Sunday 30 June 2013

PRK Kuala Besut: PRK Kedua Selepas 34 Tahun......!!!

Ketika ramai sedang bercakap tentang PRK Kuala Besut, tentu ada yang tidak tahu PRK yang akan diadakan ekoran kematian Dr A. Rahman Mokhtar adalah kali kedua selepas 34 tahun.PRK Kuala Besut pertama juga kerana kematian ADUN kawasan berkenaan Zakaria Muda. Secara kebetulan, tarikh wakil rakyat BN itu meninggal dunia adalah pada 26 Jun 1979 yakni tarikh dan bulan sama dengan kematian Dr A. Rahman. Malah, PRK 34 tahun lalu diadakan pada bulan puasa dan dimenangi calon BN, Zakaria Abdul Rahman. Menurut Ahli Parlimen Besut merangkap Ketua UMNO Bahagian Dato' Seri Idris Jusoh, sekiranya PRK Kuala Besut kali ini diadakan pada bulan puasa, ianya mengulangi sejarah 34 tahun lalu. “Dulu (34 tahun) kita menang, PRU lalu kita juga menang dan Insyaallah, PRK ini kita boleh menang kerana itu kawasan selesa BN”. Idris, yang juga Menteri Pendidikan Kedua berkata, BN yakin mempertahankan kerusi Kuala Besut memandangkan DUN itu kubu BN serta majoriti 2,434 diperolehi Allahyarham Dr A. Rahman ketika menewaskan calon PAS Napisah Ismail pada PRU13 lalu. Beliau juga yakin formula 17: 15 akan kekal dan BN dapat terus memerintah Terengganu dengan kemenangan pada PRK itu nanti. Formula itu merujuk 17 kerusi dimenangi BN dan 14 kerusi oleh PAS manakala satu diwakili PKR ketika ini. Keyakinan Idris itu menolak kemungkinan andaian formula 16:16 oleh sesetengah pihak berdasarkan kemungkinan PAS menang pada PRK itu. Jika diambil kira rekod-rekod keputusan pilihan raya bagi DUN Kuala Besut, BN mengekalkan kemenangan berturut-turut sejak PRU11. Pada PRU11 (2004) calon BN Abdullah Che Muda menang dengan majoriti 2,027 menewaskan calon PAS Nik Mohd Zawawi Salleh yang memenangi di kerusi itu pada 1999 dengan majoriti 487 undi. Dalam PRU12 (2008) calon BN Dr A. Rahman Mokhtar menewaskan Mohd Zawawi dengan majoriti 2,631 undi. PRU13 menyaksikan Dr. A. Rahman menang dengan majoriti 2,434 selepas memperolehi 8,809 undi manakala Napisah berjumlah 6,375 undi. SPR dijangka mengekalkan daftar pemilih pada PRU lalu iaitu seramai 17,679 pemilih. Pihak SPR belum lagi menetapkan tarikh PRK Kuala Besut walaupun ada spekulasi kemungkinan ianya diadakan dalam bulan puasa. Apakah SPR akan mengekalkan penggunaan dakwat kekal walaupun telah mencetuskan kontroversi di pihak pembangkang pada PRU lalu.....??? MatMerapu menjangkakan PRK akan diadakan selepas hari raya, selewat-lewatnya 27 Ogos kerana SPR perlu menentukan dakwat yang sesuai sekaligus memerlukan masa bagi memilih dan membeli dakwat tersebut. Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Yusof menegaskan, keputusan berhubung penggunaan dakwat kekal dijangka akan diputuskan minggu ini apabila pihaknya bermesyuarat bagi menentukan tarikh PRK Kuala Besut. PRK ini juga amat penting kepada BN yang dapat membentuk kerajaan negeri Terengganu hanya dengan kelebihan dua kerusi. Pada PRU13, BN memperolehi 17 kerusi sementara PAS mendapat 14 dan PKR satu kerusi. Andai kata BN gagal mempertahan kemenangan pada PRK nanti dan PAS memenanginya, kedudukan kerajaan BN di Terengganu akan tergugat dengan masing-masing BN dan pembangkang mempunyai 16 kerusi. Justeru itu, jika PRU13 dianggap sesetengah pihak ‘Ibu pilihan raya’,PRK Kuala Besut juga sama hebat dan penuh cabaran.

No comments:

Post a Comment