Monday, 14 April 2014

Pelaksanaan Hukum Hudud: DAP Melobi Komponen BN.......!!!

DAP memulakan gerakan bagi menentang usul rang undang-undang persendirian hudud kerajaan negeri Kelantan yang akan dibawa ke Parlimen hujung tahun ini. Ahli Parlimen DAP Segambut, Lim Lip Eng mendakwa partinya turut mendapat sokongan komponen BN termasuk dari MCA, Gerakan dan MIC. Beliau mendakwa, setakat ini 50 ahli Parlimen menyatakan tentangan terhadap hudud termasuk 38 ahli Parlimen DAP, MCA (7), Gerakan (1) dan MIC (4). “Seramai 38 ahli Parlimen DAP secara terbuka menyatakan tidak akan mengundi usul persendirian yang dikemukakan PAS. ”Kami memerlukan sokongan 25 ahli Parlimen lagi melalui cara melobi ahli Parlimen BN yang bukan beragama Islam bagi menyokong kami membantah rang undang-undang ini,” katanya. Menurut beliau, usul persendirian hudud yang akan dikemukakan oleh ahli Parlimen PAS akan dapat ditentang DAP sekiranya mereka mendapat sokongan melebihi dua pertiga ahli Parlimen iaitu seramai 75 orang. Bercakap dalam sidang media di Pusat Khidmat Parlimen Segambut yang turut dihadiri Ahli Parlimen Ipoh Timur Thomas Su dan Ahli Parlimen Lanang Alice Lau, Lim berkata usaha melobi ahli parlimen bukan Islam BN bukan sahaja digerakkan DAP malah oleh parti komponen BN sendiri. “Usaha ini tidak dilakukan sendirian. Kami akan menggesa ahli parlimen MCA dan MIC untuk sama-sama memujuk ahli parlimen BN yang lain,” katanya. Thomas berkata usaha melobi itu akan dilaksanakan pada masa terdekat dan mereka kini dalam proses mengumpulkan maklumbalas dan membuat persediaan. Ketika ditanya adakah MCA pernah menyatakan sokongan secara peribadi untuk menentang hudud, Lim berkata: “MCA menyatakan dalam media beberapa kali tujuh ahli parlimennya tidak akan menyokong rang undang-undang persendirian hudud. “Saya juga difahamkan Gerakan dan MIC turut tidak menyokong usul itu,” katanya.

No comments:

Post a Comment