Tuesday 30 July 2013

Pakatan Pembangkang: Muhasabahlah Diri........!!!???

Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim berkata tidak ada himpunan ‘blackout505’ lagi buat sementara waktu ini. Apa yang menyebabkan beliau berkata demikian tidak pula dapat difahami kerana beliau masih lagi belum berjaya meminta Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR berundur serta meletakkan jawatan mereka. Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR diminta berundur dan meletakkan jawatan di atas tuduhan pihak pembangkang yang diketuai oleh Anwar, penipuan besar-besaran telah berlaku semasa PRU13 yang lepas. Ketua Pembangkang ini berkata selepas perasmian konvensyen Pakatan Pembangkang(PP). Semasa himpunan 505, Anwar berkata yang beliau sependapat dengan pandangan Husam Musa, Naib Presiden PAS yang ada di kalangan PP yang sedang menghadapi sindrom kepenatan. Mereka ini, kata Husam itu adalah, UMNO dalam PP. Anwar meminta semua pihak supaya tidak dihinggapi penyakit sindrom kepenatan ini kerana perjuangan untuk meminta SPR meletakkan jawatan belum tercapai lagi. Tetapi kita mesti juga menerima hakikat bahawa rakyat yang ramai ini juga memerlukan masa untuk merehatkan pemikiran mereka. Rakyat ini manusia dan memerlukan rehat dari memikirkan tentang himpunan dan demonstrasi-demonstrasi ini. Pemimpin-pemimpin yang menganjurkan himpunan ini boleh berehat dengan kemudahan kehidupan mereka bercuti di mana-mana contohnya, tetapi bagi mereka yang diheret untuk berhimpum ramai-ramai tidak mempunyai kemudahan seperti yang ada kepada pimpinan seperti Anwar dan lain-lain itu. Dalam himpunan 505 di Padang Merbok lalu, kehadiran sudah banyak berkurangan. Hanya 10 peratus dari jumlah sasaran 300,000 orang itu yang hadir dan setengahnya sudah meninggalkan Padang Merbok pada jam 6 petang lagi. Pihak penganjur telah memberikan alasan jerebu sebagai penyebab utama kenapa kekurangan peserta himpunan itu, tetapi mereka tidak menghadirkan diri kerana banyak sebab-sebab yang lain. Satu perkara yang harus sedar, keupayaan seseorang menerima dan mendengar lagu yang sama berlarutan itu ada hadnya. Mendengar ceramah dan lawak jenaka yang sama oleh mereka yang sama itu sangat membosankan kebanyakan orang yang pernah menyertai himpunan itu. Mereka tahu apa yang akan mereka dengari sebelum mereka tiba ke tempat himpunan itu kerana semua isi kandungan ucapan yang akan mereka dengar semuanya ‘predictable’. Lama kelamaannya ramai-ramai yang hadir itu terlalu kenyang dengan ucapan yang sama, kandungan ucapan yang tidak berubah selain dari lawak jenaka dan pertunjukan pentas oleh penceramah-penceramah yang sama. Lauk pauk yang kita suka sendiri pun akan terasa menjemukan jika dihidangkan setiap masa di hadapan kita. Ramai yang bertanya apabila kembali ke rumah, “apa yang aku baru dapat pada hari ini?” Apa yang mereka dapati hanyalah keletihan dan salahkan mereka merasakan kepenatan itu? Mereka kembali bertanya, “Ini saja kah kegiatan sebuah atau sekumpulan parti yang dikatakan parti-parti perjuangan?” Sampai bila hendak berhimpun dan berdemonstrasi itu? Pilihan raya akan diadakan lima tahun lagi dan setakat ini mereka telah berkempen dan berhimpun sudah menjangkau lima tahun lamanya untuk persediaan PRU13 yang lalu. MatMerapu berpendapat masing-masing parti perlu mengkaji kelemahan masing-masing kenapa PP kalah walaupun ‘mood’ semasa