Wednesday, 12 June 2013
Kuasa Politik : Apakah Melayu Dalam Bahaya.....???
Terdapat dua kenyataan dalam membincangkan isu ini.
Kenyataan Pertama
"Political power without Economic power is a shadow. The industrial and commercial mechanism is the means by which a country satisfied the necessaries of life according to its standards of living. Those who control a vital factor in it can, if they wish, obstruct or cut off the supply of the necessity and so being decisive pressure to bear upon the political authority".
(Dato Onn Jaafar CO 537/4785, Memorandum National Services for Malays ( Muka 220 Dato Onn Pengasas Kemerdekaan - Prof Ramlah Adam)
Kenyataan Kedua
"Ekonomi dan perniagaan telah muncul sebagai kekuatan yang menentukan politik dan sosial dalam negara".
(Buku Wawasan 2020 - Terbitan Institut Kajian Dasar tahun 1993)
Kedua-dua kenyataan tersebut ditambah dengan puluhan kenyataan lain yang pernah dibuat oleh kepimpinan dan para akademik negara ini telah menegaskan bahawa kekuatan ekonomi wajib ada dan kekuatan ekonomi inilah yang akan menentukan bukan sahaja pemilikan kuasa politik oleh orang-orang Melayu malah "survival" kaum itu sendiri.
Menyedari keperluan penguasaan ekonomi sebagai pra-syarat penting dalam menentukan genggaman kuasa politik maka persoalan "Kuasa Politik" - Milik Melayu selamanya harus diukur dengan mengambilkira kekuatan pegangan ekonomi orang- orang Melayu.
Bagi yang menyanggah perkara ini dengan mengatakan bahawa kuasa politik dengan gubahan dasar akan dapat mencengkam kuasa politik maka kita harus merujuk kepada kenyataan Tuanku Abdul Rahman pada tahun 1956 yang berbunyi;
"Perbezaan kaum berlaku tahun 1956 lagi. Orang-orang Melayu sedia memberikan hak-hak yang munasabah dan patut kepada orang-orang bukan Melayu. Orang Melayu telah memberikan pengorbanan yang banyak daripada hak-hak sebagai bumiputera Tanah Melayu kepada bangsa-bangsa yang bukan Melayu. Belum ada satu bangsa anak negeri yang telah berbudi sebegitu banyak seperti yang telah diperbuat oleh orang-orang Melayu. Sungguh pun ada jaminan hak-hak keistimewaan Melayu dan Perjanjian Persekutuan tetapi tidak sekali mencegah atau menyekat bangsa lain yang bukan Melayu daripada mencari kekayaan dan kesenangan dan lagi sehingga sekarang hak-hak keistimewaan itu masih belum lagi menghasilkan keadaan setaraf Melayu dengan bangsa-bangsa lain".
Tuanku Abdul Rahman ( Malaya Merdeka 26/04/1956)
Kenyataan Tuanku Abdul Rahman dapat dilihat sebagai penegasan bahawa kekuatan politik atau kuasa politik dalam penentuan dasar bagi menjamin hak keistimewaan Melayu tidak akan dapat meletakkan Melayu setaraf dengan bangsa-bangsa lain apabila pegangan ekonomi Melayu tertinggal jauh ke belakang.
Justeru itu, meletakkan kekuatan Melayu pada kuasa politik dan menetapkan kuasa politik tersebut sebagai "ultimate weapon' untuk terus menjadikan Melayu relevan di tanah air sendiri amat meleset. Harus diperingatkan bahawa pembelian wang dengan wang adalah sesuatu yang tidak realistik tetapi pembelian kuasa dengan wang adalah sesuatu yang lebih realistik dan mampu berlaku.
Beberapa pengertian kepada fakta ini sudah cukup untuk kita melihat betapa pentingnya kuasa ekonomi dalam dunia hari ini dan dalam konteks Malaysia dan Melayu, begitu besar risiko yang diambil oleh orang-orang Melayu jika kita hanya beranggapan bahawa kuasa politik dapat melalui kuasa ekonomi dan Melayu akan terus relevan andai hanya berpegang dengan kuasa politik.
