Sunday 9 June 2013

Perpaduan Melayu: UMNO dan PAS

Wacana Perpaduan Melayu sudah agak lama 'berputar' di pentas politik. Ia kembali berkumandang selepas PRU13. Ini ekoran kebimbangan akan keruntuhan 'menara' kuasa politik Melayu di negara ini. Dilihat ada anjakan,biar pun kecil tetapi sangat bermakna dalam wacana ini. Di peringkat awal, wacana perpaduan Melayu ini zahir dalam bentuk pelbagai seruan kepada perpaduan Melayu. Kini, 'seruan' telah beranjak dan 'membesar' menjadi 'tindakan'. Tindakan yang dipamerkan Menteri Besar Kedah, Dato' Mukhriz terhadap bekas MB, Dato' Seri Azizan yang terpaksa dipotong kedua-dua belah kakinya. Selain melawat Dato' Seri Azizan, Dato' Mukhriz melalui Kerajaan Negeri telah bermurah hati membiayai kos rawatan beliau. Sebelum itu, Ahli Parlimen Temerloh, Ustaz Nasruddin (PAS) mempelawa lawan beliau dalam PRU13 baru-baru ini, Dato' Saifuddin (UMNO) menyertai Panel Perunding Temerloh Daerah Berkebajikan. Terbaru, Kerajaan Pusat telah meluluskan RM69 juta kepada Kerajaan Negeri Kelantan pimpinan PAS, bagi tujuan pengurusan hal ehwal Islam di negeri itu. Ini disusuli dengan pemilihan Kelantan buat pertama kali sejak 23 tahun, sebagai tuan rumah Majlis Musabaqah Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan bermula 10 Jun ini. Kesemua langkah ini sangat bermakna kerana ia sangat berkesan dalam merapatkan hubungan antara UMNO dan PAS, mengendurkan ketegangan yang ada, seterusnya membenihkan keakraban dan membunuh prasangka. Jika ini berlaku, suasana yang sangat kondusif bagi membincangkan soal perpaduan Melayu akan terbentuk. Usaha merapatkan hubungan antara UMNO dan PAS ini boleh disifatkan sebagai peringkat kedua Wacana Perpaduan Melayu yang sedang berlangsung. Peringkat ketiga dan terakhir, ialah memulakan usaha menyatupadukan Melayu itu sendiri. Pada peringkat ini, akan berbangkit persoalan tentang mekanisme perpaduan, syarat-syarat dan segala perkara yang berkaitan. Ringkasnya, wacana Perpaduan Melayu melalui tiga peringkat berikut : Pertama: Seruan kepada perpaduan Melayu. Kedua: Usaha merapatkan hubungan antara UMNO dan PAS. Ketiga: Memulakan usaha penyatuan Melayu. Dalam konteks perpaduan Melayu, ianya sedang berada di peringkat kedua, iaitu merapatkan hubungan antara dua kelompok besar orang Melayu, UMNO dan PAS. Terdapat pemimpin kedua-dua parti Melayu ini telah pun menggerakkan usaha-usaha merapatkan hubungan ini. Ia hendaklah disemarakkan lagi oleh pemimpin-pemimpin yang lain. Masyarakat awam juga perlu memainkan peranan yang sama. Mereka boleh anjurkan program atau aktiviti sukan yang melibatkan UMNO dan PAS, atau apa sahaja yang boleh menyumbang kepada keakraban kedua-dua parti ini. Mengimpikan perpaduan Melayu tanpa berusaha merapatkan jurang dan ketegangan yang wujud di kalangan orang Melayu hanya akan menyebabkan perpaduan Melayu mungkin terus kekal sebagai mimpi......!!!

No comments:

Post a Comment