Tuesday 24 September 2013

KPN: Chin Peng Bukan Warganegara Malaysia.....!!!

Chin Peng bukan warganegara Malaysia dan tiada sebab kenapa jasadnya perlu dibawa pulang, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar. "Beliau tidak pernah dapat taraf kerakyatan apabila beliau menyertai Parti Komunis Malaya (PKM)," kata Khalid kepada The Star Online ketika dihubungi bagi mengulas mengenai kematian Chin Peng. "Saya percaya beliau akan gembira jika disemadikan di tempat beliau banyak menghabiskan masanya," tambah Khalid. Khalid berkata, tiada apa lagi yang perlu diperbincangkan mengenai bekas setiausaha agung PKM, Chin Peng yang meninggal dunia di hospital di Bangkok pada Isnin lalu. Beliau berkata, tiada isu yang perlu ditimbulkan, dan Chin Peng sudah pun meninggal dunia. Chin Peng dilaporkan meninggal dunia kerana sakit tua pada pukul 6.20. Chin Peng mengetuai gerila pemberontak PKM dan menentang angkatan bersenjata British dan Komanwel bagi mendapatkan kemerdekaan sebagai sebuah negara komunis. Pemberontakan itu berakhir secara rasmi pada 2 Disember 1989 apabila kerajaan Malaysia menandatangani sebuah perjanjian damai dengan PKM, kurang sebulan selepas Tembok Berlin dirobohkan. Chin Peng dibuang negara dan tinggal di Thailand selama lebih lima dekad dan tidak dibenarkan kembali ke Malaysia. Beliau dilahirkan pada akhir Oktober 1924 dengan nama Ong Boon Hua, di sebuah pekan persisiran pantai di Sitiawan, Perak dan Chin Peng begitu dikenali sebagai bekas gerila komunis dan kekal menimbulkan kontroversi. Chin Peng gagal dalam perbicaraannya untuk memohon dibenarkan kembali pulang ke Malaysia. Beliau tinggal di Thailand dan memiliki pasport China. Sebahagian pemimpin Malaysia menegaskan bahawa kepulangannya akan mengecewakan ramai rakyat Malaysia yang kehilangan orang tersayang ketika berlakunya pemberontakan komunis.

No comments:

Post a Comment