Sungguhpun begitu penyanggahan pengertian terhadap kenyataan di atas baik oleh Dato Onn Jaafar, Tuanku Abdul Rahman dan buku-buku koleksi penulisan oleh Institut Kajian Dasar masih boleh dibuat dengan alasan pegangan kuasa politik itu di imbang dengan tanggungjawab dan moral kepimpinan.
Pakar Pemikir pengurusan dipetik mengatakan bahawa "Power must always be balanced by responsibility otherwise it is tyranny".
Ini juga bersesuaian dengan satu kertas kerja yang di bentangkan dan di bukukan dalam Wawasan 2020 - Menangani Wawasan 2020 - 1993 Institut Kajian Dasar yang memetik sebagai berkata;
......meninggalkan nilai-nilai moral dalam kehidupan sosial , politik dan ekonomi - memencilkannya akan menyebabkan kehidupan bermasyarakat hanya dipandu oleh kepentingan sempit kumpulan ;
.......dan sekiranya dibaca dalam konteks 'Melayu dalam Bahaya' maka ini akan menjerumuskan kita kepada keruntuhan bangsa kita serta mengarahkan bangsa kita kepada keruntuhan - baik pegangan kuasa politik mahupun ekonomi sekiranya kuasa yang ada tidak dilaksanakan dengan penuh kesedaran, penuh dedikasi dan untuk melunaskan amanah yang telah diberikan menerusi perlaksanaan demokrasi yang ada di negara kita ini.
Pegangan kuasa politik akan dapat menentukan peningkatan dan kemajuan bangsa baik dalam apa segi sekali pun sekiranya kuasa yang dimandatkan oleh rakyat kepada pemegang amanah tidak digadai untuk kepentingan individu atau beberapa kumpulan dalam bangsa itu sendiri.
Justeru, kepimpinan yang diamanahkan oleh rakyat - mengimbangi kuasa yang ada dengan kesedaran serta tanggungjawab akan dapat menaturalisasikan idea yang mengatakan bahawa kuasa politik dapat dilemahkan lantas digadai dengan kekuatan bangsa lain terhadap pegangan ekonomi.
Pokok perbincangan adalah 'Melayu dalam Bahaya'. Persoalan utama, apakah yang membahayakan Melayu dan siapakah yang sedang menyerang Melayu? Ini adalah persoalan utama yang perlu kita kaji setelah kita meneliti secara ringkas ; kekuatan ekonomi yang mampu membeli kuasa politik, kekuatan politik yang sebenarnya mampu menjana perkembangan ekonomi orang- orang Melayu serta keperluan moral dan tanggungjawab dalam memastikan kuasa politik terpelihara di tangan orang-orang Melayu .
Dalam satu kertas kerja yang pernah ditulis oleh Dato Sri Najib Tun Abdul Razak pada tahun 1993 - Wawasan 2020 dan masa depan orang-orang Melayu, Dato' Sri Najib dipetik berkata ;
- menyarankan bahawa kita harus melupakan sebenar hak-hak keistimewaan orang-orang Melayu - kerana selama ini kita harus mengakui dengan jujur - masalah yang sering membawa kegagalan kepada peniaga-peniaga Melayu - pengusaha-pengusaha Melayu : disebabkan khayalan mereka sendiri.
Kenyataan ini disokong oleh beberapa kepimpinan sekarang ini khususnya Tun Dr Mahathir sewaktu memperkatakan mengenai tongkat orang-orang Melayu.
Pembuangan tongkat orang-orang Melayu dikatakan perlu supaya Melayu itu tidak dimanja sehingga mereka lena untuk bangkit menyedari proses dunia tanpa sempadan yang berkehendakkan orang-orang Melayu bersaing.
Tidak dapat disangkal bahawa terdapat kebenaran dalam apa yang mahu disampaikan oleh Tun Dr Mahathir tetapi apakah dengan pembuangan tongkat tersebut maka Melayu akan terus dapat hidup di bumi Malaysia ini lantas bersaing dengan bangsa-bangsa lain di luar negara ini.
