Tuesday 29 April 2014

Militan: Sepuloh Suspek Ditahan PDRM.......!!!

Seorang lagi suspek yang terlibat dalam aktiviti militan ditahan sepasukan polis di ibu negara. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, suspek yang ditahan itu merupakan seorang wanita dan jumlah tangkapan setakat ini adalah seramai 10 orang. Katanya, daripada jumlah itu, seramai lapan orang adalah lelaki dan dua wanita termasuk seorang balu. Kesemua suspek berusia 25 hingga 56 tahun. Menurut Zahid, wanita yang ditahan merupakan seorang balu namun enggan mendedahkan secara terperinci lokasi serta waktu dia ditahan. "Setakat ini, kami sudah menahan 10 orang yang dipercayai ada hubungkait dengan rangkaian Al-Qaeda dan Jemaah Islamiah serta menerima latihan ala ketenteraan," katanya. Beliau memberitahu sidang media selepas majlis 'Pemakaian Pangkat Time Based berasaskan kecemerlangan koperal dan sarjan penjara', pelancaran unit pengiringan bermotosikal dan jersi pasukan bola sepak Penjara FC. Ahmad Zahid berkata pihaknya juga telah merampas pakaian ala tentera, buku jihad, pisau rambo, pedang samurai dan bendera kumpulan pengganas antarabangsa daripada 10 individu berkenaan. Tambahnya, maklumat risikan juga mendapati mereka mempunyai rangkaian di luar dan dalam negara, dan telah menyertai beberapa misi jihad di negara yang sedang bergolak. "Mereka menyamai apa yang dilakukan Al-Qaeda dan Jemaah Islamiah berselindung atas nama misi kemanusiaan," katanya. Beliau berkata PDRM akan meneruskan misi mengesan saki baki kumpulan itu yang dipercayai lebih daripada 10 orang. Ketika ditanya mengenai cara anggota kumpulan itu direkrut, beliau berkata PDRM menyelidiki semua punca pengambilan yang dilakukan daripada individu, kumpulan atau laman sosial seperti Facebook dan tidak akan ada unsur kompromi kepada sesiapa sahaja yang terlibat. Ahmad Zahid berkata setelah siasatan selesai, beliau akan meminta Bukit Aman mendedahkan mengenai kumpulan itu, yang terdiri dari pelbagai latar belakang individu. Kesemua ditahan mengikut Kesalahan Berkaitan Dengan Keganasan dan Akta Kanun Keseksaan serta disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma). "Saya yakin di bawah Sosma kita akan dapat membendung gejala keganasan di negara ini yang mengamalkan kesederhanaan dalam Islam," katanya. Sebelum ini, PDRM menahan sembilan individu termasuk seorang janda dalam serbuan berasingan di Kedah dan Selangor selepas semua suspek disyaki terbabit kegiatan militan di negara ini. Segelintir suspek ditahan di rumah masing-masing dengan sebahagiannya adalah pelajar madrasah, penjual burger serta pembantu restoran. Serbuan dilakukan Pasukan Petugas Khas (operasi/Counter Terrorism) Bukit Aman bermula jam 6 pagi hingga 12 tengah hari selepas pihak polis mendapat maklumat suspek sudah menjalani latihan ala ketenteraan untuk melakukan keganasan. “Dianggarkan 30 individu menganggotai kumpulan militan itu yang dipercayai bergiat aktif sejak tahun lalu". "Buat masa ini nama kumpulan berkenaan tidak boleh didedahkan supaya tidak mengganggu siasatan polis,” katanya.Kumpulan tersebut disifatkan sebagai licik kerana berselindung di sebalik misi kemanusiaan terbongkar apabila polis menahan sembilan anggota kumpulan itu termasuk ketuanya. Ada di antara mereka ditangkap di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, ketika bersiap sedia untuk berlepas ke luar negara bagi menjalankan misi 'jihad'. Kumpulan tersebut membawa fahaman 'Salafi Jihadi' dan cara kumpulan tersebut bergerak dengan berselindung di sebalik penganjuran misi-misi kemanusiaan ke luar negara dan membuat kutipan amal untuk membiayai operasi serta kegiatan mereka. "Melalui siasatan yang dijalankan, cara dan kaedah mereka beroperasi juga konsisten dan mirip kumpulan Al-Qaeda dan JI". "Cuma bezanya, mereka berselindung di sebalik misi kemanusiaan selain merekrut ahli melalui laman sosial dengan mengajak untuk berjihad dan melancarkan perang terhadap negara yang mengamalkan pemerintahan sekular," katanya. Siasatan turut mendapati kumpulan tersebut kerap menganjurkan perjumpaan sulit bertujuan memantapkan ideologi ekstrem mereka selain menjalani latihan ala-tentera di lokasi-lokasi rahsia di pinggir ibu negara. "Pihak polis masih memburu saki-baki ahli kumpulan itu kerana jumlah keseluruhan adalah di tahap membimbangkan walaupun rata-rata ahli kumpulan masih baharu dan tiada dalam rekod siasatan polis," katanya.

No comments:

Post a Comment