Tuesday 5 August 2014

Polis Siasat Pesta Sukan Bogel P. Pinang 2014......!!!

Polis Pulau Pinang sudah membuka kertas siasatan berkaitan penyebaran klip video ‘pesta sukan bogel’ yang memaparkan aksi sekumpulan individu lelaki serta wanita bersuka ria tanpa pakaian di tepi pantai. Ketua Polis negeri itu, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, siasatan polis termasuk bagi mengenalpasti sumber klip video itu serta individu yang terbabit dalam rakaman berkenaan sama ada terdiri daripada rakyat tempatan atau warga asing. Polis juga katanya akan meninjau lokasi rakaman itu dibuat yang didakwa di Taman Negara Teluk Bahang untuk mengesahkannya kerana tiada sebarang visual papan tanda yang menunjukkan lokasi ditunjukkan dalam klip itu. “Ini termasuk merakam keterangan pihak yang berkaitan terutama pengurusan taman negara,” tegas Abdul Rahim sambil memaklumkan kertas siasatan kes itu dibuka sebaik sahaja laporan polis pertama diterima pihaknya. Kes disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana mengaibkan penghormatan. Rakaman video sepanjang 5 minit 25 saat menggunakan tajuk ‘Pesta Sukan Bogel 2014 Di Teluk Bahang’ itu mulanya dimuat naik ke laman web perkongsian video Vimeo.com yang berpangkalan di Amerika Syarikat oleh seorang daripada peserta pesta tidak bermoral berkenaan sebelum turut dikesan di Youtube dan tersebar luas dengan pantas. Rakaman menunjukkan peserta pesta itu bersuka-ria melakukan pelbagai aktiviti di sebuah chalet dan di tepi pantai tanpa seurat benang. Antara aktiviti yang dipaparkan ialah peserta membuat lukisan di atas badan bogel mereka satu sama lain, acara larian bogel, renang bogel merentasi badan dan tarian bogel unggun api. Rakaman dipercayai dibuat seorang lelaki tanpa dihiraukan oleh semua peserta pesta berkaitan.

No comments:

Post a Comment