Monday 14 April 2014

Terjejaskah Kedudukan Khalid Selepas Pemilihan PKR ???

Jika benar kata Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali bahawa Kajang Move jalan terus walaupun bukan Datuk Seri Anwar Ibrahim jadi Menteri Besar Selangor, nampaknya kenyataan beliau seolah-olah ada benarnya. Ini ekoran kecaman Pemuda PKR Selangor terhadap Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang menggunakan media rasmi kerajaan negeri untuk tujuan berkempen bagi merebut pertandingan timbalan presiden pada pemilihan akan datang. Menerusi kenyataannya, Setiausaha Pemuda PKR Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad berkata, Khalid seperti pemimpin BN yang menggunakan media Radio Televisyen Malaysia (RTM) untuk berkempen demi kepentingan politik peribadi. “Pemuda PKR Selangor kesal dan kecewa kerana sosok Menteri Besar Selangor yang sering menonjolkan dirinya sebelum ini sebagai seorang pemimpin yang bersih dan berintegriti akhirnya kini bertindak menyalahgunakan portal media rasmi kerajaan negeri bagi tujuan politik peribadi beliau,” katanya. Saifuddin berkata, Khalid menggunakan laman portal Selangor Kini bertarikh 12 April 2014 di bawah tajuk “Pemilihan PKR 2014: Kenapa Tan Sri Khalid wajar diangkat sebagai Timbalan Presiden” bagi tujuan kempen politik beliau. Khalid bakal ditentang penyandang kerusi berkenaan, Mohamed Azmin Ali dan Datuk Saifuddin Nasution Ismail, serta Datuk K Ramachandram bagi jawatan kedua tertinggi PKR itu. Semakan susulan juga menunjukkan bahawa akaun laman sosial Media Selangorku menerusi Facebook dan Twitter turut disalahguna bagi tujuan sama iaitu berkempen untuk Menteri Besar Selangor. “Tindakan sebegini sememangnya memalukan memandangkan ia bertentangan dengan pendirian dan prinsip PKR,” katanya. Daripada 500,001 ahli PKR yang layak membuat pilihan kali ini, hampir separuh daripada mereka berada di Selangor dan Sabah. Selangor mempunyai 144,020 ahli manakala Sabah mempunyai 86,955 ahli PKR. Umum mengetahui Khalid tidak sebulu dengan Azmin, dan penyertaan Saifuddin adalah bagi meredakan ketegangan yang wujud antara dua kem Azmin dan Khalid. Azmin merupakan pengerusi PKR Selangor dan bekas pengerusi PKR Sabah sebelum ini. Pemilihan bermula pada 25 April dan berakhir pada 11 Mei. Kenyataan terbuka Pemuda PKR Selangor ini tentu memberi gambaran buruk terhadap Khalid selepas beliau membuat kenyataan bahawa dirinya bukan Pak Turut kepada Anwar. Tentu ramai ingin tahu kenapa Saifudin berani membuat kenyataan sedemikian. Mungkin ada jari akan menunjuk kepada Azmin tetapi perkara lain perlu diberi perhatian ialah apa sahaja boleh berlaku dalam pemilihan mana-mana parti dengan ada pihak akan mengecam pihak lain dan Khalid nampaknya tidak terkecuali.

No comments:

Post a Comment