Sunday 7 July 2013

PRK Kuala Besut: Ustaz Lawan Ustaz.....!!!???

PRK Kuala Besut besar kemungkinan bakal menyaksikan pertembungan dua ustaz antara calon UMNO dan PAS apabila nama yang paling popular meniti di bibir kalangan penyokong kedua-dua parti itu adalah personaliti ustaz atau mereka yang mendalami bidang agama Islam. Calon yang paling popular di kalangan penyokong UMNO adalah Ustaz Nik Yusniza Nik Ismail, bekas Kadi Daerah Besut yang kini bertugas sebagai Pegawai Agama di Dungun. Di pihak PAS pula, dua daripada tiga nama senarai pendek yang dikemukakan PAS dikatakan juga golongan ustaz. Dua nama itu ialah bekas ADUN Kuala Besut (1999), Datuk Nik Zawawi Salleh dan Yang Dipertua PAS Besut, Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad manakala seorang lagi ialah Bendahari PAS Besut, Ustaz Azlan Yusof. Daripada 13 PRU dan satu PRK di Kuala Besut, PAS pernah memenangi empat kali iaitu pada PRU 1959, PRU 1969, PRU 1974 dan PRU 1999. "Oleh itu, peluang untuk PAS menang dalam pilihan raya ini adalah cerah," kata Ketua Ulama PAS Terengganu yang juga tokoh PAS Besut, Husein Awang. Husein pernah bertanding di DUN Kuala Besut dalam PRU 1990 tetapi tidak berjaya. Beliau kalah dengan majoriti 246 undi. Pada 1959, calon PAS yang menang ialah Mohamad Senari, Mohamad Said menang pada 1969, Husein Jusoh menang (1974) manakala pada 1999 kerusi itu dimenangi Nik Zawawi Nik Salleh. Bagi Husein, yang pernah menjadi Speaker DUN Terengganu (1999 - 2004), semangat penyokong PAS untuk memastikan parti mereka menang dalam PRK ini amat tinggi. "Semua mahu PAS menang untuk melihat apa akan berlaku apabila dalam DUN ada 16 ADUN BN dan 16 ADUN Pakatan," katanya. Pandangan beliau disokong Wan Azhar. "Kita mahu lihat apa akan berlaku jika ADUN PAS membuat usul undi tidak percaya kepada Speaker misalnya. Ketika itu speaker yang dilantik BN tidak boleh mengundi kerana ia usul ke atasnya," kata Wan Azhar. Beberapa tokoh BN sebelum ini beranggapan jika PAS menang pun, ia tidak akan mengubah apa-apa kerana Speaker yang dipilih BN akan menjadi undi penentu. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan, Hari Penamaan Calon pada 12 Jul, Pengundian awal pada 20 Jul dan pengundian biasa pada 24 Jul 2013. PRK Kuala Besut bakal menyaksikan pertembungan Ustaz BN/UMNO dan Ustaz PAS.....!!!

No comments:

Post a Comment