri yang merupakan kubu paling kuat BN. Keadaan ini adalah berbeza dengan Pilihan Raya Umum 1999 dan 2004 sebelum ini yang memperlihatkan sokongan DAP merosot ke paras terendah. Keputusan-keputusan pilihan raya tersebut menampakkan wujud trend undi secara kolektif yang jelas di kalangan pengundi Cina yang tidak terbatas oleh sempadan negeri, tetapi hala tuju undi tersebut adalah berubah-ubah dan amat sukar diramalkan. Sememangnya jika dibandingkan dengan kebanyakan pengundi Melayu yang merupakan penyokong setia kepada sesebuah parti adalah sukar digugat, keadaannya adalah berlainan di kalangan pengundi Cina yang mana sokongan mereka boleh berubah setiap hari. Mungkin disebabkan oleh sikap atas pagar kebanyakan pengundi Cina ini, tiada mana-mana parti berasaskan masyarakat Cina sama ada DAP, MCA mahupun Gerakan mempunyai keyakinan penuh untuk menang di satu-satu kawasan. Walaupun para penganalisis berpendapat undi Cina masih cenderung kepada parti pembangkang tetapi hakikatnya keadaan itu boleh berubah pada bila-bila masa bergantung kepada persekitaran semasa. Perlu diingatkan bahawa sejarah menunjukkan pengundi Cina merupakan penyokong setia kepada Perikatan atau BN selama ini, peralihan undi Cina secara besar-besaran ke arah pembangkang hanya berlaku dua kali iaitu pada 1969 dan 2008. Apa yang penting ialah setiap isu yang membelenggu pengundi Cina perlu diperjelaskan oleh BN satu demi satu. Tidak dinafikan bahawa gagasan 1Malaysia Perdana Menteri, Dato' Sri Najib Razak serta sikap lantang bersuara Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek telah menghasilkan impak positif di kalangan pengundi Cina, namun sejauh manakah ia akan membantu kemenangan MCA masih menjadi satu persoalan. Kunci kepada persoalan tersebut bergantung kepada kemampuan parti-parti politik berkenaan untuk mempengaruhi dan menarik sokongan kumpulan atas pagar yang mana undi mereka tidak menentu dan boleh berubah pada hari mengundi itu sendiri.....!!!

No comments:

Post a Comment