Kenapa buang yang ada? Kenapa perlu digadai segala yang diberi dalam kontrak sosial semata-mata kononnya mahu bangsa Melayu itu maju?
Kita jangan lupa sejarah kerana sejarah berulang kembali khusus pada mereka yang lupa.
Tahukan kita bahawa apa yang dikatakan tongkat kepada Melayu yang diberi oleh kerajaan adalah tongkat yang serupa yang diberi oleh kerajaan pada waktu awal tamaddun Malaysia oleh Inggeris?
Tahukan kita bahawa kehadiran bangsa lain yang diberi tongkat serta merta oleh penjajah adalah untuk meneutralisasikan kuasa yang ada kepada kepimpinan Melayu pada waktu itu?
Tahukan kita seawal tahun 1931 lagi kaum Cina pernah mendesak bukan sahaja hak malah berani mengatakan bahawa Tanah Melayu dan Negara-Negara Selat adalah milik orang Cina kerana mereka yang telah membangunkan Tanah Melayu.
(Warta Malaysa 11/3/1931)
Tahukan anda pada tahun 1953 - Federal Legislative Councill (6th Session) March 1953 Melayu di bawah RIDA dipotong peruntukan sehingga 3 juta bagi memberi laluan kepada pembentukan kampung-kampung baru Cina dengan peruntukan sebanyak 11 juta ringgit. Bayangkan kalau pada tahun 1953 gula hanya pada kadar 5 sen dan kini dengan kadar RM2.50 berapakah nilai 11 juta pada tahun 1953 dan sekarang?
Apakah semua subsidi ini dari se awal tahun 1931 (mengambil anggaran) ke tahun 1957 (mengambil anggaran) ia itu selama 26 tahun subsdi, tongkat dan memapah bangsa lain dalam perekonomian bangsa itu tidak menjana kejayaan bangsa itu sendiri? Cina dan India sekiranya diperhatikan sudah sedia mendapat subsidi dan tongkat oleh pemerintah pada ketika itu.
Apakah hari ini kita pula sebagai kepimpinan Melayu merasa berdosa untuk mengekalkan hak-hak keistimewaan yang ada, yang semakin terhapus dan ditambah dengan penjualan kuasa oleh kepimpinan Melayu itu sendiri?
Kepimpinan Melayu kita turut mengkritik soal dan sikap orang-orang Melayu. Namun menyalahkan sikap dan adat semata-mata adalah tidak adil. Sebagai kepimpinan mereka harus menentukan perkembangan minda orang-orang Melayu. Pembangunan minda harus diberi tumpuan utama agar Melayu lebih kritis dan kritikal dalam membuat keputusan. Ini adalah antara pembangunan yang tidak diberi perhatian menyeluruh. Kita bukan boleh mendidik masyarakat Melayu dengan terburu-buru. Tamaddun Melayu bukan beribu-ribu tahun.
Kita harus mengkaji juga kegusaran pemimpin Melayu mengenai masyarakat Melayu, tetapi kegusaran itu harus menjurus kepada usaha untuk mencorakkan bentuk dan resepsi Melayu terhadap pembangunan fizikal dan material.
Gambaran Datuk Onn 3/8/50 mengenai orang-orang Melayu dapat dilihat dalam tulisan beliau di Warta Negara 1950;
Gambaran yang berlainan coraknya daripada gambaran yang sedia ada di hadapan mata kebanyakan orang-orang Melayu. Gambar yang ada di hadapan mata ialah apa yang akan disertakan oleh orang-orang Melayu sendiri , ia itu gambar menunjukkan pendirian orang-orang Melayu dan gambar perbuatan orang-orang Melayu. Satu gambar lagi ialah gambar gelap yang tidak menunjukkan pendirian orang-orang Melayu. Perbezaan itu amat mustahak ia itu perbezaan yang boleh menentukan nasib orang- orang Melayu.
