Wednesday 26 June 2013

N.1 Kuala Besut: Pilihan Raya Kecil Pertama.....!!!

Jenazah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, YB Dr A. Rahman Mokhtar yang meninggal dunia akibat kanser paru-paru pagi tadi(26 Jun 2013, jam 10.18) selamat dikebumikan selepas solat Asar di tanah perkuburan Islam Kampung Teluk Bayu. Antara yang mengiringi jenazah ialah Menteri Pendidikan Kedua, Dato' Seri Idris Jusoh yang juga Ahli Parlimen Besut dan Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ahmad Said. Turut hadir menziarahi jenazah ialah Timbalan Menteri Kewangan yang juga Ketua Penerangan Umno, Dato' Ahmad Maslan dan pemimpin PAS Dato' Husam Musa. Lebih 1,000 penduduk hadir menziarahi jenazah yang disembahyangkan di Masjid Teluk Bayu. Dr A. Rahman, 55, meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu akibat kegagalan pernafasan selepas seminggu menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi hospital itu. Beliau meninggalkan isteri Azizah N. Omar dan empat orang anak iaitu Mohd Zaihan, Mohd Razhan, Mohd Zaffuan dan Nurul Najihah. Pada PRU13 yang lalu, beliau mempertahankan kerusi DUN Kuala Besut yang dimenanginya sejak 2008 dengan majoriti 2,434 undi menewaskan calon PAS, Ustazah Napisah Ismail. Allahyarham kemudian dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam barisan Exco kerajaan negeri Barisan Nasional. Satu Pilihan Raya Kecil (PRK) pertama akan diadakan dalam tempoh 60 hari. Adalah dijangkakan ianya akan diadakan pada bulan Ramadhan ini. Dengan kekosongan kerusi N.1 Kuala Besut, kedudukan 32 kerusi DUN Terengganu semakin kritikal. BN kini memiliki 16 kerusi manakala Pakatan Pembangkang(PP) sebanyak 15 kerusi(PAS:14, PKR:1). BN terutama UMNO perlu berkerja kuat bagi mengekalkan kemenangan kerusi Kuala Besut ini sekaligus bagi mengelak situasi Kerajaan Campuran Terengganu. MatMerapu amat yakin bahawa BN/UMNO dapat mengekalkan kerusi DUN tersebut kerana kelemahan PAS agak ketara di daerah Besut. Walaubagaimanapun, jika PAS ditakdirkan menang dalam PRK nanti, ianya akan membuka ruang kepada 'perpaduan Melayu'- jalinan dan ikatan yang diimpikan oleh rakyat Malaysia bangsa Melayu dan agama Islam. Apapun, PRK Kuala Besut nanti pasti menyaksikan pertembungan menarik antara UMNO dan PAS......!!!

No comments:

Post a Comment