Monday 24 June 2013

Anwar Didesak Letak Jawatan!

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim didesak meletak jawatan kerana telah hilang kelayakan sebagai seorang pemimpin. Pengerusi PPP Wilayah Persekutuan, Datuk A. Chandrakumanan berkata, Anwar adalah seorang pengecut kerana mengadakan pertemuan dengan pihak di Indonesia bagi mendapatkan sokongan dan mencampuri urusan pentadbiran negara selain membantah keputusan PRU13 lalu. "Beliau harus menerima hakikat bahawa pembangkang telah tewas pada PRU13 lalu dan rakyat memberi mandat kepada Barisan Nasional(BN)". "Anwar perlu meletakkan jawatan seperti yang telah dikatakan iaitu jika gagal menuju ke Putrajaya, beliau akan meletak jawatan," katanya dalam sidang akhbar pada majlis penyampaian cek sumbangan untuk 19 pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Dana kira-kira RM70,000 itu disumbangkan oleh PPP Wilayah Persekutuan, pejabat Timbalan Perdana Menteri serta Unit Pelaksanaan dan Pelarasan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM). Menurut Chandrakumanan, Anwar perlu berhenti mengelirukan fikiran rakyat bahawa beliau mempunyai mandat untuk mentadbir negara. “Beliau adalah bekas Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan bagaimana anda boleh mengatakan mempunyai 51 peratus undi popular serta boleh kalah? Adakah undang-undang kita mengikut undi popular? Jawabnya: Tidak. “Undang-undang kita mengikut majoriti kerusi yang telah dimenangi di Parlimen. Itu yang diikuti dan merupakan demokrasi kita. Jadi, jangan memutarbelit dengan mengelirukan rakyat, pembangkang telah menang dan BN menipu rakyat," ujarnya.

No comments:

Post a Comment