Tuesday, 29 April 2014

PFP: Tiada Kaitan Dengan BN Pulau Pinang........!!!

BN Pulau Pinang tidak mempunyai kaitan dengan penubuhan parti Penang Front Party (PFP) oleh 44 badan bukan kerajaan kaum Cina, kata Pengerusi BN Negeri, Teng Chang Yeow. "Kami tidak tahu tentang penubuhan parti itu. Mereka tidak menemui kami dan kami juga tidak menemui sesiapa untuk menubuhkan parti ini," katanya mengenai penubuhan parti itu seperti yang diumumkan Pengerusi Penajanya Datuk Go Chu Tiong. Mereka dalam proses menghantar permohonan pendaftaran kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) bagi membolehkan calonnya bertanding pada PRK kawasan Bukit Gelugor yang dijadual 25 Mei. Teng berkata sesiapa pun boleh mengisytihar mereka mesra BN, tetapi penubuhan PFP tidak datangnya daripada BN. PFP dikatakan mahu memperjuangkan masa depan rakyat Pulau Pinang secara adil. Mengenai PRK Bukit Gelugor, Teng berkata MCA akan mengemukakan calonnya untuk dipertimbangkan dan menambah BN Pulau Pinang akan bermesyuarat dengan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai mengenai perkara itu. Kerusi Bukit Gelugor kosong berikutan kematian penyandangnya Karpal Singh daripada DAP dalam nahas jalan raya berhampiran Gua Tempurung, Kampar pada 17 April lalu. Sementara itu Teng berkata BN Negeri bersetuju untuk melantik semula Datuk Omar Faudzar sebagai Setiausaha dan Tan Cheng Liang sebagai Bendahari baharu.

No comments:

Post a Comment