Tuesday, 17 September 2013

Bertemu Pope Di Rom, Anwar Diselar......!!!

Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee hari ini menyelar ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan mengadakan pertemuan dengan Pope Katolik, di Rom tidak lama lagi. Beliau menyifatkan pertemuan tersebut sebagai usaha terancang Anwar untuk mengembalikan semula sokongan masyarakat antarabangsa khususnya pemimpin bukan Islam terhadap dirinya. Kata beliau, pertemuan tersebut bukan sesuatu yang menghairankan kerana sebelum ini Anwar tidak bersama masyarakat Islam menentang penggunaan kalimah Allah oleh penganut kristian katolik di negara ini. “Dalam isu penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian, Anwar mengambil sikap membisu, kini dia menunjukkan hubungan baiknya dengan pemimpin tertinggi agama Kristian di peringkat antarabangsa,” katanya. Pertemuan tersebut bagaimanapun kata beliau, tidak akan memberi sebarang kesan politik kepada negara ini kerana Anwar bukannya pemimpin yang dihormati. Beliau mengulas kenyataan Anwar dalam satu ceramahnya di Kampung Kubang Semang, Pulau Pinang yang meminta masyarakat kawasan tersebut memahami tujuan pertemuannya dengan Pope Katolik di Rom kelak. Anwar berkata, beliau diundang untuk menghadiri dialog peringkat tertinggi di antara pemimpin Islam, Kristian dan agama lain di Rom. Beliau bukanlah orang yang bertanggungjawab merancang melakukan pertemuan itu, kata Anwar yang tidak menyatakan butiran lanjut mengenai dialog berkenaan. “Sewaktu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak dan bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir jumpa Pope itu pun tiada masalah,” katanya seperti yang disiarkan oleh portal berita malaysiakini.com hari ini. Mengulas lanjut, Syed Ali berkata Anwar sepatutnya berasa malu untuk menyamakan diri beliau dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. “Najib dan Dr. Mahathir berjumpa pemimpin tertinggi agama Kristian atas sifatnya sebagai Ketua Negara, bukannya pemimpin parti politk, sedangkan Anwar cuma Ketua Pembangkang,” ujarnya. Katanya, senario tersebut jelas berbeza dan ini menunjukkan bahawa Anwar mempunyai agenda peribadi dan tidak membawa sebarang keuntungan kepada perkembangan agama Islam. “Lagi pun Anwar tidak boleh bercakap soal dasar negara ini bersabit isu agama Islam kerana dia sekadar pemimpin parti politik serpihan yang bertanggungjawab memecahbelahkan perpaduan umat Islam di negara ini,” tegasnya. Oleh sebab itu katanya, pertemuan Najib dengan pemimpin agama Kristian sebelum ini tidak menjadi isu atau dipertikaikan rakyat kerana rakyat memahami fungsi beliau sebagai Perdana Menteri, bukannya selaku Presiden UMNO. “Di sinilah Anwar tidak dapat mengukur perbezaannya, beliau beranggapan dirinya sebagai seorang pemimpin negara sedangkan hakikatnya dia sekadar pemimpin pembangkang yang ditolak rakyat,” ujarnya. Tambah beliau, pertemuan dengan Pope Katolik itu sengaja dibangkitkan oleh Anwar dengan alasan tidak masuk akal bertujuan untuk memperbodohkan rakyat.

No comments:

Post a Comment