Tuesday, 24 September 2013

Ketirisan Di Sempadan Malaysia.....Hakisan Keselamatan Negara !!!???

Malaysia mempunyai sempadan yang luas berjiran dengan Thailand, Singapura dan Sabah serta Serawak bersempadan dengan Indonesia di bahagian Kalimantan. Sememangnya penyeludupan yang berlaku agak sedikit sukar untuk dibanteras secara menyeluruh walaupun bukan mustahil. Tapi dengan kekurangan anggota penguatkuasa, ketidakcekapan selain kurangnya rasa tanggungjawab menyebabkan aktiviti-aktiviti penyeludupan masih belum menunjukkan tanda akan berkurangan. Di Sabah dan Serawak, walaupun berlaku penyeludupan ianya masih di peringkat terkawal kerana kurangnya laluan tikus disebabkan keadaan hutan tebal dan rondaan berterusan oleh anggota tentera serta unit lain. Negara juga tidak mempunyai masalah penyelupudan yang dikira serius di Tambak Johor ekoran pemeriksaan ketat yang dilakukan di kedua-dua belah tambak. Namun begitu, perkara sebaliknya berlaku dengan serius mungkin boleh dianggap kritikal di sebelah utara, sempadan Malaysia-Thailand. Dari Perlis hingga ke Kelantan, difahamkan begitu banyak laluan tikus yang tersedia untuk kegunaan penyeludup. Hampir semua bentuk barangan dibawa masuk melalui sempadan sebelah sini (Malaysia) dari haiwan ternakan hinggalah kepada penyeludupan manusia untuk diperdagangkan atau pelarian ekonomi dari pelbagai negara. Tugas pengkuatkuasaan di sempadan Malaysia-Thai menjadi tanda tanya. Matmerapu agak kebingungan kenapa penguatkuasaan di sini agak ketara kelemahannya? Sempadan di utara merupakan antara yang mempunyai anggota paling ramai dikerah untuk berkawal, dari Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) hingga Brigade Sempadan Tentera Darat. Matmerapu difahamkan aktiviti penyeludupan di kawasan yang dikawal oleh anggota tentera dari Brigade Sempadan agak sukar dibolosi. Dengan halangan tembok konkrit, pagar berduri, seksyen infantri yang kerap mengawal, hanya penyeludup yang terdesak dan tegar sahaja akan menggunakan laluan di sini. Sesetengah penyeludup dikira bernasib baik jika ditangkap dan bukannya ditembak. Mungkin kerana ketegasan anggota tentera yang bertugas dengan penuh rasa tanggungjawab inilah menyebabkan aktiviti penyeludupan berkurangan. Tapi berlainan sekali dengan di pintu masuk sempadan Kelantan-Thailand dan Perlis-Thailand. Bukan satu tapi sudah banyak kali Matmerapu mendengar dan diceritakan sendiri bagaimana mereka ini bebas menggunakan laluan rasmi tanpa ditahan, disoal dan diperiksa. Malahan jika bernasib baik mereka mampu melepasi kawalan di pintu masuk dengan hanya mengangkat tangan. Apa yang sebenarnya berlaku? Matmerapu sering tertanya-tanya kenapa mudahnya mereka ini keluar masuk tanpa diperiksa? Bagaimana jika mereka yang menggunakan laluan itu membawa bahan larangan seperti senjata atau bom dan tidak terkecuali dadah? Adakah kerana penguatkuasa seperti anggota UPP, Kastam, Imigresen dan JPJ sudah terlalu dibiarkan bertugas di pintu masuk tanpa ditukar sehingga menyebabkan mereka ini mudah dikawal, dibayar...???, dijadikan teman sahabat sehingga mereka ini tidak sanggup untuk menahan kenalan? Atau mereka yang bertugas di sini merupakan anak jati dan seterusnya mereka menganggap tidak menjadi satu kesalahan jika tidak menahan saudara atau rakan taulan yang mereka kenali dari kecil. Ataupun juga mereka ini terlalu takut untuk menahan penduduk setempat atau warga Thai yang lebih bersikap bengkeng, gedebe dan samseng di tempat sendiri serta terus membiarkan perkara sebegini berlaku tanpa kawalan yang kuat. Sampai bila kita mahu lihat penyeludupan terus berlaku tanpa sekatan. Mereka ini bebas keluar dan masuk tanpa rasa takut. Malahan jika unit Kastam, UPP dan Imigresen melakukan tugas dengan rasa jujur dan tanggungjawab, sudah pasti sejak dari dulu lagi mereka dapat mengecam kawasan mana dan waktu yang sering berlaku penyeludupan. Malahan pihak berkuasa tempatan juga perlu memainkan peranan yang lebih efisyien, mungkin dengan mengambil langkah drastik untuk merobohkan rumah atau gudang termasuk jeti yang dibina berhampiran sungai dan yang telah dikenalpasti sebagai pusat penyeludupan. Kita pasti tidak mahu melihat sesuatu yang buruk berlaku tanpa tindakan tegas. Banyak isu besar berkaitan sempadan telah berlaku tapi kawalan masih di takuk lama. Sebelum ini kita dikejutkan dengan kehilangan kontena cip yang bernilai jutaan ringgit, kemudiannya kita telah menyaksikan bagaimana seorang blogger pengkhianat negara berjaya meloloskan diri melalui sempadan di sebelah sini termasuklah juga warga asing yang melarikan anaknya, Feris secara tidak sah. Sampai bila hal ini akan dibiarkan berterusan. Semua orang akan kelam kabut dan memastikan penguatkkuasaan akan dilakukan dengan berkesan bila terjadi sesuatu isu dan penguatkuasaan akan bertambah serius bila dilakukan bersama kakitangan media eletronik dan media cetak. Tapi selang beberapa lama keadaan akan kembali seperti asal. Tiada siapa yang ambil peduli dan bertanggungjawab. Jika motivasi diri dan kesedaran keselamatan pihak anggota kerajaan menjalankan tugas tidak dipertingkatkan nescaya hal ini tidak akan ada kesudahannya, bawalah teknologi tercanggih sekalipun namun jika pengendali teknologi ini tidak ada rasa semangat sayangkan Negara dan sense of belonging, teknologi tetap tidak akan berguna untuk menghalang kes penyeludupan barangan dan manusia. Kini negara sudah kebanjiran warga asing, bukan sedikit warga asing yang masuk ke negara ini secara tidak sah melalui lorong tikus. Itu belum dikira warga asing yang masuk dengan menggunakan VOA (Visa On Arrival), satu kaedah untuk menguntungkan ekonomi negara tapi membahayakan keselamatan dan pertahanan. Matmerapu merasa sudah sampai masanya, kerajaan dan agensi terbabit perlu melakukan sesuatu untuk menghalang kes-kes sebegini dan jika perlu menghadkan masa atau waktu khidmat anggota mereka dari terus menggunakan kelebihan pada diri mereka untuk menyeleweng dan bersekongkol dengan penyeludup. Pasti mereka yang berada di kementerian terdiri dari orang yang lebih bijak dan arif untuk memikirkan resolusi terbaik dalam menangani masalah sebegini daripada terus berleluasa terutama di sempadan Malaysia-Thailand.

No comments:

Post a Comment