Sunday, 16 June 2013
Lakonan Pakatan Pembangkang: Memboikot Sidang Parlimen.......!!!
Tidak konsisten. Hanya itu istilah yang sesuai. Pendirian pemimpin pembangkang untuk tidak memboikot sidang Dewan Rakyat telah membuktikan bahawa Pakatan Pembangkang(PP) tidak konsisten dengan pendirian mereka selama ini.
Apabila mereka menyatakan persetujuan untuk hadir pada sidang Dewan Rakyat dan akan mengangkat sumpah yang dijadualkan 24 Jun ini, ianya dilihat telah bercanggah dengan pendirian mereka yang tidak mengiktiraf keputusan pilihan raya 5 Mei lalu.
Hal ini sekaligus memperlihatkan ketidakwibawaan pimpinan PP, apatah lagi kenyataan dan pendirian mereka selama ini tidak pernah selari dengan hasrat mereka.
Seperti sebelum ini mereka menyatakan bahawa mereka membantah, mempertikai dan menolak keputusan pilihan raya tetapi kerajaan PKR di Selangor, kerajaan DAP di Pulau Pinang dan kerajaan PAS di Kelantan terus mengangkat sumpah di negeri yang dimenangi.
Begitu juga bila mereka mengatakan tidak mempercayai kredibiliti SPR, tetapi mereka masih juga menerima kemenangan di kawasan yang dimenangi.
Jadi timbul persoalan, jika benar PP terlalu mempercayai bahawa berlaku penipuan dalam pilihan raya kenapa perlu mereka mengangkat sumpah sebagai anggota Dewan Rakyat? Dan kini, biar apa pun hujah pembangkang, keadaan telah pun membuktikan mereka tidak pernah konsisten dengan apa yang mereka katakan.
Difahamkan isu memboikot majlis mengangkat sumpah di Parlimen ini mulanya adalah gesaan gabungan NGO SuaraRakyat505 dalam kenyataan terbuka Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) baru-baru ini.
Kumpulan NGO ini melihat ianya sebagai bukti untuk tidak mengiktiraf keputusan pilihan raya di samping cara untuk menguatkan lagi bantahan PP yang selama ini disalurkan melalui siri perhimpunan di seluruh negara.
Bagaimanapun selepas gesaan itu, cadangan tersebut telah ditolak oleh beberapa pimpinan DAP dan PAS. Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali menyatakan bahawa Ahli Parlimen PAS akan tetap menghadiri sidang Parlimen seperti biasa, kecuali taklimat Parlimen yang diadakan baru-baru ini.
Bahkan ianya disokong oleh Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar yang menyatakan bahawa dakwaan untuk memboikot majlis angkat sumpah dan persidangan Dewan Rakyat pada sesi kali ini tidak pernah dibincangkan sama sekali. Datuk Mahfuz sendiri menjangkakan semua Ahli Parlimen PP akan hadir pada majlis angkat sumpah tersebut sekaligus akan mengikuti titah ucapan DiRaja pada 24 Jun ini.
Begitu juga dengan Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke mengakui parti itu tidak mempunyai rancangan untuk memboikot sidang Parlimen kelak. Terkini, Timbalan Pengerusi PKR Selangor, Zuraida Kamaruddin juga tidak bersetuju dengan cadangan untuk memulau majlis Angkat Sumpah Dewan Rakyat.
Bukan sekadar itu, terdapat ramai lagi pimpinan PP yang turut tidak bersetuju untuk memboikot sidang Dewan Rakyat. Terbaru, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu dalam mesyuarat Biro Politik PKR bahawa beliau tidak pernah menyebut untuk memboikot majlis angkat sumpah di Parlimen pada 24 Jun ini.
Jadi apabila mereka memutuskan sebegitu, di manakah pendirian mereka selama ini yang tidak mengiktiraf keputusan pilihan raya? Jika benar mereka menolak keputusan pilihan raya, mereka perlu bersepakat dalam segala hal. Jika tidak mereka harus akur dengan keputusan pilihan raya sejak dari awal lagi.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment