Sunday 4 May 2014

#Pemilihan PKR: Kecoh Kerana Wujud Unsur Penipuan.......!!!

Mengundi dalam bilik hotel bajet, ahli dihalang mengundi, ahli tidak diberitahu lokasi baru pembuangan undi dan ahli dimaklumkan tarikh pengundian di Cabang tertentu ditangguhkan. Itulah antara runggutan ahli PKR sepanjang dua hari pengundian bermula melibatkan Kelantan, Terengganu, Pahang, Sarawak, Melaka dan Johor. Dalam pengundian itu, yang dikatakan melibatkan kira-kira 150,000 ahli di lima negeri berkenaan namun hanya 40 hingga 50 peratus keluar mengundi, manakala selebihnya berhadapan dengan empat masalah berkenaan. Seorang Ketua Ranting di sebuah Cabang di Kelantan mendedahkan, proses pengundian penggal ini tidak berubah seperti berlaku sebelumnya, apabila pihak tertentu, yang dikatakan calon berpengaruh cuba 'bermain kotor'.Ketua itu, yang enggan namanya disiarkan berkata, beberapa jam sebelum ahli Ranting hendak keluar mengundi, mereka dimaklumkan tarikh pengundian di Cabang itu terpaksa ditangguhkan atas sebab yang tidak dinyatakan. Tetapi, katanya, pada masa sama, ahli Ranting lain di Cabang berkenaan yang menyokong calon tertentu dibenarkan keluar mengundi dan tempat pembuangan undi itu diadakan di sebuah hotel murah. "Saya sendiri dimaklumkan oleh seseorang, hari mengundi bagi Cabang dan negeri itu ditangguhkan. Saya berasa pelik kerana tidak dimaklumkan secara rasmi oleh pengerusi PKR negeri"."Was-was dengan makluman itu, saya cuba mengintip dengan mengekori beberapa ahli yang dikenali sebagai penyokong tegar calon tertentu dan mendapati mereka memasuki sebuah hotel murah". "Ahli ini diberikan sekeping kertas undi dan memanggah calon mereka," katanya. Di Kuantan pula, seorang ahli Mohd Shukri Mohd Ramli dihalang daripada mengundi kerana keahliannya dikatakan telah terbatal berikutan bertindak menjadi calon Bebas pada PRU13 Mei tahun lalu. Beliau yang bertanding kerusi DUN Semambu, dikatakan sudah sampai di pusat mengundi pada pagi Sabtu lalu, tetapi dihalang oleh Ahli Parlimen PKR Kuantan, Fuziah Salleh. "Saya masih ahli PKR. Tidak ada pemecatan keahlian dibuat ke atas saya oleh Jawatankuasa Disiplin Parti, dengan itu saya ahli yang sah dan layak mengundi, tetapi calon Naib Presiden (Fuziah) menyekat saya daripada masuk ke pusat mengundi," katanya. Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Datuk Johari Abdul berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang aduan mengenai masalah itu dan menganggapnya sebagai spekulasi yang tidak boleh diberi perhatian. Katanya, semua pemilihan atau pengundian di lima negeri termasuk dua hari di Sarawak berjalan lancar dan mengikut jadual. "Jika ada masalah, ahli boleh menyalurkan aduan secara terus kepada JPP untuk kita teliti dan mengambil tindakan sewajarnya," katanya. Hari pengundian seterusnya ialah Kedah, Perlis, Sabah pada 3 Mei, diikuti Sabah untuk hari kedua, Perak dan Pulau Pinang (4 Mei), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan (10 Mei) dan Selangor (11 Mei).

No comments:

Post a Comment