Thursday, 27 June 2013

PRK Kuala Besut: Pilihan Raya Paling Menarik.....!!!???

Persoalan yang mula bermain di minda pemerhati politik sekarang adalah situasi yang bakal terjadi di Terengganu, di mana jumlah ADUN mewakili BN dan Pakatan Pembangkang (PP) hampir sama. Dengan pemergian ADUN Kuala Besut dari BN, Allahyarham Dr A Rahman Mokhtar, maka BN hilang buat sementara satu kerusi dan ini menimbulkan pelbagai kemungkinan dalam politik Terengganu dan pentadbiran negeri. Dalam PRU13 yang lalu, Dr A Rahman(BN) menang dengan majoriti 2,434 undi mengalahkan calon PAS, Napisah Ismail. Bagi keseluruhan 32 kerusi DUN Terengganu, BN menang 17 kerusi sementara PP menang 15 kerusi. Kini, kedudukannya kini 16 bagi BN. PRK yang bakal diadakan bagi DUN Kuala Besut, kedudukan BN, jika ia menang adalah masih 17 dan PP 15. Tetapi jika PP merampas Kuala Besut, kedudukannya seimbang 16-16. Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, ditakdirkan BN dan PP mempunyai kerusi sama banyak nanti, kuasa untuk menentukan tampuk pentadbiran negeri terletak kepada Sultan Terengganu. Berdasarkan Perlembagaan negeri, bagindalah yang akan menentukan wakil BN atau PP akan dilantik sebagai Menteri Besar. “Kalau berlaku 16 BN 16 Pembangkang, yang mempunyai kuasa tentukan Menteri Besar adalah Sultan Terengganu. Sultan boleh melantik (Menteri Besar) yang difikirkan sesuai, berdasarkan pandangan baginda dan sokongan majoriti rakyat. Kedua-dua parti (BN dan PP) boleh mencalonkan wakil masing-masing untuk jawatan Menteri Besar, tetapi keputusan bergantung kepada budi bicara Sultan,” katanya. Bagaimanapun, katanya, Sultan akan mendapatkan nasihat dan pandangan Perdana Menteri dan pemimpin-pemimpin politik di Terengganu. “Memandangkan pilihan raya umum baru sahaja berlangsung dan melihat kepada majoriti 2,434 yang dimenangi BN, adalah dijangka BN akan dapat mengekalkan kemenangan di DUN Kuala Besut. “Tapi jika berlaku perubahan undi, sesuatu akan berlaku di Terengganu. Kejadian seperti ini tidak pernah terjadi (di negara ini),” katanya. Justeru, PRK Kuala Besut bakal menjadi PRK paling menarik untuk dilihat perkembangannya.

No comments:

Post a Comment