Monday 5 May 2014

#Hudud: Pakatan Pembangkang Ibarat Retak Menanti Belah.......!!!

Pakatan pembangkang kini diibaratkan "retak menanti belah" berikutan keengganan PAS menarik balik pendirian untuk melaksanakan hukum hudud.Ketegasan PAS yang merupakan sekutu DAP dan PKR dalam pakatan pembangkang itu juga disifatkan telah mengkhianati kepercayaan yang diberikan oleh masyarakat bukan Islam terhadap parti itu, kata Norman Fernandez, bekas Timbalan Pengerusi DAP Johor. "Saya meramalkan peristiwa perpecahan yang berlaku terhadap Barisan Alternatif (BA) pada 2001 akan berulang terhadap pakatan pembangkang berikutan isu hudud oleh PAS." "Masyarakat Cina yang telah memberikan kemenangan kepada PAS pada PRU13 lalu kini berasa seperti tertipu dengan sikap PAS," katanya. Norman seorang peguam dan pemimpin DAP Johor yang amat disegani oleh anggota parti itu terutamanya di Johor berkata, pemimpin-pemimpin DAP dan PKR turut rasa tertipu dengan PAS. Beliau menarik perhatian bagaimana sokongan kuat masyarakat bukan Islam merupakan sebab utama di sebalik kemenangan PAS di empat kerusi Dewan Undangan Negeri iaitu, Sungai Abong, Maharani, Parit Yaani dan Puteri Wangsa. Kemenangan PAS di keempat-empat kerusi DUN itu adalah disebabkan kepercayaan masyarakat bukan Islam terhadap parti itu. "Kini PAS telah mengkhianati kepercayaan yang diberikan oleh masyarakat bukan Islam terhadapnya. Saya menjangkakan PAS akan kehilangan kerusi-kerusi terbabit pada pilihanraya umum akan datang," katanya. Menurutnya, masyarakat bukan Islam kecewa kerana berasa seperti dipergunakan oleh PAS "menyembunyikan" isu hudud sebelum ini dan hanya menyuarakan hasrat mereka tentang undang-undang jenayah Islam itu selepas pilihan raya umum. Norman percaya kedegilan PAS untuk melaksanakan hukum hudud tidak lebih hanyalah permainan politik untuk mengembalikan sokongan pengundi Melayu terhadapnya. PAS sebenarnya kata beliau, bimbang kerana ketandusan isu yang boleh digunakan untuk menarik sokongan orang Melayu, yang semakin menjauhkan diri daripada parti itu dan lebih berpihak kepada UMNO. "UMNO lebih berjaya menarik sokongan orang Melayu, PAS telah gagal. Ia tidak ada isu, disebabkan ketandusan idea untuk membangunkan Kelantan, sebab itulah ia memainkan isu hukum hudud. Ia tiada pilihan," katanya. Menurutnya, sekarang bukanlah masa yang sesuai untuk melaksanakan hukum hudud di Malaysia.

No comments:

Post a Comment