Thursday, 3 April 2014

#Pemilihan PKR: Aspek-aspek Menarik.......!!!

Pencalonan PKR telahpun selesai. Calon suami-isteri “berebut” Presiden PKR. Lima calon datang mencuba nasib di kerusi timbalan, 16 melaporkan diri di kerusi naib presiden, tiga di kerusi ketua pemuda dan dua di kerusi ketua wanita. Berikut ialah aspek-aspek menarik yang perlu diberi perhatian di pemilihan PKR: Laporan Utusan Ketika pemilihan PAS Pusat tahun lepas, Utusan mengambil keputusan untuk menyerang Mat Sabu. Apabila berita itu disensasikan, Utusan menukar nada menyokong Mat Sabu pula dan menyerang lawannya pula. Umum mengambil langkah mudah – apa yang diserang dan membuat Utusan mendiamkan diri perlu disokong dan apa yang disokong Utusan itu adalah musuh. Apakah Utusan telah belajar daripada episod ini? Utusan sekali lagi akan digunakan sebagai senjata di pemilihan PKR oleh calon-calon yang bertanding di pemilihan PKR. Sejurus selepas pencalonan selesai, Utusan melaporkan Mohamed Azmin Ali menjadi mangsa permainan politik Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana dihalang menaiki takhta Presiden PKR. Apakah Utusan telah belajar daripada kesilapannya di pemilihan PAS? Jika ya, simpati terhadap Azmin perlu dibaca dengan kanta mata berlapis. Pertama kali, yang kalah akan dinaikkan pangkat Ini pertama kali dalam pemilihan mana-mana parti – sesiapa yang tewas bertanding di jawatan tertinggi parti akan dinaikkan pangkat lebih “tinggi” daripada kedudukan yang dimenanginya. Inilah kesnya apabila Anwar berlawan dengan Wan Azizah Wan Ismail di kerusi presiden. Sesiapa yang kalah dan tarik diri akan dinaikkan menjadi Ketua Umum PKR, pada akhirnya, bergantung pada nasib rayuan Anwar. Pemilihan yang dijangka paling ramai mengundurkan diri. Pemilihan PKR ini dijangka melakar sejarah sendiri apabila ia akan menjadi pemilihan yang paling ramai calon menarik diri. Di kerusi timbalan presiden yang menyaksikan pertandingan enam penjuru antara Azmin, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Tian Chua, Saifuddin Nasution, Datuk K Ramachandran dan S Murali sudah terlihat tanda-tanda ada tiga sehingga empat yang bakal menarik diri untuk memberikan laluan kepada pertandingan dua atau tiga penjuru yang melibatkan Azmin dan Khalid tanpa memecahkan undi. Di peringkat naib presiden pula juga sama. Empat tempat kosong untuk 16 calon. Siapa yang hanya bertanding untuk memecahkan undi? Siapa yang bertanding sebagai insuran? Di mana Tian Chua akhirnya? Kebanjiran calon dari exco dan DUN Selangor. Khalid sebagai Menteri Besar bertanding untuk jawatan timbalan presiden. Elizabeth Wong, exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar Selangor mencuba nasib di kerusi naib presiden. Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita Selangor Rodziah Ismail mencabar Zuraida Kamaruddin di kerusi ketua wanita. Timbalan Speaker DUN Selangor Nik Nazmi ingin berebut jawatan kerusi Ketua Pemuda PKR dan Haniza Talha, ADUN PKR di Taman Medan mencari peluang di kerusi timbalan kerusi ketua wanita. Apakah faktor berada di kerajaan Selangor akan memberikan kelebihan kepada calon-calon ini? Ia akan menjadi sangat menarik bagi PKR sekiranya barisan kerajaan Selangor akhirnya berkuasa di PKR Pusat kerana akhirnya rungutan kerajaan Selangor tidak bergerak seiring dengan PKR Pusat akan mati terburai. Apakah ini penyelesaian Khalid yang lebih praktikal untuk menyelesaikan masalah dalaman PKR berbanding Langkah Kajang? Timbul dan tenggelam Masihkah ingat siapa Lee Chin Cheh? Bekas ADUN Kajang yang meletakkan jawatan untuk menghidupkan Langkah Kajang bagi Anwar. Pengorbanan Lee akhirnya tidak mencapai apa yang dihasrat berikutan hukuman penjara yang dijatuhkan kepada Anwar. Kini, Lee masuk gelanggang untuk bertanding di kerusi naib presiden. Apakah ini juga untuk “kepentingan bersama” PKR seperti Langkah Kajang? Datuk Chua Jui Meng yang timbul pelbagai kontroversi di Johor dengan DAP Johor tidak bertanding di kerusi naib presiden meskipun beliau adalah naib presiden yang dilantik. Apakah beliau akan direhatkan seperti Dr Boo Cheng Hau di DAP Johor untuk meningkatkan peluang Pakatan Rakyat menumbangkan UMNO-BN di Johor? Di mana Chegubard? Kelancaran kerajaan Selangor dan kedudukan Khalid sebagai MB Selangor. Jika Wan Azizah dan Azmin menang, dan barisan kerajaan Selangor tewas teruk di pemilihan PKR, apakah nasib Khalid di kerusi MB Selangor? Apakah ini akan menjejaskan kelancaran pentadbiran Selangor? Jika Khalid terus kekal dalam keadaan begitu, apakah pergolakan PKR akan lebih bergelora tanpa Anwar selepas ini? Apakah ada yang akan keluar parti jika tewas? Jika barisan kerajaan Selangor berjaya menguasai PKR Pusat, PKR sudah tentu akan menjadi lebih kuat. Tapi apakah pihak yang tewas boleh menerima kekalahan mereka secara terbuka, atau memberikan sokongan penuh kepada barisan kerajaan Selangor atau bertindak keluar parti? Kredibiliti PKR sebagai parti. Pemilihan PKR yang lepas merupakan satu mimpi ngeri pada Pakatan Rakyat dan juga PKR apabila ahli PKR sendiri membantah keputusan pemilihan parti sendiri yang berdasarkan satu ahli satu undi. Meskipun menggunakan sistem yang paling demokratik di kalangan parti di Malaysia, sistem perlumbaan undi popular PKR ini terdedah dengan pelbagai ruang untuk dimanipulasikan kerana taburan pengundi di sekitar negara tidak sekata. Barisan kepimpinan mana yang paling berpihak pada UMNO, PAS dan DAP? UMNO sudah tentu mengharapkan pemilihan PKR ini menghancurkan Pakatan Rakyat dan menjadi medan menolak aduan Pakatan Rakyat mengenai Suruhanjaya Pilihan Raya jika pemilihan PKR kali dicemari oleh insiden salahlaku yang berlaku yang didedahkan seperti pemilihan PKR yang lalu. Bagaimana pula dengan PAS dan DAP? PKR yang baru tidak menghalang agenda Pakatan Rakyat dan mengekalkan persaingan yang sihat di kalangan tiga parti? Pemilihan ini mungkin ada potensi untuk menonjolkan siapa pengganti Anwar dan calon perdana menteri Pakatan Rakyat di PRU14 yang dapat diterima ketiga-tiga parti nanti. Jika tidak, PKR dan Pakatan Rakyat akan kekal dalam keadaan seperti di PRU13.

No comments:

Post a Comment