Monday, 14 April 2014

Timbalan Presiden PKR: Saifuddin Hilang Kelayakan......!!!???

Calon Timbalan Presiden PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail menyerahkan kepada Jawatankuasa Pemilihan PKR (JPP) untuk menentukan sama ada beliau masih dibenarkan bertanding dalam pemilihan parti kali ini. Saifuddin, yang juga merupakan Setiausaha Agung PKR berkata beliau tidak mengetahui sama ada beliau telah melanggar etika berkempen dan berdepan kehilangan kelayakan untuk bertanding. “Saya tak ada maklumat tentang perkara ini (kehilangan kelayakan bertanding). Soalan ini perlu ditanya kepada Datuk Johari Abdul (Pengerusi JPP),” jawabnya. Dilaporkan Saifuddin berkemungkinan hilang kelayakan dari bertanding ekoran kenyataannya dalam wawancara bersama sebuah akhbar tempatan 11 April lalu. Dalam wawancara itu, Saifuddin dilihat mengkritik dua calon lain yang turut merebut jawatan kedua tertinggi PKR itu, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Azmin Ali. Saifuddin dilaporkan melabel Khalid sebagai individu yang tahu segalanya (know it all) terutamanya dalam isu air. Azmin pula dikatakannya tidak suka bertukar pandangan, idea ataupun berdebat. Minggu lalu, Johari, selaku Pengerusi JPP, menjelaskan setiap calon mesti menuruti tujuh garis panduan yang dikeluarkan oleh jawatankuasa itu. Garis panduan itu, antara lain, menegaskan ‘apa-apa kenyataan, ucapan atau bahan kempen semasa pemilihan parti hendaklah berasaskan rekod kerja calon, pencapaiannya dan perancangannya untuk parti. Ucapan keji, fitnah, caci dan menghina dilarang sama sekali’. Menurut Johari, sekiranya mana-mana pihak mendapati terdapat calon yang melanggar peraturan ini, mereka perlu membuat satu laporan dan kemukakan bukti dalam bentuk hitam putih. “Kita amat berhati-hati dalam hal ini dan kita ada pasukan peguam yang menasihati kita dari masa ke semasa,” kata Johari.

No comments:

Post a Comment