Apakah gambar yang sedang kita lihat sekarang menunjukkan pendirian orang-orang Melayu atau ianya membayangkan ketiadaan pendirian orang-orang Melayu?
Apakah dengan mengecilkan hak-hak keistimewaan orang-orang Melayu, hak yang sudah dikontrakkan ke atas kita dalam penyerahan hak-hak lain kepada bangsa-bangsa lain di tanah ini menunjukkan pendirian kukuh kita.
Sekali lagi, diulangi 'Melayu Dalam Bahaya? Siapa mengancam kita ?
Perlu diingatkan bahawa kelahiran anak kecil berbangsa Cina dan kelahiran anak kecil berbangsa Melayu bukan dipenuhkan dengan sikap sebagai satu pakej menentukan perbezaan bangsa. Anak kecil Melayu bukan dilahirkan dengan pakej sifat-sifat pemalas, mahu kaya cepat dan haprak dan anak kecil Cina bukan dilahirkan dengan sifat kerajinan, pandai berniaga dan berani. Dalam konteks mudah, anak-anak kecil itu dilahirkan dan akan subur dengan sikap yang diwarisi daripada kepimpinan ibu bapa mereka. Dalam konteks yang lebih besar, kaum Melayu itu akan subur dengan sifat yang diwarisi oleh kepimpinan Melayu pada ketika itu. Apakah kita mewarisi sifat yang sepatutnya atau kita terikut dengan sifat yang dipunyai oleh kepimpinan kita.
Serangan utama kepada Melayu adalah;
Bila yang mengamalkan tabiat rasuah, menyusulkan kepada anak bangsanya menolak rasuah - ini merupakan satu pembohongan.
Persoalan utama Melayu, apakah seluruh, secara kolektif mereka yang berbangsa Melayu itu adalah punca kemunduran Melayu?
Lahir sahaja sebagai Melayu maka pakej yang disertakan oleh Allah ialah pemalas, mahu kaya cepat dan haprak. Kalau itu jawapan yang boleh diberikan oleh cerdik pandai kepimpinan kita maka kita usulkan mulai tahun ini kita haramkan Melayu berkahwin dengan Melayu kerana ini akan menyebabkan Malaysia penuh dengan bangsa haprak yang akan merugikan Malaysia.
Kalau dikatakan pergeseran antara Melayu kaya dengan Melayu miskin adalah punca kemunduran Melayu, maka persoalkan pembahagian kekayaan yang adil sebagai asas menangani pergeseran ini.
Namun kalau dikatakan kepimpinan Melayu menjual hak sebagai punca kemunduran Melayu maka Melayu harus disedarkan mengenai kepimpinan yang dipilih.
Kuasa seharus disertakan dengan tanggungjawab, sekiranya tidak maka itu satu kezaliman. Kita perlu juga menyimpulkan bahawa kuasa politik yang tidak digadai mampu membantu generasi hari ini untuk berdiri sama tinggi dan sama rendah dengan bangsa-bangsa lain.
Kita perlu ada gambaran yang terperinci mengenai hak keistimewaan orang Melayu dan bukan membuat andaian yang belum tentu keberkesanannya. Jangan ditarik hak ini kononnya ia akan dapat membantu kaum Melayu kerana ini hanya satu teori yang belum menjanjikan kejayaan. Jangan yang ada dilupus ibarat mencurah air tempayan bila guruh berdentum - kerana hujan belum tentu turun.
Jangan kita ibaratkan bangsa kita sebagai bangsa "Red Indian", kerana teori Red Indian tidak boleh digunapakai kerana "Red Indian" bukan pemerintah Amerika sedangkan Melayu adalah pemegang kuasa. Persamaan dangkal ini - Melayu dan "Red Indian" dalam konteks tanah rizab Melayu harus ditolak.
Melayu harus disedarkan dan masyarakat Melayu harus melalui proses pembangunan minda yang menyeluruh sebelum tamadun Melayu dapat berkembang dan seterusnya dapat menggenggam kuasa politik yang ada tanpa tiris. Proses ini harus dijalankan secara jujur tanpa kepentingan individu.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment