Wednesday, 31 July 2013
Bahaya Sosialis Terhadap Islam
"Sosialisme" ialah suatu ideologi yang dipopularkan oleh Karl Marx (1818-1885) dan Engles (1820-1895) bagi melakukan peperangan ideologi terhadap para paderi dan juga agama itu sendiri dengan menggunakan kaedah yang dipanggil dialectical materialism, iaitu suatu scientific world outlook yang menentang sebarang kepercayaan terhadap kuasa ghaib.
Sosialisme yang masih menjadi teras anutan para pemuka golongan meragui hadis di Malaysia ini, kini dijadikan asas bagi mereka untuk melihat Islam ini sepertimana Kristian.
Kononnya telah wujudnya penindasan kelas lama terhadap kelas Muslim awam sebagaimana wujudnya golongan paderi yang menindas golongan Kristian awam. Mereka melihat Islam itu dari "kerangka atau paradigma" sosialisme Barat.
Kalau awal 70-an dahulu di Malaysia pejuang sosialis menjadi jaguh dan pujaan sebahagian besar daripada golongan intelektual dan mahasiswa, maka kini perjuangan Islam lebih mendapat tempat di kalangan masyarakat terpelajar. Diparahkan lagi dengan robohnya tembok Kremlin dan gelombang kapitalisme yang semakin hebat, aliran sosialisme menjadi semakin nazak bahkan jenama "sosialis" itu sendiri sudah tidak laku lagi.
Justeru untuk kembali menarik perhatian masyarakat dan memberikan nafas baru kepada para pendokongnya di samping untuk merekrutkan ahli-ahli baru bagi golongan intelektual dan profesional, maka mereka turut terjun menangani persoalan agama, yang sebelum ini dianggap "candu masyarakat", kononnya bermatlamatkan untuk mengembalikan kesucian agama Islam itu dari "tangan kotor" para ulama.
Dasar utama sosialisme, yang menentang pemilikan harta kekayaan oleh golongan kapitalis sebagai lesen untuk menindas golongan pekerja
(J.M. Rroberts, History of the World, hal. 605), kini digerakkan ke alam agama di mana golongan ulama pula kononnya dilihat berperanan sebagai "kapitalis" dalam agama.
Hak untuk bercakap mengenai agama mestilah dibebaskan dari didominasikan oleh para ulama sahaja sebaliknya ia hendaklah dijadikan milik awam dalam masyarakat yang tiada kelas (classless society) . Lantaran itu, para ulama perlu ditentang dan digulingkan dari kedudukan mereka yang tinggi itu agar tiada lagi beza antara ulama dan massa.
Fahaman sosialisme anutan golongan meragui hadis ini yang juga memberi penekanan yang begitu kuat terhadap kebebasan (liberty) dan persamaan (equality), telah berjaya menarik minat sebahagian golongan intelektual wanita Islam yang sudah sekian lama berjuang atas nama "pembebasan wanita" (women’s liberations/mancipation) untuk turut serta bersama mereka.
Kemasukan intelektual wanita Islam itu ke dalam "kandang" sosialisme golongan meragui hadis ini, telah memberikan platform bagi mereka untuk bersuara dengan lebih lantang lagi atas nama pembebasan dan persamaan hak wanita Islam, dan sekali gus bekerjasama memporak-perandakan kesucian, kemurnian dan keutuhan agama Islam. Golongan berlatarbelakangkan beginilah, yang mula ingin bercakap tentang Islam - bukan kerana cintakan Islam - tetapi kerana terpaksa ikut serta dalam arus kebangkitan Islam dengan masih mengekalkan kerangka atau "paradigma" sosialisme mereka. Namun malang kerana sosialisme usang tiada menyediakan apa-apa buat mereka tentang agama.
Justeru itu, mereka tercari-cari input agama bagi mengisinya di dalam kerangka yang kosong dan lantas menemukannya dalam orientalisma. Ditambah lagi dengan tiada kemahiran bahasa Arab, maka para orientalis Barat dan akal merekalah yang menjadi rujukan dan sandaran utama mereka bagi memahami agama Islam, termasuklah memahami kedudukan dan autoriti hadis.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment