Thursday, 19 September 2013

Era Baru Pemilihanan UMNO 2013 Bermula......!!!

Era baru pemilihan UMNO akan bermula, merealisasikan transformasi politik yang diperkenalkan Presidennya Dato' Sri Najib Tun Razak. Bahang pemilihan parti terbesar orang Melayu kian panas dengan berakhirnya mesyuarat peringkat cawangan dan disusuli persidangan bahagian bagi memilih barisan kepimpinan peringkat bahagian dan pusat. Mulai sekarang juga mereka yang bercita-cita untuk memegang jawatan-jawatan dalam parti boleh mengisi borang dan mendaftar menjadi calon. Mereka mesti menyerahkan borang pencalonan bagi pemilihan sayap - Wanita, Pemuda dan Puteri - pada 21 September manakala bagi peringkat pusat pada 28 September. Sistem pemilihan baru UMNO, yang pertama kali dilaksanakan, membolehkan siapa jua ahli UMNO dengan kelayakan minimum sekurang-kurangnya menjadi anggota parti selama sepenggal atau tiga tahun layak untuk bertanding di peringkat bahagian. Bagi jawatan peringkat pusat sama ada ahli Majlis Tertinggi (MT), Naib Presiden, Timbalan Presiden dan Presiden sekalipun, kelayakan minimum adalah menjadi Ahli Jawatankuasa (AJK) bahagian selama sepenggal. Sistem pemilihan ini mengadaptasi sistem 'Electoral College' yang menggabungkan sistem pemilihan dari Amerika Syarikat dan United Kingdom. Beberapa persoalan timbul di minda masyarakat tentang bagaimana ia dilaksanakan dan bagaimana ia dikatakan mampu menyuburkan demokrasi dan telus? Menjelaskan gambaran proses pemilihan itu, Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Hamidah Osman berkata banyak perbezaan dapat dilihat pada sistem pemilihan ini. Paling utama sistem baru ini akan menyaksikan lebih ramai ahli parti iaitu 146,500 perwakilan terlibat secara langsung memilih kepimpinan bahagian dan Majlis Tertinggi (MT). UMNO mempunyai 3.3 juta anggota. Beliau berkata perwakilan daripada cawangan, yang sebelum ini hanya menentukan kepimpinan bahagian, kini turut diberi peluang memilih kepimpinan peringkat pusat. Berbeza dengan sistem lama, hanya 2,500 perwakilan layak mengundi bagi memilih kepimpinan tertinggi parti. Sebelum pindaan perlembagaan parti pada 2009, seseorang yang mahu bertanding jawatan tertinggi parti perlu terlebih dahulu mendapat jumlah atau kuota sokongan tertentu daripada 191 bahagian UMNO. Misalnya untuk jawatan Presiden sebanyak 30 peratus atau sokongan 57 bahagian, Timbalan Presiden (20 peratus atau 38 bahagian), Naib Presiden (10 peratus atau 19 bahagian), anggota MT (5 peratus atau 10 bahagian), Ketua Pemuda dan Ketua Wanita (masing-masing 20 peratus atau 38 bahagian) dan Ketua Puteri satu peratus atau dua bahagian.

No comments:

Post a Comment