itu menampakkan situasi yang tidak memungkinkan BN memenangi mana-mana kerusi di seluruh negara. Mudahlah untuk menyalahkan SPR dan sebagainya tetapi tidak adakah kesalahan kita sendiri? Bagi pihak yang hendak melakukan pembaharuan yang terpenting dilakukan ialah mengetahui dan memahami apa-apa kelemahan dan kesalahan sendiri dahulu. Takkanlah tuduhan penipuan itu sahaja yang menyebabkan pihak PP kalah dalam PRU itu. MatMerapu sedikit sebanyak tahu apa kelemahan yang ada di setiap parti yang menganggotai PP itu. Jangan emotional bila mendengar teguran seperti yang dipaparkan ini. PKR mempunyai masalah budaya yang tidak jauh bezanya dari budaya UMNO yang bermain politik sesama sendiri tanpa had. DAP pula sebagai parti yang ‘smart’ dengan tuduhan pihak lawan sebagai parti rasis tanpa disedari ramai bahawa rupa dan penampilan parti itu sendiri adalah sebagai sebuah parti yang hanya mewakili kaum Cina sahaja. PAS mempunyai ciri parti yang baik, tetapi oleh kerana imej baik itu PAS tidak membentuk ‘skill’ pengurusan yang baik sebagai persediaan untuk mentadbir negara di peringkat tertinggi. Parti itu apabila diberikan peluang untuk mentadbir, mereka gagal dalam mentadbir negeri yang diperintahnya kecuali Kelantan. Terengganu pernah dimenangi oleh PAS dengan majoriti 4/5 di Dewan Undangan Negeri Terengganu, tetapi tidak berjaya mengekalkan kuasa di Terengganu semata-mata kerana kegagalan mentadbir negeri itu. Pentadbiran negeri Kedah di bawah PAS tidak mempunyai 'ummph' yang kuat maka rakyat memulangkan kembali kuasa kepada BN walaupun BN diserang dengan pelbagai isu. Daripada menyertai himpunan lebih baik PAS memulakan usaha membina kemahiran mentadbir. PAS boleh menghantar pimpinan ke kursus-kursus pentadbiran di mana-mana pusat pengajian tinggi ternama di seluruh dunia bagi persediaan untuk mengambil alih pentadbiran kerajaan......hehehe!!! Daripada bersusah payah ke Padang Merbok berhimpun, kenapa PAS tidak fokuskan usaha untuk mengilap kemahiran mentadbir negeri dan negara? Benar, Islam itu tinggi, tetapi jika PAS benar-benar memperjuangkan Islam itu, mewujudkan kemahiran pentadbiran itu juga kehendak Islam. Kenapa tidak diberikan tumpuan terhadap isu besar ini. Islam itu selari dengan setiap masa dan zaman, maka amat perlu untuk meningkatkan ‘skill’ pentadbiran dengan gigih. Kalau mana-mana parti gagal menjadi pentadbir yang baik maka sekali gus ianya tidak memenuhi tuntutan agama Islam. Parti siasah mesti akui yang politik itu adalah ‘war of perception’. Kalau gagal untuk memberikan persepsi baik maka ia memberi makna kegagalan. Mengekalkan pengaruh melalui himpunan 505 itu tidak akan mampu mengekalkan sokongan ramai buat jangka masa yang lama. Yang akan mengekalkan sokongan ramai ialah hasil dan kemampuan mentadbir. Khalid Ibrahim terkenal sebagai seorang yang tidak pandai berpolitik, tetapi hasil kerja tangan dan minda beliau dilihat telah mampu untuk hampir melenyapkan BN di negeri Selangor. Berbalik kepada isu himpunan 505 itu, ia tidak akan membawa sesiapa ke mana-mana. Yang boleh memberikan ‘consequence’ ialah memperbaiki parti dan perjuangannya dan jika boleh diluruskan niat dan tujuan pimpinan melakukannya. Lama kelamaan rakyat akan menyedarinya.....!!! Dalam perkara ini, UMNO/BN mempunyai banyak kelebihan dalam mengekalkan inisiatif kemenangan dalam Peperangan Persepsi.......!!!

No comments:

Post a Comment