Sunday, 10 August 2014
Rakyat Selangor Jadi Mangsa Krisis MB.......!!!
Sejak krisis Menteri Besar Selangor melanda 2 minggu lalu, masih belum pernah berlaku sebarang perbincangan di antara kerajaan BN dengan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sendiri.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin setakat ini belum ada sebarang perbincangan mengenai langkah menyelesaikan kemelut di Selangor yang melibatkan pihak BN, termasuk dari pihak Abdul Khalid.
Sambil melahirkan rasa dukacita dengan krisis politik itu, Muhyiddin juga meminta rakyat Selangor supaya mengambil iktibar atas apa yang berlaku yang antara lain boleh menjejaskan pertumbuhan ekonomi negeri.
Ini kerana bagi Muhyiddin disebabkan kerakusan kuasa pakatan di Selangor menyebabkan negeri itu terumbang-ambing sehingga rakyat menjadi mangsa.
Sehubungan itu bagi beliau pakatan harus bertanggungjawab menyelesaikan krisis politik yang berlaku dengan cara baik kerana ia membabitkan kepentingan rakyat Selangor.
“Ini adalah masalah mereka yang kini menjadi krisis dan membebankan (rakyat). Bagi kita, soal rakyat lebih diutamakan. Saya tidak fikir rakyat akan rasa seronok (jika ia berterusan).
“Seharusnya ada tindakan (penyelesaian) segera, kita tidak mahu masuk campur urusan dalaman. Mereka patut tengok apa yang rakyat akan hadapi. Jangan jadikan krisis itu beban kepada rakyat,” katanya selepas merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Bentong Pahang.
Ditanya sama ada krisis perebutan kuasa di Selangor akan menjejaskan perjanjian antara Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri, Muhyiddin berkata projek berkaitan air masih berjalan dan perlu melalui beberapa fasa lagi sebelum ia disiapkan.
“Ada beberapa fasa lagi kerana ini projek besar dan mengambil masa. Banyak lagi kerjasama yang diperlukan melibatkan Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri untuk menentukan ia siap dalam masa (yang ditetapkan).
Mengulas kemungkinan pilihan raya negeri Selangor diadakan susulan krisis itu, Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN, berkata situasi di negeri itu akan dipantau sebelum memutuskan tindakan seterusnya.
“Kita mesti harus bersedia. Bukan sebab kita menangguk di air keruh…(tetapi) susah nak ramal, dalam keadaan begini yang tak menentu.
“Sebagai pihak (pembangkang) di Selangor, kita sentiasa buat apa-apa persiapan yang perlu, baik untuk menghadapi pilihan raya kecil atau pilihan raya umum. Dalam keadaan sebegini kita belum pasti,” katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment